PJ RAI WARGA KOTA DENGAN PELBAGAI PROGRAM PERCUMA SAMBUT ULANG TAHUN KE-20!
PETALING JAYA - Ketika banyak bandar berdepan cabaran urbanisasi, perubahan iklim dan transformasi digital, Petaling Jaya memilih untuk meraikan ulang tahun ke-20 status bandar rayanya dengan mempamerkan bagaimana sebuah bandar moden boleh berkembang secara mampan, inklusif dan berteraskan komuniti.
Menerusi Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang akan berlangsung dari 16 hingga 21 Jun ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan sahaja mengajak warga kota mengimbau perjalanan dua dekad lalu, malah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang mencerminkan hala tuju masa depan bandar raya itu.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Hj. Mohamad Zahri Hj. Samingon berkata, sambutan berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan serta memperbaharui komitmen semua pihak dalam membina bandar raya yang lebih mampan, pintar, bahagia dan berdaya tahan.
Menurut beliau, transformasi Petaling Jaya sejak diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006 tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh yang sentiasa menyokong pembangunan bandar raya tersebut.
“Dua dekad ini menyaksikan transformasi Petaling Jaya hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh. Sambutan ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan bandar raya ini,” katanya pada Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ, pada 5 Jun 2026 lalu.
Beliau berkata, MBPJ akan terus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, memperkasakan komuniti serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.
Kini dengan keluasan 97.2 kilometer persegi dan populasi seramai 807,879 penduduk setakat Januari 2024, Petaling Jaya berkembang sebagai antara pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan terpenting di Selangor serta Lembah Klang.
Seiring pertumbuhan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan MBPJ yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, transformasi digital, pengurusan alam sekitar, mobiliti bandar dan pengukuhan daya tahan komuniti.
Komitmen tersebut turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC).
Bandar raya itu juga diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF, sekali gus membuktikan kesungguhannya dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan modal insan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Sepanjang enam hari sambutan, sebanyak 11 program utama serta enam perkhidmatan percuma akan ditawarkan kepada orang ramai.
Antara acara utama ialah PJ Learning City Festival 2026 yang menampilkan forum pendidikan, program pembangunan kemahiran, literasi digital, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai sesi perkongsian ilmu.
Usaha memperkukuh budaya digital pula diteruskan menerusi PJ Digital 2026 yang bakal menampilkan pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan.
Dalam masa sama, agenda kelestarian akan terus diberi perhatian menerusi program seperti Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta pelbagai inisiatif ekonomi kitaran.
Bagi memastikan sambutan itu dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, pelbagai program komuniti turut disusun termasuk festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, program kesihatan, aktiviti keluarga, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics dan aktiviti khas untuk warga emas.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang dijangka menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis berkenaan akan diserikan dengan perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.
Selain persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api, pengunjung turut bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air termasuk Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani pada malam kemuncak sambutan.
Sambutan sepanjang festival turut dimeriahkan dengan persembahan artis lain termasuk Cherpen pada 19 Jun.
Festival itu akan melabuhkan tirainya pada 21 Jun dengan persembahan daripada Lan Solo, kumpulan KOI serta Floor 88 yang dijangka menghangatkan pentas penutup sambutan ulang tahun bersejarah tersebut.
Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan pelbagai inisiatif khas termasuk kemudahan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.
Pada majlis prapelancaran itu, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 sebagai platform mengiktiraf komuniti yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan di peringkat setempat.
Turut berlangsung penyampaian penghargaan Anugerah Persada Inovasi MBPJ 2026 kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif Majlis serta hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20.
Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun ini dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan oleh MBPJ.
#MBPJ #FestivalUlangTahunBandarRayaPetalingJayaKe-20 #Artis #fyp #Hiburan






Tiada ulasan:
Catat Ulasan