MIMF 2026 SEDIA PENTAS PKS TEMBUSI PASARAN GLOBAL, SASAR PERKASA INDUSTRI HALAL!
MALAYSIA terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembuatan dan perdagangan industri serantau menerusi penganjuran Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-37 (MIMF 2026) yang dijangka menghimpunkan lebih 10,000 pemain industri dari dalam dan luar negara bagi meneroka peluang pelaburan, teknologi pintar serta kerjasama rentas sempadan.
Berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 16 hingga 18 Julai ini, MIMF 2026 bakal menampilkan beberapa sektor pembuatan antaranya Pameran Plastik, Acuan dan Peralatan Antarabangsa Malaysia 2026 (MY-PLAS 2026) serta Pameran Antarabangsa Pemprosesan Makanan, Pembungkusan dan Peralatan Bakeri Malaysia 2026 (MY-PACK PRO 2026) dan lain-lain.
Memasuki edisi ke-37 sejak diperkenalkan pada 1989, pameran berprestij itu terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara platform perdagangan jentera industri paling lama bertahan di Malaysia dan antara yang paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Pameran yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu dikendalikan oleh ES International Event Management Sdn. Bhd. dengan pengiktirafan daripada Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) serta sokongan pelbagai agensi dan organisasi termasuk Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Malaysia-China International Trade Link Association (MACITA) dan lebih 60 persatuan perdagangan tempatan serta antarabangsa.
“Lebih 700 ruang pameran akan dibuka dengan kira-kira 70 peratus daripadanya disertai syarikat antarabangsa dari China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Vietnam, India, Jerman dan Malaysia,” ujar Pengarah Urusan ES International, Dato Chong Chong Tik ketika temui pada sidang media yang berlangsung di Mitec pada pagi semalam. 1 Julai 2026.
Turut hadir Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah; Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor; Pengerusi Zajas Sdn Bhd & Rakan Strategik Akademi Halal Antarabangsa Malaysia ((MIHA), Datuk Zainal Abidin Jaafar.
Tahun ini, MIMF memberi penekanan kepada pendigitalan industri melalui pengenalan Pavilion AI Smart Manufacturing & Industry 4.0 yang menghimpunkan penyelesaian kilang pintar, Internet Kebendaan Industri (IIoT), automasi robotik, sistem pembuatan digital dan pengurusan pengeluaran pintar bagi mempercepatkan transformasi digital sektor pembuatan negara.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung pelbagai teknologi terkini termasuk mesin suntikan plastik, sistem pengacuan tiupan dan penyemperitan, mesin pemotongan laser industri, sistem pembungkusan dan pelabelan, peralatan pemprosesan makanan dan minuman, mesin pemprosesan halal, robot industri, sistem automasi serta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi Industri 4.0,” tambah Chong Tik.
Majlis perasmian rasmi akan berlangsung pada 16 Julai jam 11 pagi dengan kehadiran wakil kerajaan, diplomat, duta asing, persatuan perdagangan serta delegasi industri antarabangsa.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai program strategik turut disusun termasuk sesi padanan perniagaan sektor pembungkusan dan pemprosesan makanan, Forum Pelaburan Industri Plastik Antarabangsa, Persidangan Industri Antarabangsa, program pertukaran teknologi industri, sesi rangkaian persatuan perdagangan antarabangsa serta Program Rangkaian Pembeli Antarabangsa yang mempertemukan pembeli profesional dengan syarikat pempamer.
Sementara itu, Abu Hassan berpendapat inilah masanya usahawan tempatan menerokai peluang bekerjasama dengan kepakaran dan teknologi baharu yang dibawa pemamir-pemamir dari China dan negara yang terlibat.
“Dari pihak DPUM, kira-kira enam bas akan membawa usahawan-usahawan tempatan yang berminat untuk sertai pameran di mana mereka juga akan diberikan penginapan percuma jika datang dari luar Kuala Lumpur.” ujar Abu Hassan.
Beliau berharap ramai akan mengambil kesempatan hadir khususnya daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga tempatan untuk mempromosikan produk, mencari rakan strategik, mengembangkan rangkaian pengedar dan menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform perdagangan global itu.
Dalam usaha mengembangkan pasaran antarabangsa, MIMF 2026 akan menerima penyertaan pavilion rasmi serta delegasi industri dari Guangdong, Zhejiang, Fujian, Shanghai dan Beijing di China selain Korea Selatan, Jepun serta beberapa negara lain.
Delegasi pembeli dan agensi pelaburan ASEAN juga dijangka hadir bagi membuka lebih banyak peluang perdagangan rentas sempadan kepada syarikat Malaysia.
Selaras aspirasi Malaysia sebagai hab halal dunia, pameran kali ini turut memperluaskan segmen Pemprosesan dan Pembungkusan Makanan Halal yang menggalakkan penyertaan pengeluar makanan, badan pensijilan halal serta jenama makanan antarabangsa dalam memperkasa automasi industri halal dan memperluaskan akses ke pasaran ASEAN, Timur Tengah serta global.
“Dengan sistem pensijilan halal yang kukuh serta permintaan yang semakin meningkat terhadap jentera dan teknologi yang mematuhi piawaian halal, MIMF 2026 menyediakan platform terbaik untuk mempamerkan penyelesaian yang menyokong kemajuan industri dan pembangunan ekosistem halal,” sambung Zainal Abidin.
Menurutnya, MIMF 2026 menyediakan ruang terbaik kepada pemain industri untuk berkongsi pengetahuan, mempamerkan teknologi terkini, meneroka peluang kerjasama eksport serta memperluaskan pasaran ke peringkat global.
“Saya berharap MIMF 2026 mencapai kejayaan yang cemerlang dan yakin penganjurannya akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama dalam industri pembuatan serta sektor halal di peringkat antarabangsa,” akhiri Zainal.
Bagi meningkatkan penyertaan pembeli berkualiti dari seluruh negara, pihak penganjur turut memperkenalkan Program Hosted Buyer yang menawarkan pilihan insentif berupa pengangkutan bas dua hala percuma, penginapan hotel selama satu malam atau bantuan aktiviti bernilai RM2,000 kepada persatuan perdagangan yang berjaya membawa lebih 20 pembeli mewakili sekurang-kurangnya 15 syarikat.
Menurut penganjur, MIMF 2026 bukan sekadar pameran jentera industri tetapi menjadi platform strategik bagi mempercepatkan inovasi pembuatan, automasi, pendigitalan, perdagangan antarabangsa serta kerjasama ekonomi serantau antara Malaysia, China, ASEAN dan komuniti industri global.
Penganjur turut menjangkakan liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa, pencipta kandungan digital serta pasukan penstriman langsung yang dianggarkan mampu mencapai lebih sejuta tontonan dalam talian sekali gus meningkatkan pendedahan jenama syarikat pempamer di pasaran antarabangsa.
#MIMF2026 #DPUM #Matrade #China #Malaysia #ProgramHostedBuye #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan