ROYALTI & AI JADI FOKUS UTAMA KONVENSYEN PENGGIAT SENI 21 JUN!
ISU hak cipta, pembayaran royalti serta cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi antara topik utama yang bakal dibincangkan pada Konvensyen Penggiat Muzik yang bakal menghimpunkan lebih 200 artis dan penggiat industri muzik pada 21 Jun ini di Restoran Saloma, Jalan Ampang.
Dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), konvensyen itu bertujuan menyediakan platform kepada penggiat muzik untuk menyuarakan pandangan selain mendapatkan penjelasan berkaitan isu-isu industri yang masih dianggap kabur dan mengelirukan.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, isu royalti merupakan perkara yang sudah lama membelenggu artis sehingga menyebabkan sebahagian penggiat muzik hilang keyakinan untuk memperjuangkan hak mereka.
“Sudah pasti antara topik utama yang akan dibincangkan ialah hak cipta dan royalti. Isu royalti telah lama membelenggu golongan artis sehingga ramai yang berputus asa dan tidak lagi mahu memikirkannya,” katanya pada sidang media berhubung Konvensyen Penggiat Muzik yang berlangsung pada 16 Jun 2026 semalam.

DARI Kiri: Hj Rozman, Freddie, Dr Moja dan Penganjur konsert indie, Aqmal.
Turut hadir Pengasas Label Rakaman Bebas, Loonaq Records, Hj Rozman Abas dan seorang doktor perubatan yang juga bergiat aktif sebagai pemuzik dan vokalis Late Night Frequency Band, Dr. Ahmad Mujahid Husni Salim atau lebih popular disapa Dr. Moja Salim. Kedua-dua mereka akan membincangkan mengenai topik AI.
Selanjutnya Freddie memaklumkan, pihaknya akan mendedahkan beberapa isu berkaitan hak penggiat muzik dalam soal royalti, termasuk perbezaan jumlah kutipan dan bayaran yang diterima oleh golongan artis.
“Kami akan mendedahkan tindakan pihak-pihak tertentu yang telah cuba menafikan hak penggiat muzik dalam soal royalti. Walaupun dijanji sama rata pada tahun 2001 semakan kami menunjukkan kutipan jauh berbeza antara syarikat rakaman dan artis.
"Kami dapati bahawa dari hampir RM700 juta yang di kutip oleh syarikat rakaman selama 15 tahun dari 2002 sehingga 2017 hanya RM20 juta dibayar kepada badan artis” dedah Freddie.
Selain royalti, Freddie berkata perkembangan teknologi AI turut menjadi perhatian kerana ia membawa perubahan besar terhadap masa depan industri muzik, termasuk aspek penghasilan karya, hak pencipta serta peluang pekerjaan.
“Antara topik lain yang dijangka hangat dibincangkan ialah kecerdasan buatan (AI) dan impaknya terhadap industri muzik, geran serta penganjuran konsert, perkembangan pendidikan muzik, selain peranan media sosial dalam pemasaran muzik digital masa kini,” katanya.
Beliau berkata, beberapa pakar dalam bidang berkaitan telah dikenal pasti untuk menjadi panel bagi membantu memberi penerangan serta menjawab persoalan peserta, khususnya generasi muda yang ingin memahami laluan kerjaya sebagai artis, pemuzik dan komposer.
Antaranya Presiden MAME (Malaysian Association of Music Educators), Prof Ramona Tahir; Penolong Naib Presiden Pembangunan Industri My Creative Ventures Sdn Bhd, Nadzmi Musa, aktivis muzik, Joe Lee dan Melvin Wong dari ONErpm serta ramai lagi.
Tambah Freddie, hasil perbincangan konvensyen itu nanti akan dirumuskan dalam bentuk resolusi sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri melalui satu memorandum yang mengandungi cadangan langkah penambahbaikan untuk industri muzik tempatan.
“Kami sedar bahawa Perdana Menteri amat prihatin terhadap nasib artis dan penggiat muzik tempatan, dan dengan sokongan beliau, harapan kami ialah industri muzik akan terus berkembang maju demi menjamin masa depan yang lebih cerah bagi semua penggiat muzik," jelas Freddie.
Dalam pada itu, Freddie turut menghargai sokongan Restoran Saloma Kuala Lumpur yang menaja lokasi serta makanan bagi menjayakan konvensyen tersebut.
Beliau berkata, pihak Saloma KL sebelum ini juga banyak membantu artis yang kurang bernasib baik menerusi usaha kebajikan dan kini tampil menyokong penganjuran program penting yang melibatkan masa depan industri muzik.
Menurutnya, landskap industri muzik kini jauh berubah berbanding dahulu apabila peluang pekerjaan semakin mencabar, malah ada penggiat muzik terpaksa bergantung kepada persembahan jalanan bagi mencari sumber pendapatan.
“Industri muzik tidak lagi seperti dahulu di mana terdapat banyak peluang untuk penggiat muzik membina kerjaya. Kini peluang pekerjaan semakin tipis dan ramai yang terpaksa menjadi penghibur jalanan semata-mata untuk mencari rezeki. Justeru, konvensyen ini tepat pada masanya,” katanya.
Penggiat industri yang ingin menghadiri konvensyen itu boleh mengesahkan kehadiran melalui WhatsApp di talian 03-4031 7666 atau mendapatkan kod pendaftaran menerusi laman rasmi Persatuan Karyawan Malaysia.
#KaryawanMalaysia #KonvensyenPenggiatMuzik #SalomaKL #AI #Royalti #fyp





Tiada ulasan:
Catat Ulasan