KARYAWAN GESA KERAJAAN AMBIL ALIH SISTEM KUTIPAN ROYALTI!
SELEPAS lebih dua dekad berdepan pelbagai pertikaian berkaitan kutipan dan pengagihan royalti muzik, Persatuan Artis Malaysia (Karyawan) tampil dengan cadangan agar kerajaan mengambil alih sepenuhnya mekanisme pengurusan royalti menerusi satu badan tunggal yang lebih tersusun, telus dan diyakini semua pihak.
Cadangan itu merupakan antara resolusi utama yang diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Karyawan, sekali gus memberi mandat kepada kepimpinan persatuan itu untuk meneruskan usaha memperjuangkan hak artis serta penggiat industri kreatif.
Mesyuarat Agung Karyawan ke-27 berlangsung di Restoran Saloma pada 27 Jun 2022 di mana Presidennya, Dato Freddie Fernandez serta barisan Ahli Jawatankuasanya dipilih semula secara sebulat suara tanpa bertanding.
Antara mereka yang hadir terdiri dari Setiausaha, Rozita Rohaizad; Bendahari, Hj Kamal Kasim serta Noorshila Amin, Putri Balqish, Amad Abdullah dan Haniah yang menganggotai senarai AJK Karyawan.
Manakala mereka yang tidak hadir tetapi terus dilantik semula adalah Timbalan Presiden, Mazin Siraj dan AJK lain seperti Helmi Gimmick, Jude Os Pombos, Don Guerzo, Datuk Yusni Hamid dan Salimah Mahmood.
Berkongsi lanjut Freddie berkata, isu royalti muzik yang berlarutan sehingga kini menunjukkan keperluan kepada satu perubahan besar dalam sistem sedia ada, terutama bagi memastikan setiap pemilik hak menerima bayaran yang sewajarnya berdasarkan penggunaan karya mereka.
Menurut beliau, Malaysia boleh mempertimbangkan model seperti Indonesia yang sebelum ini berdepan cabaran sama sebelum kerajaan negara itu mengambil alih penyelarasan kutipan royalti melalui penubuhan Lembaga Manajemen Kolektif Nasional (LMKN).
“Di Indonesia, kerajaan mengambil langkah menyusun semula sistem kutipan royalti dengan mewujudkan satu badan yang menguruskan kutipan royalti persembahan awam secara lebih cekap dan telus. Malaysia juga mempunyai peluang untuk melakukan perkara yang sama,” katanya.
Beliau berkata, dengan nilai kutipan royalti persembahan awam yang dianggarkan hampir RM200 juta setahun, sudah tiba masanya negara mempunyai satu rangka kerja nasional yang mampu menguruskan pendaftaran hak cipta, pemantauan penggunaan muzik, pengiraan serta pengagihan royalti.
Tambah beliau, antara masalah yang sering dibangkitkan industri termasuk kekurangan ketelusan, kos pentadbiran yang tinggi, struktur kutipan yang berpecah serta pertikaian antara organisasi pengurusan kolektif.
Katanya, perkembangan terkini membabitkan Karyawan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta tiga badan pengumpul royalti iaitu MACP, PPM dan RPM yang membawa isu berkenaan ke mahkamah, membuktikan perlunya penyelesaian menyeluruh.
Sehubungan itu, Karyawan mencadangkan penubuhan platform pengurusan royalti digital berpusat di bawah kerajaan yang berperanan sebagai pangkalan data nasional bagi semua karya muzik dan rakaman bunyi.
Sistem berkenaan, katanya, boleh merekodkan butiran pemilikan hak, pelesenan, laporan penggunaan, jumlah kutipan serta pembayaran secara sistematik dan boleh diaudit.
“Dengan sistem ini, setiap lagu yang dimainkan boleh dikenal pasti dan dipadankan dengan pemegang hak yang betul. Royalti pula boleh dikira berdasarkan data penggunaan sebenar, sekali gus mengurangkan pertindihan dan memastikan pengagihan lebih tepat,” ujar Freddie.
Beliau turut memberi amaran bahawa perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam muzik memerlukan perhatian serius agar tidak menjejaskan hak pencipta, pemuzik dan pengamal industri kreatif pada masa hadapan.
Menurut Freddie, sistem baharu yang dicadangkan itu juga selari dengan semangat Garis Panduan Hakcipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang menekankan aspek tadbir urus, akauntabiliti, penyimpanan rekod dan pengagihan royalti secara adil.
Dalam perkembangan lain, isu pembayaran royalti oleh syarikat rakaman turut menjadi perhatian apabila beberapa artis mendakwa masih belum menerima bahagian yang sepatutnya daripada jualan album dan platform penstriman.
Freddie berkata, situasi itu dapat dilihat menerusi kes keluarga penyanyi legenda negara, Sudirman Hj Arshad, yang baru-baru ini menerima royalti berjumlah RM367,000 selepas menunggu selama beberapa dekad.
“Selepas perkembangan itu, ramai ahli turut tampil memaklumkan mereka berdepan isu sama dan tidak menerima bahagian royalti yang setimpal daripada jualan serta perkhidmatan penstriman. Karyawan sedang mengumpulkan data bagi membantu mereka mendapatkan penyelesaian yang adil,” jelas Freddie yang dengan pelantikan semula ini beliau kekal menerajui Karyawan selama 24 tahun menjelang pemilihan AJK setiap tiga tahun sekali.
Selain isu royalti, mesyuarat berkenaan turut membincangkan cabaran lain dalam industri termasuk kecenderungan memilih pempengaruh media sosial berbanding pelakon berpengalaman dalam penerbitan filem dan drama, perlindungan artis sebagai pekerja gig serta kesan penggunaan AI terhadap peluang pekerjaan dalam industri kreatif.
Freddie berkata, pemilihan semula seluruh barisan kepimpinan Karyawan tanpa pertandingan membuktikan keyakinan ahli terhadap usaha yang dijalankan persatuan itu selama ini.
“Sokongan ini memberi kami mandat baharu untuk meneruskan perjuangan. Masih banyak perkara perlu dilakukan dan kami akan terus berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik demi masa depan industri,” akhirinya.
#Karyawan #AGM27 #RestoranSaloma #Malaysia #Indonesia #BuatanAI #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan