Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PENGGIAT SETUJU HUKUMAN BERAT PESALAH CETAK ROMPAK DIGITAL


TAHU KAH anda sebanyak RM3 bilion kerugian tahunan ditanggung industri media dan hiburan  akibat kegiatan cetak rompak digital?


Malah ia juga melibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan sehingga mengakibatkan beribu-beribu individu kehilangan pekerjaan.


Wow! Banyak tu... memang rugi...


Sehubungan itu, rata-rata penggiat seni hiburan bersetuju bahawa hukuman lebih berat dikenakan ke atas perbuatan cetak rompak digital kepada pesalah-pesalah yang telah mengakibatkan kerugian ekonomi berterusan.


Jika tidak dibendung, kata mereka, impaknya akan menjejaskan penggiat industri dan seluruh ekosistem di negara ini.


Untuk rekod, pada  8 Februari 2021 lalu, sebuah syarikat IT di Shah Alam adalah syarikat pertama  didakwa di Mahkamah kerana melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual apa- apa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut di dalam subseksyen 36A(3), Akta yang sama. 


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pengarah tersebut mengaku bersalah dan sedang menunggu hukuman di mahkamah pada 1 Mac ini. 


Manakala pada  16 Februari lalu, seorang wanita berumur 46 tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki enam (6) unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah. 


Tertuduh dedenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan perisian penstriman haram (ISD). 



“Tanpa usaha dan keazaman dari pihak berwajib, kegiatan cetak rompak digital akan terus berlaku. Perbuatan mencuri ini bukan perkara baru dan perlu diatasi sebaik mungkin oleh pihak penguatkuasa. Saya kesal melihat retorik yang kosong tanpa membawa sebarang penyelesaian kepada isu sebenar. Tanpa undang-undang yang tegas, cetak rompak akan berterusan dan merebak seperti barah kepada industri kreatif negara dan penggiatnya,”  ujar Penerbit & Pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam berhubung isu berkenaan.


Laila Saat, Pengarah Kawal-Selia Astro pula berkata:


“Kami mengalu-alukan tindakan yang dikenakan ke atas penjual Peranti Perisian Penstriman Haram (ISD) dan berjanji untuk terus bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej yang tegas bahawa cetak rompak adalah mencuri, haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.”


Cetak rompak pada hari ini dilihat seakan-akan menjadi kebiasaan sehingga ramai yang terleka dan terlupa bahawa ia merupakan sebahagian dari perbuatan mencuri. 


Pendekata, cetak rompak adalah musuh utama industri, yang mana ia merompak hasil kerja setiap mereka yang terlibat dalam ekosistem kreatif tersebut; dari pelakon, penulis, penerbit, pengarah dan jurugambar, yang mana secara langsung menghalang sebarang pembangunan. 


"Jika cetak rompak dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, ia akan membantutkan segala usaha yang dilaksanakan industri hiburan, kerana tiada mana-mana pihak yang akan membuat sebarang pelaburan ekonomi terutamanya ke atas kandungan-kandungan yang dikategorikan premium seperti “Piala Dunia FIFA”, kerana khuatir akan risiko ia dicuri dan dipasarkan secara haram,” tambah Laila.

 

“Pada hari ini, penalti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kotak media mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta dilihat agak ringan. Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka. Nilai kerugian yang perlu ditanggung oleh kerana cetak rompak ini sudah tentu lebih tinggi dari hukuman denda yang hanya RM30,000, ”  sambung Zahrin Aris, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM).


Mengulas lanjur Zed Zaidi, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN)  berpendapat, cetak rompak digital yang menggunakan kaedah ISD ini telah lama membelenggu industri kreatif tanah air. 


“Besar harapan kami agar sabitan hukuman yang dikenakan baru-baru ini bakal memberi sinar baharu kepada industri dan kes tersebut dijadikan penanda aras, seterusnya memberi keadilan kepada pemain industri kreatif tempatan khususnya, yang rata-rata merupakan mangsa kepada perbuatan jenayah ini,” tambah Zed.

 

Bagi Lam Swee Kim, Ketua Pegawai Pemasaran Star Media Group, beliau sependapat hukuman penalti yang dikenakan perlulah setimpal bagi mencerminkan impak buruk yang berlaku kepada penggiat  industri.


“Kegiatan cetak rompak ini melibatkan penjanaan pulangan kewangan dan imbuhan diterima perlu dipantau serta hukuman sewajarnya perlu dikenakan kepada pelaku,” ujarnya. 


Dalam pada itu, rata-rata penggiat industri merayu  pihak kerajaan Malaysia untuk melakukan kajian semula ke atas undang-undang yang sedia ada. 


Ia tidak memberi perlindungan yang menyeluruh kepada pemilik hakcipta yang merangkumi setiap kerja-kerja kreatif yang diusahakan. 


Cetak rompak digital perlu diperangi dengan memastikan hanya kandungan-kandungan yang distrim secara sah. 


Tindakan tegas perlu diambil ke atas laman sesawang dan platform e- dagang yang menyediakan penstriman haram dan penjualan ISD secara terang-terangan. 

Kerjasama juga diperlukan dari semua pihak terutamanya daripada penyedia kandungan, stesen-stesen penyiaran, pihak pengawal selia, badan-badan berwajib dan pengguna, hinggalah ke syarikat telekomunikasi, penyedia perkhidmatan internet dan pemain e-dagang. 


Gambar hiasan: Astroawani dan berita harian (gambar atas).


#CetakRompakDigital #HukamanBerat #SENIMAN #ASTRO #KPDNHEP #STAR

Tiada ulasan: