Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

TASHEEHQU: INOVASI AI PERKASA PENDIDIKAN AL-QURAN OKU PENGLIHATAN!


TERENGGANU
- Keterbatasan penglihatan bukan lagi menjadi penghalang bagi golongan OKU penglihatan di negara ini untuk mendalami bacaan Al-Quran secara mandiri, berikutan kejayaan pembangunan aplikasi inovatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai TasheehQu. 


Inisiatif hasil penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini kini menjadi solusi digital utama dalam memperkasa komuniti tersebut, sekali gus mengubah landskap pembelajaran agama yang selama ini sangat bergantung kepada kehadiran guru secara fizikal.


Potensi besar aplikasi ini telah dibuktikan melalui sesi pemantauan projek MyIS-24-1907 yang berlangsung di pejabat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Cawangan Terengganu di Seberang Takir. 


Sesi tersebut turut dihadiri oleh pihak Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meninjau keberkesanan sistem tersebut dalam situasi sebenar, di mana pengguna dapat menyemak serta memperbetulkan bacaan Al-Quran mereka hanya dengan menggunakan telefon pintar.


Menurut penyelidik UniSZA yang juga pembangun sistem tersebut, Dr. Ahmad Faisal Amri Abidin, TasheehQu beroperasi dengan memanfaatkan algoritma AI yang canggih untuk mengesan ketepatan bacaan berdasarkan corak serta persamaan bunyi. 


“Inovasi ini memberi peluang kepada golongan OKU penglihatan untuk belajar secara lebih kendiri menggunakan telefon pintar, berbanding kaedah konvensional yang memerlukan kehadiran guru secara bersemuka. 


Beliau menjelaskan bahawa matlamat utama pembangunan aplikasi ini adalah untuk memberikan fleksibiliti kepada pengguna agar mereka tidak lagi terikat dengan kaedah konvensional. 


“Matlamat kami adalah untuk memperluaskan skala aplikasi ini agar dapat digunakan secara menyeluruh merangkumi keseluruhan Al-Quran, sekali gus menjadikannya sebagai rujukan digital yang komprehensif untuk komuniti ini.”tambahnya.


Pihak universiti kini sedang giat berusaha untuk memperluaskan skala aplikasi tersebut bagi merangkumi keseluruhan 30 juzuk Al-Quran, menjadikannya sebuah rujukan digital yang komprehensif bagi komuniti OKU penglihatan di seluruh negara.


Dalam masa yang sama, impak inovasi ini turut dilihat dari sudut pembangunan insan dan perubahan minda komuniti. 


Bagi Pengerusi PERTIS Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor, kehadiran teknologi ini membawa impak yang jauh melangkaui aspek kemahiran bacaan. 


Beliau mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapi komuniti tersebut adalah perubahan mentaliti untuk berdikari, memandangkan ramai antara mereka sudah terbiasa dengan kebergantungan penuh terhadap orang lain sehingga wujud tanggapan bahawa mereka tidak mampu berdikari.


“Di PERTIS, kami berusaha membina keyakinan bahawa mereka sebenarnya mampu melakukan banyak perkara secara sendiri atau dengan bantuan yang minimum, termasuk dalam pembelajaran Al-Quran. Dengan adanya aplikasi TasheehQu, ia membuka ruang baharu kepada komuniti ini untuk belajar secara lebih fleksibel, sistematik dan berdikari. Mereka kini boleh menyemak bacaan pada bila-bila masa tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada guru,” ujar Mohd Fauzi.


Tambahnya, lebih penting, inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran bacaan, malah membina keyakinan diri serta memperkasa mereka untuk hidup lebih independen. Ia juga membantu merapatkan jurang teknologi yang selama ini agak ketara dalam kalangan komuniti OKU penglihatan.


Pandangan tersebut turut disokong oleh Naib Pengerusi PERTIS Wilayah Terengganu, Muhammad Yusof Mohd Azam, yang juga merupakan guru Program Pengajian Al-Quran (PPAQ). 


Beliau berkongsi bahawa aplikasi ini memberikan kemudahan yang sangat praktikal kerana pelajar kini boleh melakukan proses pembetulan bacaan secara kendiri pada bila-bila masa


“Selain itu, aplikasi ini juga menyediakan fungsi tambahan seperti penentuan arah kiblat, yang memberi nilai tambah kepada pengguna dalam kehidupan seharian. Ini merupakan satu kemudahan yang sangat bermakna kepada komuniti kami,” jelasnya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, menegaskan bahawa projek ini mencerminkan keupayaan inovasi tempatan dalam menangani keperluan komuniti secara inklusif: 


Beliau menekankan bahawa pembangunan TasheehQu bukanlah sekadar penghasilan aplikasi semata-mata, sebaliknya merupakan satu pendekatan holistik yang menggabungkan elemen teknologi, latihan berstruktur, dan sokongan komuniti. 


“YIM komited untuk terus memperkasa dan memperluaskan inovasi seperti ini agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih meluas, termasuk ke peringkat nasional, selaras dengan agenda pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya saing.” ujarnya.


Sebagai langkah kesinambungan yang strategik, pihak pengurusan projek merancang untuk melaksanakan bengkel Training of Trainers (ToT) bagi memastikan penggunaan aplikasi ini dapat disebarkan secara lebih meluas dan sistematik dalam komuniti sasaran. 


Selain itu, kajian keberkesanan akan dijalankan melalui perbandingan prestasi pengguna sebelum dan selepas penggunaan aplikasi, bagi mengukur tahap peningkatan secara empirikal. 


Secara keseluruhannya, inisiatif TasheehQu telah membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar alat bantu, malah berperanan sebagai pemangkin perubahan sosial yang mampu mentransformasikan kehidupan komuniti OKU penglihatan ke arah yang lebih inklusif, progresif, dan berdaya saing selaras dengan agenda pembangunan negara.


Dengan sokongan strategik daripada YIM, UniSZA dan PERTIS, inisiatif ini dijangka memberi impak yang lebih meluas, bukan sahaja kepada komuniti sasaran, malah kepada masyarakat secara keseluruhan dalam memanfaatkan teknologi sebagai medium pemerkasaan pendidikan yang inklusif, progresif dan berimpak tinggi. 



#TasheehQ #YIM #UnisZa #PERTIS #OKUPenglihatan #AlQuran #AI #PPAQ #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan