Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

NORZIRA PERNAH KOREK TABUNG, KINI MAMPU CAPAI BISNES RM6 JUTA...




SUDAH jatuh ditimpa tangga’ begitulah andaian yang dapat Kak Fas simpulkan kala mendengar kisah suka duka yang dilalui teman seperjuangan, Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 34, yang lebih mesra disapa Ira.

Korang mesti tertanya-tanya kan kenapa Kak Fas gelarkannya sebagai teman seperjuangan?


Jawapannya, Ira seperti Kak Fas berada dalam landasan dan bidang sama iaitu kewartawanan. Bezanya beliau menjadi mangsa keadaan apabila mendapat surat cinta…. bukan surat cinta dari kekasih tau tetapi surat cinta yang amat perit ditelan - ‘surat berhenti kerja’.


Bukan sekali tau tetapi dua kali. Bayangkan sedang kita berseronok dengan kerjaya tiba-tiba diarahkan berhenti kerja, 24 jam pula tu. Aduh! Siapa tak sedih kan, apa tah lagi ada ibu bapa yang perlu dijaga hati mereka walau pun sudah bersuami.

Lebih sebak apabila dalam tempoh perkahwinan selama 5 tahun, hampir enam kali pula keguguran sehingga kini Ira dan suami, Mohammed Afiq Abu Hasan masih belum dikurniakan zuriat buat penyambung waris.


Mendengar cerita Ira, Kak Fas berkongsi dan terasa kesedihan yang dihadapi dan Kak Fas percaya pengalaman begitu bukan sahaja dirasai Ira seorang bahkan ramai lagi yang mengalami situasi di mana ‘langit tidak selalunya cerah’. Satu hari kita mungkin di atas dan tidak mustahil juga kita boleh jatuh tersungkur kerana segala aturan Allah swt jua yang maha mengetahui.


Apa pun yang penting usaha tidak harus berhenti. Menangis air mata berdarah sekali pun tidak akan menemui jawapan kepada kejayaan tanpa bangkit dari kegagalan.


Dan itulah yang dilakukan oleh Ira apabila berdepan kesusahan.


“Saya tidak malu untuk memberitahu, pernah korek tabung kerana kehabisan duit,” ujar lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian dari Universiti Sains Islam Malaysia dan Sarjana Komunikasi dari UiTM, Shah Alam ini.


Memulakan kisahnya, Ira memberitahu, kerjaya pertamanya selepas pengajian adalah menjadi seorang deejay selama sebulan di sebuah kompleks membeli-belah dikampung halamannya di Kota Bahru, Kelantan sebelum menjadi wartawan majalah di Kumpulan Karangkraf selama lebih dua tahun.


“Selepas itu saya berhenti kerana mendapat tawaran bekerja di Bernama sebagai penerbit,” ujarnya yang menganggap tugasan baharunya itu walau pun bersandarkan sebagai kakitangan kontrak  tetapi yakin agensi Kerajaan itu lebih menjaminkan kehidupannya.


Namun, sangkaannya meleset apabila ditamatkan kontrak selepas 5 tahun bekerja malah apabila menerima surat berhenti sehingga sekarang pun beliau tidak sampai hati untuk membuka dan membacanya, masih dalam simpanan.


"Apatah lagi waktu itu saya pula baharu keguguran buat kali ke enam, memang teramat sedih rasanya," kenang Ira sewaktu ditemui baru-baru ini.

Menurutnya dalam tempoh  dua bulan tanpa kerja, jiwanya tertekan dan sering meratap akan nasib yang menimpa namun sokongan suami membuatkannya tabah malah suami pula yang tidak berhenti mencari ruang pekerjaan untuknya melalui jobstreet.


Nasib menyebelahinya di mana dalam masa singkat, Ira mendapat tawaran sebagai 'editor' di sebuah syarikat media yang tertumpu pada akhbar tabloid berkaitan kesihatan.


"Tetapi nak dijadikan cerita, selepas dua tahun sebulan bekerja, sekali lagi saya diserahkan surat berhenti 24 jam dengan alasan mereka mahu menutup akbar berbahasa Melayu disebabkan tiada keuntungan. Kali ini saya terpaksa buka surat sebab kena tandatangan dan sekali gus itu juga air mata mengalir tanpa dipaksa," sambung Ira sedih.

Luahan hati Ira yang di muat naik dalam laman sosial medianya.

Dari raut wajahnya dan bebola matanya yang berkaca dapat dilihat kekecewaan yang dirasai kala bersembang. Namun wajahnya kembali segar selepas memberitahu mendapat sokongan suami yang menjadi kekuatannya.

"Melihat saya menangis setiap hari suami siap berikan saya tasbih suruh zikir banyak-banyak dan itulah yang saya lakukan untuk tenangkan hati," cerita Ira bersyukur.


Mengenangkan nasibnya yang ditimpa tangga kali kedua, beliau mengambil keputusan untuk membuka portal dan laman sosialnya sendiri secara dalam talian yang dinamakan Newsfeed Malaysia (kini Newsfeed Media).


Pun begitu, menyedari apa yang dilakukan tidak mampu menampung perbelanjaan harian seperti hutang piutang dan sebagainya, terdetik di hatinya untuk mencari sesuatu yang lebih menjamin dan mengukuhkan pendapatannya setiap bulan.


Kembali ke dunia kewartawanan tetapi bukan sebagai wartawan, Ira mengambil langkah memasarkan majalah Mingguan Wanita di mana dalam tempoh empat bulan beliau sudah mampu memperoleh pendapatan sehingga RM12,000.


Bertitik tolak dari situ, Ira menambah pendapatannya dengan menjual majalah-majalah lain keluaran Karangkraf sehingga mampu mengaut pendapatan mencapai enam angka.



Yakin dengan langkah yang diambil, Ira terus menubuhkan  syarikat Newsfeed Enterprise dengan seorang kakitangan iaitu rakannya yang sama-sama dibuang kerja di syarikat terdahulu.


Mendengar kisahnya yang panjang lebar, Kak Fas serta empat bloggers lain turut teruja dengan semangat kentalnya namun yakin pahit manis yang dilalui Ira ada hikmah di sebaliknya.


Memang benar, sebaik beralih ke bidang pemasaran dan pengiklanan, Ira kini sudah mampu senyum lebar apabila dalam masa 11 bulan dapat mencapai jualan sehingga RM6j daripada lebih 100 klien di bawah pengurusannya.


Pencapaian terbesarnya apabila berjaya memperoleh tajaan hampir RM1,5j selama setahun bagi  tudung anti kedut, 'FAREHA' untuk siaran di JOHARA pagi ERA dan radio ERA.fm. Dari kiri: Mohamad Afiq, Ira, Nurul Fareha Anuar dan suami, Yusri.


Dan paling mengagumkan, Ira tidak mengeluarkan sesen pun sebagai modal permulaannya untuk berniaga.


"Modal saya hanyalah bercakap. Kebolehan itulah yang saya gunakan untuk mendekati klien," ujar Ira jujur sambil mengakui banyak mempelajari selok belok berbisnes dan branding setelah mengikuti kelas bimbingan secara peribadi daripada seorang pakar.


Pun begitu, Ira berpegang pada prinsip membantu ibu bapa walau pun berada dalam kesusahan sekali pun.


"Bayangkan semasa menganggur, saya tidak sampai hati nak cerita kepada abah emak tetapi saya tetap berusaha untuk memberikan mereka duit setiap bulan walaupun duit saya sendiri tidak mencukupi," tambahnya yang kini selepas berjaya mampu pula memberikan RM25,000 kepada ayahnya yang kepingin membeli sebidang tanah di kampung malah terus memberi duit perbelanjaan setiap bulan seperti kebiasaannya sejak mula bekerja dengan gaji RM1,700.



Tidak berjuang untuk memajukan diri sendiri semata-mata, anak ketiga berasal Kelantan ini menitikberatkan kualiti dalam berbisnes waima selalu turun padang dan memberikan 'personal touch' nya sendiri kepada setiap klien.


Menurutnya, setiap peniaga perlu meletakkan niat yang betul ketika menjalankan perniagaan. 


Pesan Ira melalui pengalaman, "dulu pernah terfikir kenapa lambat sangat perniagaan saya berkembang. Rupanya saya lakukan kerana kepentingan diri sendiri untuk memperoleh wang ringgit tetapi apabila saya tukarkan niat untuk membantu lebih ramai peniaga Melayu maju, perniagaan saya semakin maju."


"Saya turut rasa happy apabila dapat menaikkan jualan klien berkali ganda daripada kos yang dibelanjakan untuk pengiklanan," kata Ira.


Sepanjang lebih dua jam sembang-sembang santai, banyak lagi pengalaman suka dukanya dikongsikan sambil menjentik semangat kami untuk melakukan kerja seumpama.



"Saya sedih apabila mendengar ramai di antara rakan-rakan media kini hilang sumber pendapatan dalam tempoh negara dilanda musibah pandemik COVID-19 ini," tambah Ira sambil menasihatkan agar golongan yang terkesan ittu mengambil langkah proaktif sepertinya kerana kekosongan dalam perniagaan seperti yang dilakukannya sekarang masih boleh diterokai.


Mensasarkan jualan mampu mencapai RM25 juta bagi tahun 2021, Ira yang memperlihatkan keyakinan yang jitu merancang melebarkan sayap perniagaannya dari sebuah syarikat enterprise kepada Sdn Bhd.


"Bagi saya tidak mustahil untuk mencapai sasaran tersebut sebab itu saya harus bertukar status syarikat bagi mendapatkan projek yang bernilai jutaan ringgit," jelas Ira yang kini mempunyai 13 kakitangan termasuk suaminya, Mohamed Afiq sebagai Pengarah Urusan manakala beliau menjawat kerusi CEO.


Bercerita lanjut Ira memberitahu, walau pun suami bertugas sebagai jurutera sebelum ini namun beliau ada meluahkan rasa stres dan malas lagi  'makan gaji'.


"Jadi selepas 6 bulan dan nampak ada perkembangan, barulah dia berhenti untuk  bersama saya, dia lah yang menguruskan segala hal ehwal dokumentasi dan akaun kerana saya memang malas membuat kerja seperti itu. Kebolehan saya bercakap," ujar Ira dalam ketawa kecil.


Jika korang nak tahu, Ira bukan sahaja mendapat sokongan suami malah kesemua lima adik beradiknya termasuk dua abangnya kecuali adik bongsu yang masih belajar,  bekerja dengannya.


Sesungguhnya, Ira adalah contoh seorang peniaga berjaya yang dapat membina empayar daripada kaum keluarga sendiri sebagaimana yang lazimmya dilakukan oleh kaum Cina. Ira merupakan anak ketiga tetapi kakak sulong daripada tiga beradik perempuan yang ada.



Tidak timbul sangkaan yang selalunya mengatakan bila adik beradik bekerja sekali memang sukar untuk bersatu hati apatah lagi di kalangan orang Melayu sebab perasaan PHD (perasaan hasad dengki) sentiasa cuba merasuk jiwa.


Petang itu, Ira ditemani adiknya, Siti Nur Syahirah, 25 selaku pembantu peribadinya yang kelihatan sebuk mengambil gambar ketika kami bersembang.


Rupanya, gambar itu diabadikan ke dalam laman sosial Ira @qaseh sufi di mana platform itulah dijadikannya ruang untuk mempromosikan fungsi syarikat dan tugasan hariannya.



Tidak syak lagi, 'personal branding' sepertimana yang dilakukan melalui facebook, instagram mahu pun portalnya yang dibangunkan menjadi 'dairy kehidupannya'  agar dapat menjadi testimoni kepada klien yang mahu melihat kredibilitinya.


Kak Fas tidak ketinggalan menjengah ke laman facebooknya dan 'Wow" adalah perkataan yang mula-mula terpacul apabila melihat begitu banyaknya pencapaian kejayaaan Ira yang bukan sahaja membanggakan dirinya sendiri bahkan peniaga-peniaga Melayu itu sendiri.


"Apabila klien puas hati dan gembira, saya turut gembira kerana dapat berkongsi sama kejayaan mereka itu," akhiri Ira yang Kak Fas percaya daripada raut wajahnya yang berseri dan sentiasa senyum ia membayangkan pancaran kebahagian yang kini dikecapi dan petanda berakhir sudah kesengsaraan yang satu ketika dulu singgah seketika di kamar hatinya.


Kak Fas: Tahniah Ira. Sejuk perut ibu mengandung. Ira bukti pandemik COVID-19 bukan alasan untuk bersedih dan meratap tetapi jika ada kemahuan di situ ada kejayaan. Tabah dan sabar serta bantu membantu kunci rahmat yang Allah kehendaki kerana setiap musibah ada hikmahnya.



#NewsfeedMedia  #FAREHA #Media #Pengiklanan #NewsfeedEnterprise #PNA















14 ulasan:

Unknown berkata...

Alhamdulillah..rezeki ada dimana-mana.

messarah berkata...

di sebalik kejayaan seseorang tu ada banyak ujian dan dugaan yang perlu ditempuh sebelum dapat menikmati semua kejayaan tu. nice inspiration!

Sunah Sakura berkata...

masya Allah...orang hebat yang sungguh memberi inspirasi..besar betul dugaan dalam hidup dia, besar juga pahalanya kerana bersabar dan terus bersabar..akhirnya Allah kurniakan kejayaan..alhamdulillah..

Kayathre berkata...

Good inspiration to many people. Kejayaan pasti akan menjadi milik orang yang tidak berputus asa.

Ummi berkata...

Besar betul dugaan yang beliau hadapi. Tapi semua tu pasti ada hikmah, dan membuat beliau lebih kuat dalam mengorak langkah kejayaan.

Zharif Azis berkata...

hidup ibarat roda, tidak sentiasa di atas. Sangat kagum dengan kecekalan beliau dlm jalani kehidupan yg penuh liku nie. yang penting, kena sentiasa bangkit tiap kali jatuh

Sis Lin berkata...

Rasanya Sis pernah beli dan pakai tudung Fareha tu.. kejayaan yang bersusah payah sebelumnya pasti Allah balas dengan ganjaran yang lebih lagi..

marsha berkata...

Betul tudung Fareha trending sekarang dan disukai peminat tudung bawal. Orang nampak senang tapi nak mendaki ke tahap ni hanya yang mengalami je tahu macamana.Salute sangat!

Kitkat Nelfei berkata...

Inspirasi buat semua termasuk la saya sendiri.. Betul tue rezeki ada dimana2 dan janji tidak putus asa surely we will reach there too..

Wawa Ashihara berkata...

Tak sangka jln cerita kisah hidup dia berliku2 ye.. Tp betullah org kata nk berjaya bukan boleh senang terus... Dan skrg tudung fareha pun dh dikenali ramai.

Nadia Johari berkata...

Banyak cwrita dia.. Memnag bnayak halangan betul ye.. Tapi bgaus dia taknputus asa.. Sekrg akhirnya berjaya.. Tudung fareha pun best.. Betul2 rezeki dia.. Betul la org cakpa sush2 dahuli senang2 kemudian

AyuArjuna BiGoshh berkata...

Hebat figura ni. Bermula dari bawah dan pernah kalah tapi x pernah mengakah. Bagus dengan sifat perjuangan ada dalam diri

saidila berkata...

Suka baca cerita camni , walaupun saya tak hebat tapi baca kisah kejayaan orang pun saya tumpang gembira. Rezeki dia tu sebab ada kelebihan yang mungkin orang lain tiada. Susah yang dia alami tu sebahagian dari ujian untuk dia berjaya pada hari ini.

dr-Life berkata...

success will not come simply to anyone but to people who have a very hard time story behind but never make it as excuses and keep on fighting until success... nice read here!