KUALA COLA CABAR DOMINASI JENAMA GLOBAL, SASAR JADI IKON MINUMAN MALAYSIA KE PENTAS DUNIA!
BERMULA daripada sebuah idea hasil permintaan pasaran luar negara, Kuala Cola kini melangkah ke fasa baharu dalam usaha membina jenama minuman berkarbonat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global apabila memeterai Memorandum Rakan Strategik Pengedaran bersama DMG Dynamic Manufacturing Global (DMG).
Kerjasama itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Kuala Cola di pasaran domestik, selain membuka ruang lebih luas untuk pengembangan ke pasaran antarabangsa menerusi rangkaian pengedaran yang lebih tersusun.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Kilang DMG, Mara Halal Industrial Park, Selangor itu disempurnakan oleh Pengerusi DMG dan pemilik syarikat DMG DYNAMIC, Datuk Dr Hassan Saad bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Sis Ahmad dengan Dato Hajah Suzana Zakaria selaku Pengarah Pembangunan Perniagaan Neatness Group Sdn Bhd serta Pengarah syarikatnya, Dr. Sadona Tham serta Pegawai Pemasaran Antarabangsa DYNAMIC, Darisah Nasri.
![]() |
| DARI kiri: Mohamad Sis, Dr. Hassan, Suzana dan Dr. Sadona memeterai MoU. |
Turut hadir beberapa pemimpin industri, usahawan, pengedar, serta rakan strategik yang berkongsi visi sama untuk membawa produk tempatan ke tahap lebih tinggi.
Melalui kerjasama strategik yang dimeterai, Kuala Cola mensasarkan peningkatan ketara dalam jaringan pengedaran, pengukuhan jenama di pasaran tempatan serta pengembangan agresif ke pasaran antarabangsa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Kami percaya bahawa jenama tempatan mempunyai kemampuan untuk berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa. Memorandum ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuhkan rangkaian pasaran dan mempercepatkan pertumbuhan Kuala Cola di dalam serta luar negara,” ujar Hassan Saad.
Menurutnya, idea kolaborasi ini timbul apabila beliau sendiri mencuba produk itu sebelum menggerakkan perancangan lebih serius bersama rakan strategik.
“Pada April lalu apabila saya menerima Kuala Cola, saya terus buka dalam kereta dan minum. Selepas itu saya terus telefon Datuk Suzana dan kata, kita mulakan perjalanan ini,” kenangnya.
Tambahnya, Kuala Cola bukan sekadar sebuah minuman, tetapi satu usaha mengubah cara rakyat Malaysia melihat jenama tempatan.
“Lebih 60 tahun kita minum kola. Sekarang kita mahu tukar kepada Kuala Cola. Apabila orang sebut kola, kita mahu mereka juga ingat Kuala Kola,” tambahnya.
Menurut Hassan, Kuala Cola kini memberi fokus kepada pengukuhan pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum memperluaskan pengaruh ke luar negara secara berperingkat.
Beliau turut meningkatkan sasaran jualan selepas melihat sambutan terhadap produk berkenaan.
“Pada awalnya kita sasarkan 20,000 karton sebulan. Tetapi saya mahu cabar Dato Suhana, bukan lagi 20,000 karton, kita sasarkan 50,000 karton,” katanya.
![]() |
| DARI Kiri: Mohamad Sis, Darisah, Suzana dan Dr. Sadona. |
Sementara itu, Hajah Suzana berkata, kerjasama strategik bersama DMG bukan sekadar membabitkan aspek pengedaran, tetapi menjadi pemangkin kepada usaha membina jenama tempatan yang mempunyai kemampuan bersaing dengan jenama antarabangsa.
“Kuala Cola sebelum ini lebih kepada perniagaan import dan pengedaran. Apabila mendapat permintaan daripada rakan di Arab yang melihat peluang pasaran, kita mula buat kajian dan mengambil masa hampir setahun untuk menghasilkan formula yang sesuai,” katanya.
Menurutnya, Kuala Cola telah mula membina rangkaian pengedar dalam negara termasuk kerjasama strategik bersama DMG, selain menggunakan saluran terus ke beberapa pasaran luar.
Antara pasaran yang diberi perhatian ialah negara-negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Dubai, Syria dan Turkiye, selain perancangan memasuki pasaran baharu seperti Indonesia serta Thailand.
“Kita tidak mahu terlalu drastik. Kita mahu perkenalkan produk dahulu, kemudian berkembang secara perlahan tetapi kukuh,” kata Suzana.
Kuala Cola tampil dengan keunikan tersendiri menerusi formulasi Zero Sugar dan Zero Kalori, selain gabungan rasa premium dengan sentuhan garam Himalaya yang menjadi identiti produk tersebut.
Dengan pasaran minuman Malaysia yang bernilai lebih RM32 bilion setahun, Kuala Cola melihat potensi besar untuk berkembang menerusi perubahan trend pengguna yang semakin terbuka mencuba pilihan baharu.
“Kami percaya jenama tempatan mempunyai kemampuan untuk berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa. Apa yang penting ialah kita mempunyai produk berkualiti, strategi yang tepat dan sokongan rakan strategik yang kukuh,” katanya.
Dari segi pengeluaran, Kuala Cola kini dihasilkan di kilang yang beroperasi di Gambang, Kuantan, dengan sokongan dua gudang penyimpanan di Kuala Lumpur bagi memastikan keupayaan memenuhi permintaan pasaran.
Nama Kuala Cola dipilih kerana ia membawa identiti Kuala Lumpur dan secara tidak langsung menjadi simbol kepada produk tempatan yang mahu dibawa ke peringkat lebih luas.
Menurut Suzana, pelaburan awal bagi membangunkan Kuala Cola hampir mencecah setengah juta ringgit, manakala strategi pemasaran kini turut diperluaskan melalui platform dalam talian dan rangkaian restoran Arab serta pasar raya tempatan.
Menerusi kerjasama bersama DMG, Kuala Cola menyasarkan peningkatan ketara dalam jaringan pengedaran, pengukuhan jenama di Malaysia serta pengembangan lebih agresif ke pasaran antarabangsa.
Rozanna berkata, kejayaan Kuala Cola bukan hanya bergantung kepada produk semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kekuatan kerjasama semua pihak yang terlibat.
“Kejayaan sesuatu jenama dibina melalui keyakinan, kerjasama dan komitmen bersama. Kami mahu Kuala Cola bukan sahaja dikenali sebagai produk tempatan, tetapi sebagai jenama Malaysia yang mampu berdiri di pentas dunia,” katanya.
Dengan visi membawa identiti tempatan ke pasaran global, Kuala Cola optimis untuk muncul sebagai antara jenama minuman ringan Malaysia yang mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Pihak syarikat turut menyeru semua pengedar, usahawan dan rakan strategik untuk memainkan peranan sebagai duta jenama dalam memperkenalkan Kuala Cola kepada lebih ramai pengguna serta membuka peluang pasaran baharu di seluruh negara dan luar negara.
Artikel berkaitan sila klik LINK INI.
#KualaCola #DMGDynamic #NeatnessGroup #MinumanKarbonat #Kuantan #fyp












Tiada ulasan:
Catat Ulasan