Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

APA MAKSUD 'ANUGERAH TERINDAH' BAGI ALIF SATAR & THE LOCOS?


ANUGERAH TERINDAH’  dua perkataan yang mesejnya cukup jelas. 


Ayat ringkas ini banyak dijadikan judul lagu oleh penyanyi tempatan mahu pun luar negara seperti di Indonesia di mana antaranya Sheila On 7 pun ada lagu yang berjudul serupa.


Black Hanifah antara penyanyi tempatan yang turut mempunyai lagu berjudul ‘Anugerah Terindah’.


Bagi mereka semua, masing-masing ada mesej tersendiri di sebalik maksiud anugerah terindah yang disuarakan. 


Dan terbaharu, penyanyi Alif Satar yang kini sudah bersama kumpulan The Locos tidak ketinggalan memilih ‘Anugerah Terindah’ sebagai judul lagu mereka.


Apa pula maksud ‘Anugerah Terindah’ bagi Alif & The Locos (ASTL)?


Bagi ASTL, lagu berkenaan merupakan salah satu cara mereka  menghiburkan dan juga mahu kembalikan semula semangat para peminat walaupun dunia dilanda wabak Covid-19 sehingga menjejaskan setiap aspek kehidupan.


“Kami ingin menyampaikan mesej untuk sentiasa hargai anugerah terindah seperti pasangan hidup, ibubapa, anak-anak mahu pun rakan-rakan selagi mereka masih ada di sisi,” ujar Alif Satar pada majlis sidang media secara virtual yang diadakan petang semalam (23 Julai 2021).


Turut hadir keempat anggota The Locos terdiri dari Tam Cobain (Gitar), Efry Arwis (Bass), Rajwan Juni (Dram) dan Faliq Auri (Saksofon). 


Mempertaruhkan genre pop, R&B dan mempunyai sedikit pengaruh muzik 90- an, ‘Anugerah Terindah’ khabarnya mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan  iaitu dari tahun 2019 sehingga 2021.


Kenapa lama sangat tu?


“Sebenarnya ilham lagu tersebut tercetus ketika kami berada di United Kingdom semasa  mengadakan Jelajah Persembahan di Sheifield,” Alif membuka cerita.


Menurutnya, uniknya lagu berkenaan adalah kerana ia merupakan ciptaan bersama sebagai sebuah kumpulan muzik yang bermula di UK dan kemudiannya bersambung di Malaysia pada tahun 2020 ketika Malaysia diarahkan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah ke dalam studio muzik pada tahun 2021. 


“Semasa di UK kami semua mengalami ‘jet lag’, semua tak boleh tidur jadi kami ambil kesempatan buat lagu menggunakan aplikasi di telefon sahaja untuk rakam. Hanya pada awal PKPP tahun lalu kami dapatkan bunyi yang betul-betul dan melengkapkan liriknya,” kenang Alif sambil mendapat anggukan persetujuan rakan kumpulannya, The Locos.



#Throwback. Kredit foto Instagram @alifsatarandthelocos.


Anugerah Terindah’ mempertaruhkan genre pop, R&B dan mempunyai sedikit pengaruh muzik 90- an, manakala bait-bait lirik lagu mendapat sentuhan Romeo dan juga penulis lirik yang telah banyak memenangi anugerah, Shah Shamshiri yang juga merupakan penulis lirik lagu pertama Alif  ‘Khayal’, semasa dia mula menyanyi pada tahun 2006. 


Selain itu, Alif dan juga dua daripada anggota The Locos iaitu Efry dan Tam bertindak sebagai produser sementara susunan muzik menggabungkan elemen elektronik yang membuatkan lagu tampak lebih segar dan terkini. 


Lebih menarik, Alif Satar & The Locos juga merupakan artis pertama Malaysia yang melancarkan lagu di dalam versi Spatial Audio, dikuasakan oleh Dolby Atmos. 


Versi Spatial Audio ini hanya tersedia untuk pelanggan Apple Music tanpa kos tambahan di mana kelainan bagi versi Spatial Audio ini adalah ia memberi peluang kepada para artis dan pemuzik untuk mencipta pengalaman audio yang lebih mendalam untuk peminat mereka dengan suara dan kejelasan multidimensi yang sebenar. 


“Spatial merupakan pengalaman yang mengasyikkan di mana para pendengar boleh mendengar suara atau bunyi yang bergerak di sekitar mereka dari arah yang berbeza,” jelas Ketua bersama Hubungan Artis di Apple Music, Zane Lowe.



Bagi video muzik Anugerah Terindah' pula, ia dilancarkan di YouTube Warner Music Malaysia  membawa konsep ‘Black & Gold’ arahan pengarah filem terkenal tanah air, Ghaz Abu Bakar yang juga mengarahkan video muzik Black Hanifah dengan lagu judul sama.


“Saya memang sudah lama mahukan Ghaz Abu Bakar mengarahkan video muzik kami dan syukur harapan saya tercapai,” jelas Alif puas.


Dijangka menjadi hit di kalangan pencinta muzik Malaysia serta peminat-peminat setia ASTL sendiri, single Anugerah Terindah’ boleh didapati di kesemua pelantar penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, dan Deezer bermula semalam (23 Julai 2021) manakala video muzik rasmi Anugerah Terindah’ boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia. 



#AnugerahTerindah #AlifSatar&TheLocos #WarnerMusicMalaysia #GhazAbuBakar #BlackHanifah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan