KARYAWAN PERKASA KEBAJIKAN ARTIS, RANCANG KONVENSYEN INDUSTRI MUZIK TANGANI CABARAN AI, ROYALTI!
USAHA memperkasakan kebajikan artis tempatan terus dipergiat apabila Persatuan Karyawan Malaysia merancang pelbagai inisiatif baharu termasuk penganjuran konsert, platform persembahan berkala dan konvensyen industri muzik bagi membantu penggiat seni menghadapi cabaran semasa serta menjamin kelangsungan industri hiburan negara.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez berkata, bantuan kepada artis yang berdepan kesukaran hidup bukan sahaja akan diteruskan, malah diperluaskan menerusi kerjasama strategik bersama pihak korporat dan agensi kerajaan.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada syarikat korporat seperti NexG membolehkan pelbagai bantuan disalurkan kepada penggiat seni yang pernah menyumbang kepada pembangunan industri hiburan tanah air.
“NexG begitu prihatin terhadap nasib insan-insan yang pernah menyumbang kepada kejayaan industri ini. Mereka menghargai jasa artis-artis kita dan dengan sokongan seperti ini, kita mempunyai kemampuan untuk membantu lebih ramai yang memerlukan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan cek berjumlah RM50,000 dari NexG Berhad kepada KARYAWAN berrtempat Restoran Saloma pada semalam, 5 Jun 2026.
Turut hadir Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim, Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Kewangan NexG Berhad, Erna Ismail serta Pengarah Komunikasi Strategik NexG, Safia Hanifah.
Majlis yang diacarakan oleh Helmi Gimik turut menyaksikan penyerahan bantuan kepada 10 penggiat seni yang hadir iaitu Zaiton Sameon, Normala Omar, Mak Jah, Mariam Ahmad, Sathiya, Ali XPDC, Along Jinbara, Fredo Flybaits, Jamaludin aka Jem serta Salleh Yaakob (tidak dapat hadir).
“Selain mereka Karyawan akan kenal pasti beberapa lagi artis yang memerlukan bantuan untuk kami agihkan,” tambah Freddie sambil memaklumkan sehingga Jun, persatuan telah menyalurkan kira-kira RM30.000 kepada ahli yang memerlukan.
Dengan tambahan RM50,000 yang diperoleh dari NexG, jumlah keseluruhan bantuan yang diagihkan meningkat kepada RM80,0000.
Dalam masa sama, Freddie memaklumkan selain program kebajikan yang akan berterusan, satu Konvensyen Industri Muzik Malaysia akan diadakan pada 21 Jun ini bagi membincangkan pelbagai isu kritikal yang sedang dihadapi industri muzik tempatan.
Katanya, konvensyen tersebut bakal menghimpunkan pemain industri, pakar, panel jemputan dan pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran semasa termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), isu royalti, penganjuran konsert, pemasaran digital, pengedaran karya dan hak cipta.
“Ramai melihat pelbagai masalah dalam industri muzik, tetapi belum ada platform yang benar-benar menghimpunkan semua pihak untuk berbincang dan mencari penyelesaian secara menyeluruh. Melalui konvensyen ini, kita mahu mengumpulkan idea dan pandangan bagi membina industri yang lebih mampan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Karyawan turut mendapat sokongan daripada agensi seperti FINAS dan pelbagai rakan strategik dalam usaha membangunkan industri kreatif negara
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan minat pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik berikutan ketidakpastian peluang kerjaya selepas tamat pengajian.
Menurutnya, persoalan mengenai hala tuju graduan muzik sering menjadi kebimbangan utama sehingga menyebabkan kemasukan ke kolej dan institusi pengajian muzik semakin berkurangan.
Sementara itu, Khadijah Ibrahim menyeru seluruh warga seni agar bersatu dalam memperjuangkan kebajikan penggiat seni, khususnya golongan veteran yang telah banyak berjasa kepada industri hiburan negara.
Beliau berkata, kebajikan artis perlu diberikan perhatian yang lebih serius memandangkan ramai penggiat seni berdepan cabaran kehidupan apabila usia semakin meningkat dan peluang pekerjaan semakin terhad.
“Apabila artis kita meningkat usia, sama ada penyanyi, pelawak, pemuzik atau penghibur lama dan baharu, kita perlu menjaga kebajikan mereka. Kita perlu bersatu dan melakukan sesuatu yang lebih besar demi masa depan industri,” tambahnya.
Menurut beliau, negara-negara luar memberi penghormatan yang tinggi kepada penggiat seni melalui pelbagai bentuk bantuan dan perlindungan kebajikan, justeru usaha sama perlu diperkasakan di Malaysia.
Bagi menjayakan matlamat tersebut, beliau menyatakan kesediaan untuk terus menyumbang tenaga dan idea menerusi penganjuran konsert amal yang mampu mengumpul dana bagi membantu artis yang memerlukan.
Khadijah yang lebih mesra disapa ibu Khaty turut mendedahkan perancangan mewujudkan sebuah platform persembahan tetap yang memberi peluang kepada penyanyi, pemuzik, pelawak dan penggiat seni lain untuk terus berkarya serta menjana pendapatan.
“Kalau kita dapat mewujudkan satu tempat yang mengadakan persembahan secara tetap, sama ada setiap minggu atau dua minggu sekali, kita boleh mengetengahkan muzik, komedi dan pelbagai bentuk hiburan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan agama,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa pihak bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk merealisasikan inisiatif tersebut sebagai usaha jangka panjang membantu penggiat seni tempatan.
Tambahnya, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan mengumpul dana kebajikan, malah menyediakan platform berterusan bagi memastikan artis dan pemuzik terus mendapat peluang berkarya serta dihargai oleh masyarakat.
#Karyawan #NexG #ArtisVeteran #Bantuan #RestoranSaloma #FINAS #fyp









Tiada ulasan:
Catat Ulasan