Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MEGA HALAL BANGKOK 2026 HIMPUNKAN PEMAIN INDUSTRI HALAL GLOBAL DI THAILAND 15 JULAI!


SYARIKAT
Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), disaran memanfaatkan platform MEGA HALAL Bangkok 2026 sebagai pintu masuk strategik untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran halal ASEAN dan global ketika permintaan terhadap produk halal terus berkembang di peringkat antarabangsa.


Acara perdagangan halal itu akan berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, Thailand, dengan menghimpunkan pemain industri, pembeli perdagangan dan pengedar dari seluruh rantau ASEAN serta pasaran antarabangsa.


Dianjurkan oleh Comasia Limited dengan kerjasama SHAPERS, pengasas Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan HALFEST Malaysia, Thailand National Food Institute (NFI) serta Thai Muslim Trade Association (TMTA), pameran berkenaan dijangka muncul sebagai antara platform perdagangan halal terbesar dan paling berpengaruh di Asia Tenggara.


Penganjuran MEGA HALAL Bangkok 2026 yang berlangsung serentak dengan MEGA SHOW Bangkok dijangka meningkatkan kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama di rantau ASEAN.


“Lebih 200 pempamer dari lebih 10 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian, merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, kosmetik, penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan, farmaseutikal, fesyen Muslim, gaya hidup serta teknologi halal,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Dato Mohd Shukri Abdullah pada majlis sidang media MEGA HALAL Bangkok 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pagi tadi, 2 Julai 2026.


Turut hadir Pengarah Comasia Limited, Peter Cheung dan Pengarah Projek Agi Widiawan Kadar dari Indonesia.


DARI kiri: Mohd Shukri, Peter Cheung dan Agi Widiawan.


Sambung Mohd Shukri, antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Tanah Besar China dan Taiwan, menjadikan pameran itu sebagai platform penting memperkenalkan inovasi serta produk halal Asia kepada pembeli global.


Tambahnya, Thailand perlu dilihat bukan sekadar negara jiran, sebaliknya sebagai hab sumber, rakan eksport dan pintu masuk penting kepada perdagangan halal serantau.


Jelas Mohd Shukri, Shapers Malaysia hanya akan menyokong dan bekerjasama dalam inisiatif yang mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana setiap keputusan memerlukan keyakinan, kredibiliti serta hala tuju yang jelas.


“Atas sebab itu kami memilih untuk bekerjasama dengan ComAsia Limited dalam membangunkan Mega Halal Bangkok kerana kami melihat platform ini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab perdagangan halal serantau,” ujar Mohd Shukri.


Menjawab soalan media, Mohd Shukri berkata, lebih 400 badan pensijilan halal di seluruh dunia berkongsi asas dan kefahaman yang sama kerana berpandukan sumber Islam yang seragam.


Jelasnya, Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Indonesia melalui Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), dan Thailand menerusi Central Islamic Council of Thailand (CICOT) sentiasa bekerjasama bagi menyemak dan menambah baik piawaian pensijilan halal mengikut perkembangan semasa.



Menurutnya, badan-badan berkenaan mengadakan pertemuan secara berkala untuk memastikan setiap negara mematuhi keperluan piawaian halal terkini sebelum pengiktirafan diberikan atau diperbaharui.


Beliau menjelaskan bahawa Malaysia turut mengiktiraf pensijilan halal yang dikeluarkan oleh CICOT selepas proses penilaian terhadap kaedah pensijilan, prosedur audit serta pemahaman organisasi itu mengenai keperluan halal.


Beliau turut memaklumkan, industri halal global hari ini juga banyak disertai syarikat bukan Islam, malah dianggarkan antara 70 hingga 80 peratus pengeluar produk halal di seluruh dunia terdiri daripada syarikat milik bukan Muslim.


Katanya, penyertaan syarikat bukan Islam adalah penting bagi memenuhi permintaan pasaran global, namun mereka perlu mematuhi sepenuhnya syarat dan piawaian halal yang ditetapkan oleh badan pensijilan.


“Integriti halal bukan sekadar bergantung kepada sijil yang diperoleh, sebaliknya memerlukan pemantauan berterusan di sepanjang rantaian bekalan bagi memastikan pematuhan dikekalkan dari peringkat pengeluaran sehingga produk sampai kepada pengguna,” tegasnya.



Bagi memastikan penyertaan antarabangsa yang lebih meluas, siri jelajah promosi telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu di beberapa hab halal utama termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun dan China. 


Kempen itu turut mendapat sokongan pelbagai organisasi halal serta rakan media antarabangsa di Afrika Selatan, Korea Selatan, Pakistan dan Bangladesh bagi memperluaskan capaian kepada komuniti perniagaan halal global. 


Di Indonesia, organisasi terkemuka seperti Halal Indo dan Debindo turut bekerjasama mempromosikan penyertaan syarikat-syarikat tempatan, sekali gus memperkukuhkan penglibatan negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia. 


Malah, dalam usaha menarik lebih ramai pembeli profesional antarabangsa, kempen promosi berskala besar turut dijalankan di beberapa hab penerbangan utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangkok Suvarnabhumi, Soekarno-Hatta Jakarta dan Hong Kong International Airport. 


Lebih menarik, beberapa syarikat peruncitan utama Asia seperti Big C dan Lotus's dari Thailand serta Indomaret dari Indonesia telah mengesahkan penyertaan sebagai pembeli perdagangan, membuka peluang kepada pempamer untuk menjalin kerjasama komersial secara langsung dengan rangkaian pengedaran terbesar di rantau ini. 



Sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memudah cara perdagangan antarabangsa, pihak penganjur turut menawarkan insentif eksklusif berupa penginapan percuma selama dua malam di hotel lima bintang mesra halal kepada pembeli perdagangan dan peserta antarabangsa yang layak. 


“Saya menggesa lebih banyak syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim serta produk gaya hidup halal mengambil peluang menyertai pameran itu bagi mengembangkan rangkaian perniagaan, meningkatkan eksport dan meneroka pasaran halal yang semakin pesat berkembang di peringkat serantau dan global,” akhiri Mohd Shukri.


Pendaftaran untuk menyertai MEGA HALAL Bangkok 2026 masih dibuka  waima kepada syarikat yang berminat boleh mendapat info lanjut menerusi www.megahalal-bangkok.com.  atau klik terus DI SINI.



#MegaHalalBangkok2026  #CompAsiaLimited #Shapers #NFI #TMTA #CICOT #fyp



Tiada ulasan:

Catat Ulasan