Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MAAEDICARE RAIH RM700,000, PERLUAS AKSES PENJAGAAN KESIHATAN GOLONGAN MEMERLUKAN!


SUMBANGAN
masyarakat terus menjadi nadi kepada usaha Yayasan Amal Maaeedicare (Maaedicare Charitable Foundation)  dalam memastikan pesakit buah pinggang dan golongan memerlukan tidak tercicir daripada menerima rawatan kesihatan yang berkualiti. 


Pada majlis makan malam amal yayasan itu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada malam semalam, 25 Julai 2026, sejumlah RM700,000 berjaya dikumpulkan.


Dana tersebut diperoleh bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan yayasan itu termasuk rawatan dialisis bersubsidi, program bantuan pesakit, penggantian mesin dialisis yang uzur, perkhidmatan diagnostik jantung pada kadar mampu milik, Klinik Amal Percuma serta program saringan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) berasaskan komuniti bagi menggalakkan pengesanan awal dan pencegahan penyakit.


Pengerusi  Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Dato’ Yaacob Khyra berkata, landskap penjagaan kesihatan negara yang semakin berkembang memerlukan organisasi kesihatan amal memberi penekanan bukan sahaja kepada rawatan, malah aspek pencegahan, intervensi awal dan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang mampan.


“Setiap sumbangan yang diterima malam ini memperkukuhkan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia yang semakin meningkat, sambil terus komited memberikan rawatan berkualiti dengan penuh ihsan,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam amal tahunan ‘A Night of Hope & Healing: Shine a Light, Save a Life’ itu.


Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri

Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Ketua Pegawai Eksekutif Maaedicare Charitable Foundation, Anne Rajasaikaran serta Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran. 



Turut hadir Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo, Presiden Association of Private Hospitals of Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh, selain rakan korporat dan pihak penaja serta penyumbang.


Berkongsi lanjut, Tunku Yaacob berkata, penjagaan kesihatan pada masa kini bukan lagi sekadar merawat penyakit selepas ia berlaku, sebaliknya memerlukan pelaburan dalam usaha pencegahan, memperluaskan akses kepada rawatan berkualiti serta memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan.


Tambah beliau, yayasan itu turut komited meningkatkan kecemerlangan klinikal melalui pelaksanaan teknik ultrasound-guided cannulation di kesemua 11 pusat dialisis kendaliannya sebagai usaha memastikan rawatan berkualiti dapat dinikmati.


Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Anne Rajasaikaran memaklumkan setiap sumbangan yang diterima bukan sekadar angka, sebaliknya membawa harapan baharu kepada ribuan pesakit yang bergantung kepada rawatan berterusan untuk meneruskan kehidupan.


Beliau berkata, Medicare Charitable Foundation kini mengendalikan 11 pusat dialisis amal di sembilan negeri, memberi manfaat kepada kira-kira 770 pesakit dialisis aktif serta telah merawat lebih 35,000 pesakit sejak penubuhannya pada 1994.


“Sehingga kini, pusat jantung kami telah merekodkan lebih 13,000 kunjungan pesakit, membuktikan bukan sahaja keperluan terhadap akses penjagaan jantung yang mampu milik, malah kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kami. Malangnya, masih ramai yang menangguhkan rawatan bukan kerana tidak mahu mendapatkan bantuan, tetapi kerana kekangan kewangan. Apabila mereka hadir, keadaan kesihatan selalunya sudah menjadi lebih kritikal,” ujar Anne.



Selain itu, beliau berkata, Yayasan kini turut mengendalikan 13 klinik penjagaan kesihatan primer, termasuk pembukaan sebuah klinik baharu pada Julai lalu, bagi memastikan komuniti berpendapatan rendah dapat memperoleh rawatan asas tanpa dibebani masalah kewangan.


"Yayasan turut memberi penekanan terhadap usaha pencegahan menerusi penyediaan perkhidmatan saringan dan diagnostik jantung pada kadar mampu milik bagi membolehkan penyakit dikesan lebih awal sebelum menjadi lebih serius,” tambah Anne.


Mengulas kejayaan kutipan dana sebanyak RM700,000, beliau berkata, jumlah itu bukan sekadar satu pencapaian kewangan, sebaliknya melambangkan ribuan sesi dialisis yang dapat diteruskan, ubat-ubatan yang dapat disediakan, perjalanan rawatan yang dapat dibiayai serta peluang untuk lebih ramai pesakit menikmati kehidupan dengan penuh maruah.


“Apabila kita meninggalkan dewan ini nanti, lampu akan dipadamkan dan majlis akan berakhir. Namun bagi pesakit kami, kebaikan yang dizahirkan pada malam ini akan terus hidup dalam setiap sesi dialisis yang mereka terima, setiap perjalanan ke pusat rawatan yang mampu mereka lakukan, setiap mesin dialisis baharu yang membuka peluang kepada pesakit lain, dan setiap hari baharu yang masih dapat mereka lalui. Bagi pihak semua pesakit yang menerima manfaat daripada kemurahan hati anda malam ini, terima kasih,” akhirinya.



Sementara itu, mengulas peranan NGO dalam sektor kesihatan negara, Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) berkata, penyediaan perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, organisasi kebajikan dan masyarakat.


“Kerajaan mempunyai sistem kesihatan yang baik, tetapi kerajaan tidak boleh berada di semua tempat pada setiap masa. Di kawasan miskin bandar, klinik BSMM boleh menyediakan rawatan asas seperti demam, luka kecil dan kecederaan ringan setiap hari, bukan hanya ketika bencana,” kata baginda.


Kerjasama strategik antara BSMM dan Yayasan Amal Maaedicare bakal memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan percuma menerusi penubuhan klinik komuniti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), sekali gus memastikan golongan miskin bandar tidak tercicir daripada menerima rawatan asas.


TUNKU Puteri Intan Safinaz bersama Tunku Yaacob Khyra.


Menurut Tunku Puteri, peranan utama BSMM selama ini lebih sinonim dengan bantuan ketika bencana selain mengendalikan 101 ambulans di seluruh negara, namun keperluan masyarakat terhadap bantuan kesihatan wujud setiap hari.


“Bencana tidak berlaku setiap hari, tetapi kebajikan perlu dilihat berfungsi setiap hari. Sebab itu klinik percuma ini amat penting kerana walaupun tiada bencana, BSMM tetap dapat membantu rakyat,” tambah Tunku Puteri Intan.


Menurut baginda, kerjasama antara NGO dan sektor kemanusiaan amat penting kerana nilai kemanusiaan tidak boleh diukur hanya dari sudut ekonomi.


“Kadang-kadang kita tidak nampak betapa besarnya nilai sektor kemanusiaan. Nilai ekonomi bukan hanya diukur daripada aspek perniagaan, tetapi juga daripada sumbangan kemanusiaan.


“Ratusan ribu rakyat Malaysia menyumbangkan masa dan tenaga sebagai sukarelawan tanpa mengharapkan balasan. Nilai itu mungkin tidak dapat diukur, tetapi ia amat besar kepada masyarakat. BSMM sendiri tidak akan mampu berfungsi tanpa sukarelawan yang sentiasa tampil membantu ketika banjir, kebakaran dan pelbagai situasi kecemasan,” titah baginda.


Tunku Puteri turut berharap BSMM yang telah berkhidmat selama 78 tahun dan Yayasan Amal Maaedicare yang kini memasuki tahun ke-32 akan terus mendapat sokongan kerajaan serta rakyat Malaysia agar kedua-dua organisasi itu mampu meneruskan misi kemanusiaan mereka untuk 100 tahun akan datang. 


BERGAMBAR kenangan bersama pihak media.


#MaaedicareCharitableFoundation #BSMM #Amal #PPR #BantuanKesihatan #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan