Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'CINTA RAMADAN BAWA SHARNAAZ AHMAD DI AMBANG KESUSAHAN?


SUDAH lama rasanya kita tidak dihidangkan oleh drama bergenre cinta dengan mesej-mesej positif penuh keinsafan sebagai teladan.


Jika itu yang anda kepingin apa kata mengikuti dua naskhah terbaharu dari Singapura berjudul ‘Cinta Ramadan dan ‘Danny’ yang kini sudah pun mengisi slot Tiara di saluran Astro Prima (105)  pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 8 Oktober 2021 lalu.


Telefilem ‘Cinta Ramadan’ mengangkat elemen keinsafan yang tidak kenal masa dan rupa. 


Kisahnya diterajui oleh Sharnaaz Ahmad yang mendukung watak utama sebagai Ramadan atau Danny, Nurul Nabila sebagai Natrah dan Fir Rahman sebagai Rizal. 


Manakala drama rantaian ‘Danny’ pula merupakan sekuel kepada telefilem ‘Cinta Ramadan’ yang menyaksikan perkembangan watak Danny dalam meniti kehidupan selepas berubah sekaligus membina hubungan cinta baharu. 


Sharnaaz Ahmad masih lagi dikekalkan untuk membawa watak yang sama di samping pengenalan watak-watak baharu yang dibintangi oleh Elfaezah Ul Haq, Nadia M Din (gambar bawah), Dayang Balqis, Taufiq Salleh, Junaidi Sali dan Sarah Aqilah.



Mengulas  mengenai sajian terbaharu di slot Tiara itu, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima berkata:


“Kandungan drama berkualiti merupakan antara kekuatan dan formula tarikan utama yang dipertaruhkan untuk memancing hati audiens agar terus setia memilih Astro. Justeru, setiap pilihan kandungan yang ditayangkan perlu bersandarkan kepada keunikan genre, plot, kaedah penyampaian dan garapan yang disulam sempurna untuk dekat dengan citarasa seluruh lapisan masyarakat.”


Menurut Norzeha, kekuatan dua naskhah berkenaan  secara ringkasnya menceritakan tentang kesinambungan liku-liku kehidupan Ramadan atau Danny, seorang pendosa yang sudah berubah dan ingin membina hidup baharu. 


“Proses untuk bangun semula bukan mudah kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Yang membezakan kita adalah sama ada kita nekad untuk membetulkan kesilapan tersebut, kecil atau besar,” tambahnya.


Kedua-dua naskhah khabarnya telah mendapat sambutan yang amat baik sewaktu disiarkan di Singapura. 


“Sehubungan dengan itu, besar harapan kami agar penceritaan dalam kisah kali ini mampu mendapat perhatian audiens di Malaysia pula,” Norzeha yakin.


Telefilem ‘Cinta Ramadan’ berkisar tentang Danny, seorang pemuda yang berani dan seorang usahawan yang bijak, tetapi kehidupan dan kepercayaan hidupnya ditentang oleh bapanya yang alim, Ismail. 


Perbezaan pendapat antara mereka perlahan-lahan membawa kepada keputusan Danny untuk keluar dari rumah. Keputusan tersebut benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada ibunya.


Tidak lama kemudian Danny diberikan sebuah projek yang besar untuk digalas. Dia digandingkan dengan Natrah, seorang gadis muda yang telah menduga hubungan Danny dan rakan baiknya, Rizal. Apabila Danny dan Natrah diberi tugasan yang sama pada bulan Ramadan, Danny mula jatuh hati pada gadis yang kerap mencabarnya ini. 


Hubungan Danny dan Rizal terus berantakan dan membawa masalah kepada projek Danny, yang membawa kepada keretakan hubungan antara Danny dan Natrah dalam masa yang sama. 


Mampukah Danny keluar dari kemelut hidupnya ini?


Drama rantaian ‘Danny’ pula mengisahkan tentang perjalanan kehidupan Danny selepas pemergian Natrah. Danny cuba untuk melupakan Natrah dengan melanjutkan pelajarannya sambil cuba memulakan perniagaan kecil. 


Dalam usaha untuk mengimbangi dua dunia tersebut, Danny jatuh hati pada Sarah, seorang usahawan muda yang bakal mengambil alih syarikat ayahnya. Sarah saling tidak tumpah seperti Natrah, setiap sisi dan perangainya mengingatkan Danny pada Natrah.


Sebaik Danny berjaya menandatangani sebuah kontrak yang lumayan, Danny berniat untuk menghantar ibu dan bapanya mengerjakan ibadah Umrah.


Walau bagaimanapun, kejayaan perniagaan Danny membawa dirinya hanyut kembali ke kancah maksiat. Ini ditambah lagi dengan kehadiran Liana, isteri kepada rakan baik Danny, Hosni. 


Hosni mula mengesyaki Danny sedang berselingkuh dengan isterinya. Perselisihan ini membawa kepada kehidupan Danny sekali lagi diambang kesusahan.


Mampukah Danny menyimpan cinta Sarah dan kepercayaannya juga dalam masa yang sama. Adakah Danny bakal mengulangi dosa lamanya?


Segalanya terjawab apabila anda sabar menontonnya hingga akhir ya...jangan meluat pula dengan perangan Danny tau!



#AstroPrima #SlotTiara #CintaRamadan #Danny #SharnaazAhmad #CintaTulus

Tiada ulasan:

Catat Ulasan