Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

JETOUR T1 SEDIA UNTUK TEMPAHAN, BAWA ERA BAHARU SUV PINTAR!


TREND
pemilikan SUV yang semakin berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia menyaksikan kehadiran lebih banyak model yang mengutamakan bukan sahaja prestasi, malah keselesaan, teknologi pintar dan gaya hidup moden. 


Mengambil peluang daripada permintaan itu, JETOUR Malaysia kini membuka tempahan bagi model terbaharunya, JETOUR T1, sebuah SUV yang direka untuk memenuhi keperluan pemanduan harian serta perjalanan santai bersama keluarga.


Diperkenalkan sebagai model yang bakal memperkukuhkan lagi kehadiran JETOUR dalam segmen SUV tempatan, JETOUR T1 tampil dengan rekaan moden, kabin berteknologi tinggi serta pelbagai ciri premium yang memberi pengalaman pemanduan lebih selesa dan terhubung.


SUV baharu ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu JETOUR T1 1.5L TGDi 2WD dan JETOUR T1 2.0L TGDi XWD, masing-masing dengan karakter tersendiri bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mencari kenderaan praktikal tetapi tetap bergaya.



Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Auto Malaysia, Fu Yong berkata, pembukaan tempahan JETOUR T1 menjadi satu pencapaian penting buat jenama itu dalam usaha menawarkan SUV yang lebih dekat dengan gaya hidup pengguna Malaysia.


“Dengan T1, kami memperkenalkan sebuah SUV yang menggabungkan reka bentuk berani, teknologi canggih, dankeserbagunaan praktikal, sejajar dengan keperluan dan aspirasi pemandu Malaysia hari ini. Kami yakin T1 akan mendapat sambutan hangat daripada mereka yang mencari SUV bergaya yang sesuai dengan gaya hidup harian mereka,” ujarnya.


Bagi varian JETOUR T1 1.5L TGDi 2WD, ia dikuasakan enjin 1.5 liter turbo direct injection yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan, memberikan pecutan responsif serta pengalaman pemanduan lebih lancar.


Model ini turut dilengkapi ciri seperti lampu utama dan lampu belakang LED penuh, roda aloi 18 inci, tempat duduk kulit sintetik, tempat duduk pemandu laras kuasa, skrin multimedia 12.8 inci dengan pembantu suara serta sistem audio lapan pembesar suara.


Dari aspek keselamatan, SUV ini hadir dengan enam beg udara SRS, sistem bantuan pemanduan canggih tahap 2 (ADAS Level 2) serta sistem pemantauan pandangan panorama yang membantu meningkatkan keyakinan ketika berada di jalan raya.



Sementara itu, varian lebih berkuasa JETOUR T1 2.0L TGDi XWD direka untuk pelanggan yang mahukan prestasi lebih tinggi dengan enjin 2.0 liter turbo direct injection dan sistem pacuan semua roda XWD. Ia turut menawarkan pilihan 7+X mod pemanduan bagi menyesuaikan kenderaan mengikut keadaan perjalanan.


Sebagai varian premium, ia hadir dengan kemasan lebih mewah termasuk roda aloi 19 inci, sunroof panoramik, kerusi pemandu dengan fungsi memori, kerusi penumpang hadapan laras kuasa, skrin multimedia 15.6 inci, sistem audio premium SONY sembilan pembesar suara serta pencahayaan ambien 64 warna.


Dari segi keselamatan, JETOUR T1 turut membuktikan keupayaannya apabila berjaya memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP mengikut protokol 2021–2025 dengan jumlah skor 87.67 mata.


Pelanggan juga boleh memilih daripada empat warna luaran yang ditawarkan iaitu Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black mengikut cita rasa masing-masing.


JETOUR T1 dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi dengan anggaran harga bermula daripada RM143,800 bagi varian 1.5L TGDi 2WD dan RM153,800 bagi varian 2.0L TGDi XWD, lengkap dengan pakej pemilikan serta jaminan menyeluruh.


Tempahan kini dibuka di bilik pameran rasmi JETOUR di seluruh negara, memberi peluang kepada pelanggan untuk menjadi antara yang terawal memiliki SUV baharu yang menggabungkan teknologi, keselesaan dan prestasi dalam satu pakej.


Maklumat lanjut boleh didapati di JETOUR Malaysia atau nak lebih mudah klik SINI.



#JetourAutoMalaysia #JetourT1 #ASEANNCAP #KLIMS #MITEC #SUV #Automotif

Tiada ulasan:

Catat Ulasan