TOURISM MALAYSIA, SUNWAY HOSPITALITY METERAI KERJASAMA STRATEGIK PERKASA VMY2026!
KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia dan Sunway Hospitality Group memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus mencipta satu daripada kerjasama awam-swasta terbesar dalam usaha melonjakkan sektor pelancongan negara ke peringkat global.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Hospitality Group, Alex Castaldi bertempat di Hotel Sunway Resort pada 15 Jun 2026.
Melalui kerjasama ini, Sunway Hospitality Group akan menjadi antara rakan strategik utama dalam memperkukuh kempen VM2026 menerusi pelbagai aktiviti promosi termasuk penganjuran program familiarisasi (FAM trips) untuk media antarabangsa, pempengaruh dan pemain industri pelancongan.
Menggabungkan capaian promosi global Tourism Malaysia dengan pengalaman hospitaliti Sunway, kerjasama ini bakal mengetengahkan beberapa produk pelancongan premium negara termasuk Sunway Resort Hotel di Sunway City Kuala Lumpur selain The Banjaran Hotsprings Resort di Ipoh dan banyak lagi.
Kekuatan Sunway turut diperluaskan menerusi keahlian dalam Global Hotel Alliance (GHA) serta program kesetiaan GHA DISCOVERY yang mempunyai lebih 35 juta ahli di seluruh dunia, waima membuka peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada rangkaian pelancong antarabangsa yang lebih luas.
Bagi meraikan kerjasama strategik itu, Sunway Hospitality Group turut melancarkan kempen khas VM2026 yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus bagi kadar penginapan, naik taraf bilik percuma di hotel dan resort terpilih serta ganjaran berganda DISCOVERY Dollars (D$) untuk ahli GHA DISCOVERY.
Kempen tersebut terbuka untuk tempahan sehingga 31 Julai 2026 bagi tempoh penginapan sehingga 30 September 2026 menerusi platform rasmi Sunway Hotels, memberi peluang kepada pelancong menikmati pengalaman meneroka Malaysia dengan nilai tambahan.
Kerjasama ini hadir ketika industri pelancongan negara menunjukkan momentum positif apabila Malaysia merekodkan 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada 2025 berbanding 38 juta pada 2024, peningkatan kira-kira 11.2 peratus.
Sehingga April tahun ini pula, Malaysia mencatatkan 14 juta ketibaan pelawat, meningkat 4.7 peratus berbanding 13.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu, mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai antara destinasi paling banyak dikunjungi di Asia Tenggara.
“Angka adalah satu perkara, tetapi yang lebih penting ialah memastikan rakan industri kita turut merasai manfaat daripada pertumbuhan ini. Kalau angka meningkat tetapi hotel, produk pelancongan dan pemain industri tidak mendapat impak positif, itu bukan kejayaan sebenar,” ujar Mohd Amirul.
Tambah beliau, kerjasama Tourism Malaysia bersama pemain industri seperti Sunway Hospitality Group mencerminkan komitmen berterusan untuk membina ekosistem pelancongan yang lebih kukuh, mampan dan berdaya saing di peringkat global, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor pelancongan.
Sementara itu, Sunway Hospitality Group menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia dalam menyokong kempen Visit Malaysia Year 2026-2027 bagi memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Sebagai jenama tempatan yang berakar kukuh di Malaysia, Sunway Hospitality mahu memastikan pelbagai pengalaman dan tawaran pelancongan dapat diketengahkan kepada pelawat domestik serta antarabangsa menerusi kerjasama tersebut.
“Sebagai syarikat tempatan Malaysia, kami mahu bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk memperkenalkan hospitaliti Malaysia yang mesra, autentik dan bertaraf dunia kepada setiap tetamu,” kata Alex Castaldi.
Sunway akan membawa pelawat antarabangsa meneroka rangkaian 12 hotel dan resortnya yang merangkumi Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru dan Ipoh, termasuk pengalaman bersepadu di Sunway City Kuala Lumpur, selain portfolio antarabangsa di Vietnam dan Kemboja.
Kerjasama itu turut selari dengan visi jangka panjang Sunway dalam membangunkan destinasi bersepadu yang menggabungkan elemen pelancongan, gaya hidup, kesihatan, pendidikan dan hiburan.
Sesungguhnya, kolaborasi ini menjadi contoh bagaimana gabungan kekuatan kerajaan dan industri mampu mempercepatkan pertumbuhan sektor pelancongan serta meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia.
#TourismMalaysia #SunwayHospitality #Pelancongan #VisitMalaysiaYear2026/27


Tiada ulasan:
Catat Ulasan