Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

AGENDA NEGARA AI 2030 DIPERKUKUH MENERUSI KERJASAMA GAMBIT-SANDS!


MALAYSIA
bakal menyaksikan lebih banyak pelaksanaan projek berasaskan teknologi pintar apabila Gambit Tech Solutions dan SANDS Consulting Sdn. Bhd. berganding untuk meneroka peluang pembangunan serta pembiayaan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bernilai sehingga RM250 juta.


Kerjasama strategik yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu memberi fokus kepada projek transformasi digital, infrastruktur pintar dan penyelesaian teknologi melibatkan sektor awam serta swasta di seluruh negara.


Pemeteraian MoU yang berlangsung di The Starling, Uptown Damansara pada 26 Jun 2026 semalam, dilihat sebagai langkah penting dalam memperluaskan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan infrastruktur kritikal negara, khususnya ketika permintaan terhadap penyelesaian digital dan sistem pintar semakin meningkat.


Melalui kerjasama itu, Gambit Tech Solutions yang juga anak syarikat Gambit Group akan memainkan peranan utama dalam pembangunan projek PFI, penyelesaian teknologi, integrasi sistem dan pelaksanaan infrastruktur pintar, manakala SANDS Consulting akan menyumbang kepakaran dalam pembangunan projek, perundingan strategik, penstrukturan kewangan serta fasilitasi pelaburan.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gambit Group, Datuk Clifford Hii berkata, model PFI yang diterapkan menerusi kerjasama itu dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan projek penting ketika banyak organisasi lebih berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan besar.


“Kami menyediakan dana sedia ada sebanyak RM250 juta untuk tempoh dua hingga tiga tahun bagi membantu rakan strategik mendapatkan projek. Sasaran kami adalah nilai terkumpul projek sehingga RM250 juta, namun ia boleh meningkat bergantung kepada keperluan pasaran,” katanya selepas majlis pemeteraian MoU itu.



Turut hadir
  Pengerusi SANDS, Hj Muhammad Hamudi Abdul Khalid; Pengarah Urusan SANDS, Shahjuhan Samsuri; Pengarah Eksekutif SANDS, Ts Hj Mohammed Khairil Adzhar; Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) GAMBIT, Stan Lee; Pengarah Eksekutif GAMBIT, Cheah Zi Kah; Ketua Pegawai Operasi GAMBIT, Ivey Chan dan Penolong Pengarah Kewangan GAMBIT, Sharon Tan.


Berkongsi lanjut kata Clifford Hii, pendekatan tersebut memberi ruang kepada kerajaan, GLC, PBT dan badan berkanun mempercepat pelaburan dalam sektor teknologi serta infrastruktur tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kewangan sedia ada.


Beliau seterusnya memaklumkan, bagi peringkat awal, konsortium tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya tiga projek utama bernilai sekitar RM120 juta hingga RM130 juta sebelum penghujung tahun ini.


HJ. Mohammed Kharil dan Clifford Hii.


Sementara itu, Hj Mohammed Khairil berkata, kerjasama itu bertepatan dengan agenda transformasi digital negara termasuk usaha menuju Negara AI 2030.


Jelasnya, fokus utama kerjasama berkenaan adalah untuk membangunkan projek yang mampu mempercepatkan agenda digital negara, termasuk bandar pintar, komuniti pintar, sistem kerajaan digital, keselamatan awam, pusat kawalan bersepadu, teknologi Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), analitik data, pusat data, keselamatan siber dan infrastruktur telekomunikasi.


“Bidang yang sedang diterokai termasuk bandar pintar, platform kerajaan digital, infrastruktur pengkomputeran awan, keselamatan siber, pusat data, sistem tenaga pintar dan penyelesaian teknologi berasaskan AI,” ujarnya.


Turut diberi perhatian ialah pembangunan teknologi yang menyokong pengurusan alam sekitar seperti sistem pemantauan banjir, amaran awal bencana, utiliti pintar, pengurusan aset, penjagaan kesihatan digital, pendidikan pintar serta penyelesaian tenaga mampan.


Dalam keadaan keperluan pelaburan infrastruktur dan teknologi yang semakin meningkat, kedua-dua organisasi akan memberi tumpuan kepada model PFI dan struktur pembiayaan alternatif bagi membantu organisasi awam serta swasta melaksanakan projek strategik dengan lebih pantas dan berkesan.


Pendekatan berkenaan membolehkan projek berimpak tinggi dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta dengan perancangan kewangan yang lebih tersusun, selain mengoptimumkan sumber serta mengurangkan risiko pelaksanaan.


“Kerjasama itu menyasarkan pembentukan saluran projek dengan nilai terkumpul sehingga RM250 juta, selain terbuka kepada peluang projek lebih besar berdasarkan keperluan dan potensi strategik pada masa hadapan,” tambah Mohammed Khairil.



Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan, Gambit Tech Solutions dan SANDS Consulting akan membangunkan rangka kerja lengkap meliputi mengenal pasti peluang projek, kajian kebolehlaksanaan, pembangunan kes perniagaan, penstrukturan kewangan, pembangunan model PFI, reka bentuk penyelesaian teknologi, pelaksanaan, operasi serta penyelenggaraan.


Susulan pemeteraian MoU itu, kedua-dua pihak akan membentuk rangka kerja bersama bagi mengenal pasti projek berpotensi tinggi selain memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, pemain industri serta membangunkan inisiatif yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan pembangunan negara.



“Kerjasama ini bukan sekadar menandatangani perjanjian, tetapi merupakan satu platform untuk menghubungkan teknologi, pembiayaan dan kepakaran bagi membuka peluang baharu dalam pembangunan negara. Bersama-sama, kita boleh membina masa depan yang lebih baik,” katanya.


Mohammed menjelaskan, dalam keadaan ekonomi global yang mencabar serta peningkatan jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan yang lebih cekap, kerjasama strategik seperti ini mampu menjadi pemudah cara kepada pembangunan projek penting negara.


“Melalui pembiayaan swasta dan kerjasama strategik, kita boleh membantu kerajaan, agensi serta sektor swasta melaksanakan projek yang diperlukan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.


Mohammed menekankan bahawa kerjasama dan sinergi menjadi kunci utama dalam mencapai matlamat bersama.


“Jika kita mahu bergerak pantas, kita boleh bergerak sendiri. Tetapi jika kita mahu pergi lebih jauh, kita perlu bergerak bersama. Itulah perkara paling penting dalam kerjasama ini,” akhiri Mohammed Khairil.



#GambitTechSolutions #SANDSConsultingSdnBhd #MoU #Projek PFI #Bisnes #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan