Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

TEMPAHAN HYUNDAI STARGAZER BAHARU KINI DIBUKA, SASAR KELUARGA MODEN BERKONSEP ‘WEhicle’!


HYUNDAI Motor Malaysia (HMY)
memperkenalkan model terbaharunya, Hyundai STARGAZER, yang menyasarkan segmen keluarga moden Malaysia menerusi konsep “WEhicle” — sebuah kenderaan yang bukan sekadar membawa penumpang, tetapi menjadi teman perjalanan untuk setiap ahli keluarga.


Diperkenalkan secara eksklusif di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 baru-baru ini,  Hyundai STARGAZER kini dibuka untuk tempahan, sekali gus menandakan langkah Hyundai memperkukuhkan barisan kenderaan serba guna yang memenuhi keperluan gaya hidup pengguna tempatan.


Kemunculan STARGAZER di Malaysia hadir ketika Hyundai Motor Malaysia terus memperluaskan portfolio selepas penubuhannya sebagai anak syarikat langsung Hyundai, dengan fokus menawarkan pilihan mobiliti yang lebih pelbagai — daripada kenderaan elektrik berprestasi tinggi sehinggalah model keluarga yang praktikal dan selesa.


Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia,  Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, konsep “WE” dalam “WEhicle” menjadi elemen utama dalam pembangunan STARGAZER kerana kenderaan masa kini perlu memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada pengguna.



“Bukan hanya mengenai kereta itu, tetapi mengenai insan yang berada di dalam dan sekelilingnya. Kami percaya ‘WE’ adalah perkara paling penting, dan Hyundai mereka bentuk STARGAZER sebagai teman perjalanan yang pintar serta selamat untuk keluarga moden Malaysia,” katanya.


Dibangunkan dengan fokus kepada keselesaan, ruang dan teknologi pintar, Hyundai STARGAZER tampil dengan reka bentuk lebih futuristik menerusi siluet aerodinamik serta lampu LED penuh lebar berbentuk ‘H’ yang menjadi identiti Hyundai di bahagian belakang.


Bagi keluarga yang mahukan penampilan lebih agresif, Hyundai turut memperkenalkan varian STARGAZER X yang membawa elemen rekaan berinspirasikan SUV menerusi bampar sporty, spoiler belakang, overfender serta kemasan hitam yang memberikan imej lebih dinamik.


Masuk ke ruang kabin, STARGAZER menawarkan susun atur tiga baris yang direka sebagai ruang keluarga moden dengan penekanan terhadap keselesaan dan kemudahan harian. Ia dilengkapi paparan digital sehingga 10.25 inci, pengecas tanpa wayar serta meja terbina pada belakang tempat duduk yang memberikan pengalaman perjalanan lebih praktikal terutama untuk keluarga.


Dari aspek prestasi, model ini menggunakan enjin 1.5 liter Smartstream yang digabungkan bersama transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT), menawarkan pemanduan lancar serta efisien untuk kegunaan harian.



Keselamatan turut menjadi antara fokus utama STARGAZER menerusi sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense ADAS termasuk ciri Smart Cruise Control dengan Stop & Go bagi membantu memberikan keyakinan lebih tinggi ketika berada di jalan raya.


Menariknya, Hyundai STARGAZER hadir dengan jaminan selama lapan tahun atau 160,000 kilometer, menjadikannya antara tawaran penting Hyundai dalam menarik perhatian pembeli keluarga yang mementingkan nilai jangka panjang.


Untuk pasaran Malaysia, Hyundai STARGAZER ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu varian 7-seater Style dengan anggaran harga RM99,XXX, 7-seater Prime sekitar RM109,XXX dan 6-seater X sekitar RM121,XXX.


Pengunjung KLIMS 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 11 hingga 21 Jun berpeluang melihat sendiri STARGAZER selain melakukan pandu uji dan membuat tempahan terus di pameran berkenaan sebelum model ini memasuki pasaran secara rasmi tidak lama lagi.


Dengan kehadiran STARGAZER, Hyundai Motor Malaysia melihat peluang besar dalam segmen kenderaan keluarga dengan menawarkan gabungan reka bentuk moden, teknologi pintar dan ruang fleksibel yang selari dengan keperluan keluarga Malaysia masa kini.



#Hyundai #HyundaiSTARGAZER #WEhicle #STARGAZERX #KLIMS2026 #MITEC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan