'STAR KARNIVAL CUTI-CUTI MALAYSIA 2026' JELAJAH 6 NEGERI BERMULA DI PAHANG 3 JULAI!
USAHA memperkukuh sektor pelancongan tempatan sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) terus diperkasakan menerusi penganjuran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 yang bakal membawa pengalaman percutian tempatan lebih dekat kepada rakyat di seluruh negara.
Kerjasama antara Tourism Malaysia dan Star Media Group Berhad (SMG) itu menyaksikan karnival berkenaan kembali untuk edisi kedua dengan siri jelajah melibatkan enam negeri iaitu Pahang, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.
Dilancarkan di Menara Star hari ini (24 Jun 2026), inisiatif bertemakan “Discover, Experience, Explore” itu dijangka menarik lebih 200,000 pengunjung sekali gus menjadi platform penting dalam merangsang perjalanan domestik, meningkatkan perbelanjaan pelancongan serta memberi peluang kepada pemain industri berhubung terus dengan pengguna.
Karnival ini menghimpunkan pelbagai sektor berkaitan pelancongan termasuk organisasi pelancongan negeri, hotel, resort, tarikan pelancongan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, pengusaha aktiviti pelancongan lasak serta jenama berkaitan perjalanan.
Selain mempromosikan destinasi menarik dalam negara, pengunjung juga berpeluang mendapatkan tawaran pakej percutian, promosi penginapan, pengalaman destinasi, aktiviti interaktif dan pelbagai tawaran eksklusif untuk merancang percutian mereka.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, sektor pelancongan memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada ekonomi negara selain memberi manfaat terus kepada komuniti tempatan.
Menurut beliau, perkembangan industri pelancongan bukan sahaja memberi peluang kepada pemain besar seperti hotel dan resort, malah turut menyokong golongan pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengusaha pengangkutan, peniaga makanan, pemandu e-hailing serta usahawan kraftangan.
Katanya, Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 menjadi antara platform yang membantu merealisasikan objektif VM2026 dengan mempertemukan pemain industri dan pengguna dalam usaha meningkatkan minat rakyat untuk meneroka keindahan negara sendiri.
“Setiap perjalanan mewujudkan peluang ekonomi kepada pelbagai lapisan masyarakat yang menjadi tulang belakang sektor pelancongan. Karnival seperti ini membantu memperkenalkan lebih banyak destinasi serta tawaran pelancongan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut berkata, usaha berterusan melalui pelbagai program pelancongan mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan selain meningkatkan rasa bangga rakyat terhadap khazanah tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad, Chan Seng Fatt berkata, penganjuran karnival tersebut bertujuan menghubungkan pengembara dengan pemain industri menerusi satu platform yang lebih mudah dan menarik untuk mendapatkan inspirasi percutian.
Beliau berkata, sebagai organisasi media tempatan, SMG berbangga dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam menyokong agenda VM2026 dengan memanfaatkan capaian media bagi memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia.
Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 akan membuka tirai di Pahang pada 3 hingga 5 Julai 2026 bertempat di East Coast Mall, Kuantan sebelum diteruskan ke Paradigm Mall Johor Bahru bagi edisi Johor pada 31 Julai hingga 2 Ogos.
Jelajah itu kemudiannya bergerak ke Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu untuk edisi Sabah pada 14 hingga 16 Ogos, Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang pada 24 hingga 27 September, Sunway Pyramid, Selangor pada 23 hingga 25 Oktober dan berakhir di Plaza Merdeka, Kuching bagi edisi Sarawak pada 30 Oktober hingga 1 November 2026.
Dengan pelbagai tawaran serta aktiviti yang disediakan, penganjuran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan perjalanan domestik selain memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat dalam menyokong sasaran VM2026.
#StarKarnivalCuti-CutiMalaysia2026 @TourismMalaysia #DiscoverExperienceExplore





Tiada ulasan:
Catat Ulasan