Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

TOURISM MALAYSIA - DORSETT PERKASA CUTI-CUTI MALAYSIA, BAWA 'DESTINASI INDAH, HARGA RAHMAH'!


RAKYAT
Malaysia kini mempunyai lebih banyak alasan untuk bercuti dalam negara apabila Tourism Malaysia dan Dorsett Hotels Malaysia melancarkan kempen “Jom Cuti! Bersama Wira & Manja”, yang menawarkan pelbagai keistimewaan penginapan bagi menggalakkan penerokaan destinasi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).


Kempen yang berlangsung dari 9 Jun hingga 31 Disember depan itu merupakan hasil kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha merancakkan pelancongan domestik, sekali gus menyokong agenda nasional meningkatkan pergerakan pelancong tempatan di seluruh negara.


Dijenamakan semula di bawah tema Cuti-Cuti Malaysia (CCM), “Destinasi Indah, Harga Rahmah”, inisiatif tersebut menggabungkan rangkaian 13 hotel Dorsett di seluruh negara dengan pelbagai tawaran menarik yang disasarkan kepada keluarga dan pelancong domestik.


Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, pelancongan domestik terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan negara serta menyokong ekonomi setempat.


“Dengan menampilkan Wira dan Manja sebagai wajah utama kempen ini, kami bukan sahaja mewujudkan identiti yang dekat dengan keluarga, malah turut menyampaikan mesej penting mengenai biodiversiti negara dan pemuliharaan hidupan liar, khususnya beruang matahari,” katanya pada majlis pelancaran kolaborasi Tourism Malaysia dan Dorsett Hospiality International (Dorsett) bertempat di Hotel Dorsett Hartamas pada 9 Jun 2026 lalu.


Gambar atas dari kiri: Mohd Amirul, Mohd Roslan, Jasmine Heng dan Peggy Tan.


MoU ditandatangani oleh Naib Pengerusi Dorsett Malaysia, Datin Jasmine Heng dengan Pengarah Kanan Pelancongan Domestik & Acara, Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah sambil disaksikan bersama oleh Mohd Amirul dan Pengurus Besar Kluster Dorsett KL, Peggy Tan.


Menurut Mohd Amirul, kerjasama berkenaan hadir pada waktu yang signifikan ketika Malaysia memasuki pertengahan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pelancongan terus kekal kukuh.


“Pelancongan domestik merupakan tunjang utama industri pelancongan negara kerana ia merangsang permintaan perjalanan, menggerakkan ekonomi tempatan dan memperkukuhkan keseluruhan ekosistem pelancongan.” tambahnya.


Sementara itu, Jasmine Heng berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam menjayakan kempen yang menggalakkan rakyat Malaysia menghargai keindahan destinasi tempatan.


Beliau berkata, gabungan hospitaliti Dorsett bersama tawaran eksklusif yang disediakan akan memberikan pengalaman percutian yang lebih bernilai dan bermakna kepada para tetamu.


“Melalui ‘Jom Cuti! Bersama Wira & Manja’, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat mencipta kenangan indah bersama keluarga sambil meneroka pelbagai destinasi menarik di negara ini,” katanya.


Menurut beliau, pelanggan berpeluang menikmati diskaun sehingga 30 peratus bagi kadar bilik, pengalaman penginapan fleksibel selama 26 jam termasuk kemudahan daftar keluar lewat tertakluk kepada ketersediaan, selain menerima baucar makanan bernilai RM50. 



“Pakej yang diperkenalkan itu ditawarkan pada kadar sekitar RM480 bersih di mana dua bilik bercantum disediakan untuk ibu bapa dan anak-anak,” jelas Jasmine.


Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti bertemakan beruang matahari yang menampilkan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja.


“Bagi kami, matlamat utama adalah menjadikan percutian domestik lebih menarik dan berbaloi. Kita mahu rakyat Malaysia melihat bahawa mereka boleh menikmati pengalaman hotel berkualiti pada harga yang mesra pengguna,” tambahnya.


Malaysia merekodkan ketibaan 42.2 juta pelawat sepanjang tahun 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bagi suku pertama 2026 pula, negara mencatatkan 10.6 juta ketibaan pelawat, iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.


Dalam usaha memperkukuhkan lagi pertumbuhan industri, Tourism Malaysia turut mempromosikan inisiatif "Malaysia Surreal Experiences 2026” yang menawarkan lebih 1,300 pakej pelancongan minat khas di seluruh negara bagi menggalakkan rakyat meneroka destinasi baharu serta menyokong pemulihan jangka panjang sektor hospitaliti negara.


Melalui pendekatan bersepadu antara kerajaan dan industri, kempen “Jom Cuti! Bersama Wira & Manja” diharap dapat memperkukuh budaya melancong dalam negara, meningkatkan perbelanjaan pelancong tempatan serta memastikan sektor pelancongan domestik terus berkembang secara mampan menjelang dan selepas Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan bersambung sehingga tahun 2027.


Ia sekali gus diharap mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.


Dalam masa sama, Tourism Malaysia terus memperluaskan kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan kesalinghubungan udara ke negara ini.



#TourismMalaysia #JomCuti!BersamaWira&Manja #DestinasiIndahHargaRahmah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan