Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SHUKRI ZAINAL KENANG NASSIER WAHAB, TIDAK MAHU LAGI MURUNG


MASIH KAH anda ingat lagi penyanyi muda bernama Azam Smile atau Shukri Zainal?


Pada awal penglibatannya dalam industri, Shukri atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Azam Zainal Abidin, 34,  pernah mengalami masalah depresi sehingga ke tahap mengelar pergelangan tangannya sendiri tanpa sedar.


Ketika melalui fasa getir kemurungan itu, Shukri rancak mempromosikan single sulungnya berjudul ‘Sudahlah Sayang’ hasil ciptaan Zul 2 By 2 dilancarkan pada 2 September 2016.


Ekoran itu juga, dia diberhentikan kerja sebagai pegawai di sebuah agensi perbankan gara-gara terlalu sibuk mengejar cita-cita sebagai seorang penyanyi.


"Saya akui khilaf sendiri. Terlalu ghairah nak jadi penyanyi, saya tidak fikir langsung keutamaan kerja bank yang saya sudah ceburi sejak tujuh tahun. Tapi saya sedar dan akur setiap yang berlaku ada hikmahnya.


"Saya ada rekod mengesahkan pernah mengalami kemurungan. Ketika itu saya jadi lemah semangat, hilang selera makan, berat badan menurun dan macam macam lagi. Saya sampai kena ambil ubat anti depresi kerana mahu mengatasi masalah kebimbangan dan susah nak tidur,” cerita Shukri yang turut berdepan kegagalan single pertamanya meraih populariti walau pun dijadikan runut bunyi drama bersiri ‘Sayang Papa Saya Tak?’ dan ‘Mawar Murni’.


“Saya cuba untuk bangkit semula dan berusaha mengeluarkan single kedua namun sering tertangguh kerana masalah kemurungan. Akhirnya pada 28 Februari 2019, saya berjaya juga hadirkan single berjudul ‘Atas Cintamu’ garapan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen," katanya.


Bagaimanapun single kedua itu turut gagal menyerlah bakat Shukri yang ketika itu dikenali dengan nama Azam Smile.


"Selain masalah kekurangan promosi, masalah kemurungan dan kesihatan membataskan pergerakan saya. Saya sendiri mengakui ada kalanya seperti hilang arah dan tidak fokus dengan apa yang dimahukan.


"Malah ketika masih bekerja di agensi perbankan pun saya buat sesetengah perkara tanpa fikir panjang. Saya  amat menyesal dan insaf kerana memantis atau mencukur kening. Perbuatan itu terang terangan haram. Konon nak bergaya macam artis K-Pop,” kenang Syukri menyesali perbuatannya yang mementingkan penampilan dan mengutamakan cara berpakaian kemas serta bergaya.


“Sekarang kalau ada tuntutan kerja, saya gunakan teknik solekan untuk menutup kening yang dipantis itu," tambahnya.


Terkini,  memasuki tahun baharu 2021, Shukri mahu melupakan episod lama untuk bangkit semula malah mahu mengabadikan lagu terbaharunya, ‘Puisi Rindu’ untuk arwah penyanyi Nassier Wahab yang merupakan idola dan sifunya dalam bidang nyanyian.


   Foto Kredit: Instagram @shukrizainalofficial.


"Saya mula mengenali arwah Nassier Wahab  pada tahun 2016 dan diperkenalkan penyanyi Fazli Zainal. Kami boleh serasi dan rapat macam adik beradik. Malah arwah sendiri banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Arwah seorang pendengar yang baik dan tak lokek memberi nasihat.


"Tapi Tuhan lebih menyayanginya kerana sudah meninggalkan kita pada Disember 2019. Saya dapat idea menghasilkan alunan lagu ini tanpa lirik. Sejurus selepas solat, tiba-tiba ada alunan lembut berlagu dalam hati dan saya cepat-cepat merakamkannya menggunakan teknik “humming”, ujar Shukri.


Berikutan itu, tambahnya beiiau menyuarakan kepada Avny apa yang terlintas di hatinya.


”Lirik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Lagu ini sebenarnya berkisarkan mengenai kesakitan yang ditanggung arwah semasa hayatnya. Kebetulan masa arwah sakit, saya tahu dan melihat keperitan yang cuba disembunyikan itu," kenang Shukri.



Bercerita lanjut,  Shukri memberitahu penggambaran video muzik single ketiganya pada Disember tahun lalu itu ditaja sepenuhnya oleh Produksi Pure On Vission dengan kerjasama Rekasia Studios dan Align Creative Studios


"Lebih menyentuh hati, apabila penggambara video muzik itu dilakukan di kediaman rasmi arwah di Bukit Raja, Klang. Bekas pembantu peribadi arwah,  Aliff juga berlakon sebagai cameo.


“Keadaan semasa pengambaran sangat suram dan sedih bercampur baur kerana keluarga arwah juga turut serta melihat proses pengambaran dari awal hingga akhir. Saya sebak setiap kali memandang setiap sudut dalam rumahnya. Terasa seolah olah arwah masih ada bersama," kata anak bongsu daripada tiga beradik yang mempunyai kelayakan dalam Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Islam Antarabangsa ini.


Nak tahu bagaimana kah bunyi lagu ‘Puisi Rindu’ yang ditujukan buat arwah Nassier Wahab itu... bolehlah  distrim di semua platform digital terpilih manakala video muzik rasminya  boleh ditonton di YouTube Kame Music Production.



#PuisiRindu #ShukriZainal #AzamSmile #NassierWahab #KameMusicProduction

Tiada ulasan:

Catat Ulasan