Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

HADIAH LEBIH RM90,0000 MENANTI PEMENANG REKA BATIK PIALA TENGKU PERMAISURI SELANGOR!


PENGANJURAN
 Kraf Selangor - Piala Tengku Permaisuri Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya 60 penyertaan daripada pereka dan pengkarya batik dari seluruh negara bagi mengetengahkan bakat baharu dalam industri kreatif, dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM90,000 menanti para pemenang.


Bertemakan “Warisan. Identiti. Inovasi.”, pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor itu bertujuan memperkasa industri ekonomi kreatif, memelihara warisan budaya serta meningkatkan nilai komersial Batik Selangor di peringkat nasional dan antarabangsa.


Penyertaan pertandingan kini dibuka kepada orang ramai tanpa mengira negeri asal, sekali gus memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dan minat dalam bidang batik untuk menyertai pertandingan berprestij itu.


Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor yang dilancarkan pada 2025 bagi memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sektor kreatif yang disifatkan mempunyai potensi besar sebagai penyumbang ekonomi negeri dan negara.


“Pertandingan mempertandingkan dua kategori utama iaitu Kategori Fesyen Batik Selangor dan Kategori Lukisan Batik Selangor dengan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM90,000, sekali gus menjadikannya antara pertandingan batik dan kraf dengan nilai ganjaran tertinggi di Selangor,” ujar EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi pada sidang media pelancaran ‘Kraf Selangor - Piala Tengku Permaisuri Selangor bertemat di Hotel Sunway Resort pada semalam, 14 Julai 2026.



Turut hadir Ketua Yayasan MBI,Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ahmad Azri Zainal Nor; Pegawai Ekonomi Kreatif Selangor & Pengurus Program Kraf Selangor, Piala Tengku Permaisuri Selangor, Mohamad Nor Imran Mat Shah; Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Zanariah Zulfandie Osman dan Timbalan Pengarah, Seksyen Sektoral, UPEN Selangor, Nujaimatu’l Allah Mohd Jais.


Menurut Najwan seterusnya, bagi kategori Fesyen Batik Selangor, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta Piala Tengku Permaisuri Selangor dan sijil. Naib juara pula menerima RM15,000, manakala tempat ketiga membawa pulang RM10,000 berserta piala dan sijil.


Sementara itu, bagi kategori Lukisan Batik Selangor, hadiah tempat pertama ialah RM15,000, diikuti RM10,000  bagi tempat kedua dan RM5,000 untuk tempat ketiga, turut disertakan piala serta sijil.


Dari segi tema pertandingan, kategori Lukisan Batik Selangor memberi kebebasan kepada peserta menghasilkan karya berinspirasikan negeri Selangor melalui seni cantingan batik.


Bagi kategori Fesyen Batik Selangor pula, peserta perlu menghasilkan rekaan yang menggabungkan elemen pergunungan serta inspirasi negeri Selangor sebagai identiti utama dalam rekaan masing-masing.


“Pertandingan ini bertujuan merangsang penghasilan reka bentuk batik baharu, memperkenalkan inovasi produk serta meningkatkan nilai komersial Batik Selangor,” tambah Najwan sambil memaklumkan jemaah juri bagi kedua dua pertandingan itu diadili oleh kalangan profesional antaranya, Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Tekstil) UiTM Kelantan, Dr. Junaidi Awang.


Bersama Dr. Junaidi adalah Pereka Fesyen Bertaraf Antarabangsa, Lee Khoon Hooi; Pereka Tekstil , Pendidik dan Pengkaji Budaya, Ts Faridah Salehan; Pereka Batik Terkenal Amir Harith Mat Kashim atsu lebih popular disapa Bujin dan Pereka Tekstik Batik Malaysia merangkap Pengasas Kakee Batik, Yus Faizal Abdul Rahim.


DARI kiri: Yus Faizal, Amir Harith, Ts Faridah Salehan, Mohd. Najwan, Ahmad Azri, Khoon Hooi dan Dr. Junaidi Awang.


Untuk kategori Lukisan Batik barisan pengadil terdiri daripada Dr. Jailani Abu Hassan selaku pelukis kontemporari terkenal negara, Pensyarah Kanan di Univeersiti Pendidikan Sultan Idris serta Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara; Dr. Junaidi Awang dan Amir Harith sekali lagi.


Jelasnya lagi, Selangor sebenarnya telah mempunyai identiti batik tersendiri menerusi motif Bunga Tanjong Sembilan Kelopak, malah pemakaiannya telah diwartakan dalam kalangan penjawat awam negeri pada hari-hari tertentu.


Bagaimanapun, beliau mengakui masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan Batik Selangor kerana pasaran menawarkan pelbagai pilihan jenama dan corak batik.


“Justeru, kita mahu mengetengahkan Batik Selangor sebagai antara batik yang mempunyai identiti tersendiri serta mampu berdiri sebaris dengan jenama batik lain,” ujar Najwan.


Beliau berharap penganjuran pertandingan ini dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam bidang batik, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai antara peneraju industri kreatif dan warisan tekstil negara.


Tambahnya, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah memperkasakan industri batik sebelum memperluaskan inisiatif kepada cabang seni warisan lain seperti seni telepok yang mempunyai nilai estetika dan tahap kemahiran tinggi.


“Kita mulakan dengan batik terlebih dahulu. Apabila ada ruang dan potensi untuk diperluaskan, kita akan terus memperkenalkan lebih banyak program di bawah kerajaan negeri bagi mengangkat pelbagai seni warisan sebagai pemacu baharu ekonomi kreatif Selangor,” akhirinya.



#KrafSelangor #PialaTengkuPermaisuriSelangor #BatikSelangor #SeniTelepuk #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan