DARI KANVAS KE HATI, KARYA PEMENANG MR D.I.Y 2026 SENTUH MAKNA KETAHANAN!
DEFINISI kekuatan tidak lagi sekadar dikaitkan dengan keberanian fizikal atau cabaran besar, sebaliknya turut hadir melalui hubungan keluarga, pencarian identiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Itulah mesej utama yang diketengahkan menerusi karya-karya pemenang Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2026 bertemakan “Strength & Resilience” (Kekuatan & Ketahanan), apabila para peserta tampil dengan interpretasi lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini.
Daripada lebih 900 penyertaan yang diterima daripada peserta berusia antara lapan hingga 61 tahun termasuk penyertaan dari Sabah, pertandingan tahun ini memperlihatkan bagaimana seni menjadi medium untuk menyampaikan pengalaman, emosi dan perspektif peribadi mengenai erti ketahanan.
Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, edisi kali ini memperlihatkan cara unik para artis mentafsirkan konsep kekuatan menerusi pendekatan yang lebih mendalam dan menyentuh hati.
“Apa yang menyerlah pada tahun ini adalah cara artis menggambarkan erti kekuatan dengan begitu peka dan mendalam. Ketahanan tidak semestinya sesuatu yang kuat dan dramatik, tetapi kadangkala ditemui dalam keseimbangan, keluarga, identiti dan tekad untuk terus melangkah ke hadapan.
“Melalui pertandingan ini, kami berbesar hati untuk terus menyokong artis Malaysia dan menyediakan platform untuk berkongsi cerita mengenai diri kita sebagai sebuah komuniti,” ujar Adrian pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y yang berlangsung di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir barisan juri bagi pertandingan edisi 2026 ini iaitu artis Bingley Sim, Liong Mei Yin, Yap Sau Bin dan Ivan Gabriel, bersama Pengasas dan Penasihat MR D.I.Y. Group, Tan Yu Yeh.
Bagi kategori umum, Ng Chit Keong muncul pemenang hadiah utama menerusi karya “Bayang dan Arah – Shadow and Direction”, yang menampilkan rama-rama mekanikal dihiasi elemen budaya dan teknologi.
Karya tersebut menggambarkan bagaimana identiti seseorang terbentuk daripada pelbagai pengaruh serta menekankan bahawa kekuatan sebenar hadir melalui kebolehan untuk kekal seimbang, menyesuaikan diri dan menerima perubahan.
Dalam kategori pelajar pula, Brenda Goh Xsue Thoong memenangi hadiah utama menerusi karya “Our Birthday”, yang membawa penonton menyelami kenangan zaman kanak-kanak bersama keluarga.
Karya berkenaan mengetengahkan nilai kasih sayang dan hubungan kekeluargaan sebagai sumber ketahanan, sekali gus menunjukkan bagaimana memori dan ikatan emosi terus menjadi kekuatan walaupun masa berlalu.
Sementara itu, kategori artis terkenal menyaksikan Chang Yoong Chia dipilih sebagai pemenang menerusi karya “Weight of a Feather” yang diinspirasikan daripada konsep keseimbangan.
Menggunakan simbol seperti helang dan kelawar, karya itu menggambarkan perbezaan pengalaman serta perspektif manusia yang akhirnya mampu wujud bersama dalam keharmonian.
Empat pemenang utama bagi setiap kategori turut berpeluang mewakili Malaysia ke Pertandingan Seni MR D.I.Y. peringkat serantau di Indonesia yang bakal berlangsung hujung tahun ini.
Orang ramai boleh melihat karya-karya pemenang di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia sehingga 3 Julai 2026.
Sejak dilancarkan pada 2022, Pertandingan Seni MR D.I.Y. terus menjadi platform bagi mengembangkan bakat seni tempatan dan membina ekosistem kreatif yang lebih inklusif.
Melalui inisiatif bersama Yayasan MR D.I.Y., seni terus diketengahkan sebagai medium penting dalam meraikan kisah masyarakat, memperkukuh hubungan komuniti dan menyerlahkan identiti Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web MR D.I.Y. Malaysia atau ikuti jenama ini di
Facebook, Instagram, TikTok, XiaoHongShu, X dan YouTube.
#PertandinganSeniMRD.I.Y.2026 #Strength&Resilience #MuziumNegara #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan