TOURISM MALAYSIA, MYDIN LANCAR 'JOM JALAN MYDIN' SEMARAKKAN VMY 2026!
Kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan syarikat peruncitan tempatan itu bukan sahaja menggalakkan rakyat Malaysia mengembara ke destinasi menarik di dalam negara, malah menghubungkan pengalaman pelancongan dengan aktiviti membeli-belah serta usaha menyokong produk keluaran tempatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerjasama awam-swasta seperti itu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan persediaan negara sempena VM2026 selain menyemarakkan lagi semangat Cuti-Cuti Malaysia.
“Inisiatif seperti Kempen ‘Jom Jalan MYDIN’ berupaya menyemarakkan lagi semangat Cuti-Cuti Malaysia dalam kalangan rakyat tempatan. Kerjasama ini menyokong persiapan VM2026 dengan memperkukuh pelancongan domestik melalui pengalaman beli-belah yang menghubungkan masyarakat secara terus dengan produk serta tarikan tempatan,” katanya pada majlis pelancaran Kempen “Jom Jalan MYDIN” yang menggabungkan elemen pelancongan, beli-belah dan sokongan kepada usahawan tempatan, bertempat di Mydin USJ semalam (23 Julai 2026.
Teks ucapan Menteri dibaca oleh Pengarah Kanan Pengiklanan & Digital merangkap Ketua Sekretariat Visit Malaysia Year 2026, Tuan Mohd Akbal Setia (gambar atas, tengah), sekali gus menyempurnakan majlis pelancaran yang turut diringi Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin.
Turut memeriahkan majlis antaranya Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Zuraini Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Ekskutif Tabung Haji Travel & Services, Tengku Dato Badlishah Shukri.
Sementara itu, (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin (tiga dari kanan) berkata, peranan pusat beli-belah kini berkembang daripada sekadar tempat mendapatkan keperluan harian kepada sebuah destinasi yang menawarkan pengalaman baharu kepada pelanggan.
Katanya, MYDIN sentiasa komited membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan menyediakan ruang untuk memasarkan produk mereka kepada pengguna.
“Menerusi kempen ini, kami berharap rakyat Malaysia dapat mengenali, menghargai dan terus memilih barangan buatan Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja memperkukuhkan sokongan terhadap produk tempatan, malah memberi manfaat kepada komuniti usahawan di seluruh negara.
Selari dengan fokus Tourism Malaysia memperkasakan segmen pelancongan beli-belah yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi pelancongan domestik, kempen berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai mengenali pelbagai produk warisan dari seluruh negara di bawah satu bumbung.
Bagi menjadikan kempen lebih interaktif, MYDIN akan menganjurkan aktiviti ‘Treasure Hunt’ di beberapa cawangan terpilih yang menggabungkan cabaran menarik, penerokaan lokasi pelancongan serta elemen kebajikan.
Selain itu, pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah termasuk pakej pelancongan domestik, pengalaman pelayaran kapal persiaran, penginapan hotel tempatan tajaan Tabung Haji Travel, selain hadiah, baucar dan penjimatan keseluruhan melebihi RM5 juta hasil kerjasama rakan pembekal.
Kempen “Jom Jalan MYDIN” dijangka memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor termasuk peruncitan, pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman serta komuniti usahawan tempatan, sekali gus memperkukuhkan momentum negara ke arah menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026.
#JomJalanMYDIN #VMY2026 #TreasureHunt #TourismMalaysia #Pelancongan #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan