Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KLIMS 2026 PACU TRANSFORMASI INDUSTRI AUTOMATIF KE ARAH ERA MOBILITI PINTAR, MAMPAN!



INDUSTRI automotif negara kini memasuki fasa baharu apabila teknologi, kelestarian dan keselamatan menjadi tunjang utama dalam membentuk masa depan mobiliti, selari dengan perubahan global daripada kenderaan konvensional kepada penyelesaian pengangkutan yang lebih pintar dan mesra alam.


Peralihan itu menjadi fokus utama Pameran Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang membuka tirai di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), sekali gus mengangkat edisi ke-11 acara automotif berprestij negara dengan tema “Beyond Mobility”.



Dianjurkan oleh Malaysia Automotive Association (MAA) dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, KLIMS 2026 menghimpunkan pengeluar automotif tempatan dan antarabangsa bagi memperlihatkan inovasi terkini termasuk teknologi elektrifikasi, kenderaan elektrik (EV), sistem mobiliti pintar serta konsep pengangkutan masa depan.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hj Hasbi Habibollah, yang berkata perkembangan industri mobiliti dunia kini berubah dengan pantas menerusi kemajuan dalam elektrifikasi, teknologi kenderaan berhubung, automasi, sistem pengangkutan pintar dan tenaga alternatif.



Menurut beliau, transformasi mobiliti bukan hanya berkaitan menghasilkan kenderaan lebih canggih, tetapi turut perlu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan jalan raya serta kesejahteraan pengguna.

.

“Ketika kita membincangkan masa depan mobiliti, keselamatan mesti kekal sebagai agenda utama. Mobiliti baharu bukan sahaja perlu lebih bersih dan lebih berhubung, malah perlu membantu mengurangkan kemalangan, melindungi pengguna jalan raya serta menyokong tingkah laku pemanduan yang lebih selamat,” Hj Hasbi pada majlis pelancaran KLIMS 2026 baru-baru ini. Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh.



Beliau berkata, Malaysia komited untuk mempercepatkan peralihan ke arah penyelesaian mobiliti bernilai tinggi dan mampan, seiring dengan aspirasi negara dalam pembangunan teknologi hijau.


KLIMS 2026 turut dilihat sebagai platform strategik dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi automotif serantau menerusi kerjasama antara pengeluar tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri global.



Sementara itu, Presiden MAA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLIMS 2026, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, konsep mobiliti masa kini telah berkembang melangkaui fungsi asas pengangkutan.


Katanya, industri automotif kini bukan lagi sekadar menghasilkan kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, sebaliknya memainkan peranan lebih besar dalam membentuk bandar pintar, menghubungkan komuniti dan meningkatkan kualiti kehidupan melalui teknologi.


“Mobiliti hari ini mencerminkan bagaimana bandar berfungsi dan bagaimana teknologi mampu menghubungkan masyarakat melalui penyelesaian yang lebih pintar serta mampan. Tema ‘Beyond Mobility’ menggambarkan perubahan industri daripada pengangkutan tradisional kepada ekosistem mobiliti yang lebih luas,” katanya.



Pembukaan KLIMS 2026 turut menyaksikan kehadiran lebih 900 tetamu yang menyaksikan pelbagai pelancaran model baharu, pratonton kenderaan eksklusif dan paparan konsep masa depan daripada 18 jenama automotif.


Selain menjadi medan pameran teknologi terkini, KLIMS 2026 turut menawarkan pengalaman interaktif kepada pengunjung menerusi pelbagai aktiviti automotif dan gaya hidup. 



Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM125,000 termasuk hadiah utama sebuah Perodua Bezza.


KLIMS 2026 berlangsung sehingga 21 Jun 2026 di MITEC dan dijangka menjadi titik pertemuan penting bagi pemain industri, pembuat dasar serta pengguna dalam meneroka hala tuju baharu mobiliti Malaysia yang lebih hijau, selamat dan inovatif.



#KLIMS2026 #BeyondMobilit#MITEC #MAA #QUBE #Automatif #TeknologiHijau 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan