DBKL KEMBALIKAN GEMILANG PANGGUNG ANNIVERSARI MENERUSI ROCKESTRA 5.0!
KETIKA muzik rock terus mempunyai kelompok peminat tersendiri merentasi generasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil mengangkat semula legasi genre itu menerusi penganjuran Rockestra 5.0 dan Festival Rock, sebuah acara yang bukan sahaja meraikan sejarah muzik tanah air, malah membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali evolusi rock Malaysia.
Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana itu menjadi antara pengisian utama Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, dengan matlamat menghidupkan semula lokasi ikonik berkenaan sebagai pusat seni terbuka yang menghimpunkan pemuzik, penggiat seni, komuniti kreatif dan masyarakat.
Tumpuan utama festival pastinya Rockestra 5.0 yang akan berlangsung pada Sabtu, 18 Julai bermula jam 8.30 malam menerusi sebuah konsert istimewa yang menggabungkan kehebatan muzik rock dengan susunan simfoni dalam satu persembahan berskala besar.
Lebih 60 pemuzik Orkestra Kuala Lumpur akan bergandingan dengan penyanyi rock terkenal iaitu Muzza, Pasha, Pat Candy, Lan Solo, CDNaz, King Shah (Metalasia) dan Ca-ah untuk mempersembahkan lagu-lagu malar segar dalam susunan muzik yang lebih epik dan dramatik, namun tetap mengekalkan identiti asal karya-karya rock tempatan.
Konsert percuma yang dijangka berlangsung hampir tiga jam itu akan dikendalikan oleh Isma Halil Hamzah sebagai pengacara.
Sepanjang Festival Rock pula, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan artis dan kumpulan rock, forum, sesi bual bicara, pameran komuniti, jualan cenderamata serta aktiviti interaktif yang menelusuri sejarah, perkembangan dan legasi muzik rock di Malaysia.
Lebih menarik, orang ramai turut diberi peluang menyaksikan sendiri proses persiapan di sebalik penganjuran konsert menerusi sesi latihan bunyi (soundcheck) Rockestra 5.0, sekali gus memberi pengalaman lebih dekat bersama artis, pemuzik dan komuniti yang telah lama mencorakkan industri muzik tempatan.
Penganjuran ini juga dilihat sebagai platform yang menyatukan peminat daripada pelbagai generasi untuk terus menghargai perjalanan muzik rock negara, di samping memperkukuh jaringan komuniti kreatif menerusi perkongsian ilmu, pengalaman dan apresiasi terhadap karya seni tempatan.
Pemilihan Panggung Anniversari sebagai lokasi festival turut membawa nilai simbolik memandangkan pentas bersejarah itu pernah menjadi saksi kepada pelbagai persembahan artis dan kumpulan legenda yang mewarnai industri muzik Malaysia.
Menerusi Rockestra 5.0 dan Festival Rock, DBKL berharap legasi tersebut dapat diteruskan dalam pendekatan yang lebih segar, inklusif dan relevan dengan cita rasa penonton masa kini.
Penganjuran ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memperkasakan pembangunan seni, budaya dan industri kreatif, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang bukan sahaja pesat membangun, malah kaya dengan warisan budaya dan kehidupan seni yang aktif.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Rockestra 5.0 dan Festival Rock di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana dari 17 hingga 19 Julai.
Kemasukan adalah percuma.
#Rockestra5.0 #FestivalRock #DBKL #PanggungAniversari #IsmaHalil #IsmaHalil






Tiada ulasan:
Catat Ulasan