PENGANJURAN HUITM BERTEPATAN AGENDA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026/27!
SEJAK diumumkan pada Januari lalu, (lihat LINK ini), terlaksana sudah pelancaran Pameran HUITM 2026 (Hajj and Umrah International Travel Market) atau Pameran Pasaran Pelancongan Antarabangsa Haji dan Umrah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli mewakili Menterinya. Dr. Zulkifli Hasan, di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur pada 18 Jun 2026, semalam.
Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembukaan siri HUITM 2026 menjadi pengiktirafan terhadap kedudukan negara ini sebagai antara peneraju pelancongan Islam di peringkat global, selain memperkukuhkan peranan Malaysia dalam industri Umrah, Haji dan ekonomi halal antarabangsa.
Anjuran bersama Persatuan Agensi Pelahcongan Malaysia (MATA) dan ASEAN Federation of Umrah & Haj (AFUH), ia dilihat bertepatan dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 waima mampu memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam berkualiti tinggi, selain memperkukuhkan kedudukan negara sebagai hab pelancongan dan ekonomi halal yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
“HUITM bukan sahaja untuk memartabatkan industri pelancongan, tetapi juga untuk memperkukuh ibadah serta memperkasakan syariah dalam industri pelancongan,” ujar Senator Marhamah pada majlis pelancaran HUITM 2025 berkenaan.
Turut hadir antaranya Presiden AFUH, Dato’ Seri Dr. Mohd Khalid Harun; Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev; Ketua Setiausaha MOTAC, Dato Shaharudin Abu Sohot; Pengarah Urusan dan Penganjur Pameran, Hakan Sahin dan Datuk Hj Abdul Rahim selaku wakil rasmi Malaysia.
Berkongsi lanjut, Marhamah berkata, Malaysia terus dikenali sebagai destinasi mesra Muslim yang menggabungkan nilai Islam, profesionalisme, keselamatan serta inovasi, hasil kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pelbagai pihak berkepentingan dalam membangunkan industri pelancongan Islam.
‘Industri Umrah perlu dilihat lebih daripada sekadar produk pelancongan kerana ia merupakan satu perjalanan spiritual yang membawa tanggungjawab besar terhadap umat Islam yang ingin menjadi tetamu Allah SWT,’ tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek amanah, integriti dan ketelusan perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan jemaah Umrah tidak menjadi mangsa penipuan, janji pakej yang tidak ditunaikan atau kerugian kewangan akibat pengurusan tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, semua pihak dalam industri perlu memastikan pengurusan pakej Umrah, pelancongan dan urusan jual beli dilaksanakan secara jujur serta beretika bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap sektor berkenaan.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan ihsan, beliau berkata industri Umrah perlu diperkukuhkan berasaskan prinsip amanah, integriti serta perkhidmatan yang berpusatkan jemaah.
Beliau turut menekankan kepentingan teknologi digital dalam meningkatkan ketelusan, kecekapan dan kualiti perkhidmatan dalam sektor Umrah serta pelancongan Islam.

DR. Karomidin menyampaikan cenderahati kepada Marhamah dan Shaharudin (bawah).
Menurutnya, pendigitalan bukan lagi satu pilihan tetapi menjadi keperluan, terutama dalam aspek tempahan pakej, pengurusan visa, pembayaran dan pemantauan perjalanan yang mampu mewujudkan ekosistem perkhidmatan lebih cekap serta telus.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya menggunakan teknologi secara bijak agar manusia terus mengawal perkembangan digital dan bukan sebaliknya.
“Teknologi perlu kita urus dengan baik bagi memastikan agenda ekonomi dan pelancongan dapat berjalan dengan lancar,” akhirinya.
Sementara itu, Dr. Karomidin Gadoev dalam ucapan ringkasnya memaklumkan
pemilihan Malaysia sebagai lokasi pameran pelancongan pertama Uzbekistan adalah kerana Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam industri pelancongan, selain jumlah pelancong antarabangsa yang datang ke negara ini melebihi jumlah penduduknya.
“Uzbekistan masih berada pada peringkat awal dalam pembangunan sektor pelancongan, namun kami percaya mempunyai potensi yang sangat besar. Kami mahu belajar daripada Malaysia dan berkongsi keunikan Uzbekistan dengan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Uzbekistan menawarkan pelbagai produk pelancongan termasuk pelancongan sejarah, budaya, Islam, gastronomi dan musim sejuk, dengan tarikan utama seperti Samarkand, Bukhara, Khiva, Tashkent dan Termiz yang kaya dengan warisan tamadun serta seni bina bersejarah.
Menurutnya, Uzbekistan mempunyai ribuan lokasi berkaitan sejarah Islam termasuk kompleks Imam Bukhari di Samarkand yang baru dibuka semula dan kini menjadi antara destinasi utama umat Islam dari seluruh dunia.
Selain sektor Umrah, hubungan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan turut diperkukuh melalui peningkatan jaringan penerbangan.

ANTARA produk jualan dari Timur Tengah yang dijual pada pameran HUITM.
Dan dari aspek pelaburan hospitaliti pula, Dr. Karomidin mendedahkan beberapa syarikat Malaysia sudah merancang pembangunan hotel di Uzbekistan, khususnya di kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan pelancongan Islam termasuk di Samarkand.
Siri roadshow HUITM 2026 akan dilanjutkan seterusnya di Indonesia pada 23 Jun 2026, Uzbekistan pada 27 hingga 28 Jun 2026, Maghribi pada 2 Julai 2026, Türkiye pada 11 hingga 12 Julai 2026, sebelum berakhir di Kazakhstan pada 13 September 2026.
“HUITM akan dijadikan sebagai acara tahunan yang mempertemukan pembeli dan penjual dari sektor pelancongan antarabangsa. Konsep yang sama akan diteruskan setiap tahun dengan penambahbaikan dari segi penyertaan dan pameran, termasuk perancangan untuk memperkenalkan ruang pameran berbentuk booth pada edisi akan datang,” sambung Dr. Mohd Khalid.

DARI kiri: Dr. Mohd Khalid, Dr.Karomidin dan Hakan Sahin.
Menurutnya, kerjasama antara enam negara terlibat ini dilihat memberi manfaat besar kepada keseluruhan ekosistem pelancongan termasuk sektor penerbangan, pengangkutan, hotel, penyedia pakej perjalanan dan ejen pelancongan.
“Dengan jumlah populasi Muslim yang besar di Asia Tenggara, rantau ini dianggap mempunyai potensi besar untuk menjadi pasaran utama kepada pelancongan Umrah dan pelancongan berasaskan budaya Islam,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk menyertai edisi ke-4 Ekspo Pelancongan & Perdagangan Islam Sedunia (WITEX 2026) yang dijangka bakal berlangsung pada 21 Ogos 2026.
“Pendaftaran bagi program berkenaan masih dibuka dan berharap lebih ramai peserta dapat mengambil peluang menyertai platform tersebut,” ujar Dr. Mohd Khalid.
Menurutnya, program itu dijangka menyediakan pelbagai kandungan bermanfaat yang dapat memberi pendedahan serta perkongsian ilmu kepada para peserta.
#HUITM2026 #WITEX2026 #TourismMalaysia #PelanconganIslam #UmrahHaj #fyp








Tiada ulasan:
Catat Ulasan