Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'YAHOO-MAS CILI PADI AWARDS": PERADUAN FILEM PENDEK 3 MINIT

MARK Lourdes (dua dari kiri) bersama Sharifah Amani dan Norman KRU serta Regina Robin dari TGV.


Mungkinkah anda seorang yang gemar menghasilkan filem pendek? Jika itu sudah menjadi hobi atau pun kerjaya 'periuk nasi' anda, barangkali anda boleh menyertai peraduan "Yahoo-Mas Cili Padi Awards' dan membawa pulang RM20,000 sebagai juara atau pun RM12,000 sebagai Naib Juara mahu pun sekadar tempat ketiga bagi merebut RM8,000.

Hanya dengan memuat turun filem pendek dalam durasi tidak lebih daripada 3 minit, anda mampu memenangi hadiah lumayan berkenaan di mana pemenang pertama turut diberi peluang latihan selama enam bulan di KRU Studios manakala pihak TVG Cinema pula akan menayangkan filem pendek yang menang di pawagam seluruh negara selama tiga minggu.

Mengumumkan demikian,  Pengarang Yahoo Malaysia, Mark Lourdes berkata, peraduan dibuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 28 Oktober hingga 11 November dengan memuat turun filem pendek berkenaan melalui talian laman www.cilipadiawards.com.

"Kami ingin memberi peluang kepada bakat-bakat terpendam di luar sana untuk menghasilkan kreativiti mereka dalam menerbitkan filem pendek selama tiga minit dengan mesej tersendiri," ujar Mark pada majlis sidang media yang turut dihadiri Norman Abdul Halim dan  Sharifah Amani di Luxe Hall , TGV One Utama pagi tadi.

Tambah Mark, daripada penyertaan yang diterima 30 akan disenarai pendek untuk dinilai pada 18 November oleh beliau bersama barisan  juri profesional seperti Sharifah Amani, Lisa Surihani dan Khairul Syahar Khalid sevagai Ketua Unit Pengiklanan dan Promosi Malaysia Airlines mewakili syarikat penerbangan itu.

"Peraduan ini juga terbuka kepada penggiat filem profesional asalkan filem yang dihasilkan pendek dan menepati durasi yang ditetapkan." ujar Mark berhubung kelayakan penyertaaan.
AMANI dan NORMAN

Tiga pemenang yang berjaya akan diumumkan pada majlis penganugerahan yang akan berlangsung pada 23 November depan di TGV One Utama, Luxe Hall.

Keterangan lanjut layari laman web berkenaan www.cilipadiawards.com. 

Yahoo-MAS Cili Padi Awards merupakan yang pertama kali dianjurkan bersama Malaysia Airlines dengan kerjasama TGV dan KRU Studios. 

Memberikan pandangan mereka mengenai filem yang perlu dihasilkan, kata Sharifah Amani, "saya mahu melihat sebuah filem pendek yang mampu mencuit hati dan perasaan  serta penuh kreativiti."

Kata Norman pula, "carilah sebuah cerita yang unik dan lain daripada kebiasaannya kerana kita tidak mahu melihat cerita dan persekitaran yang sudah selalu kita tonton selama ini. Di sinilah terletaknya kemampuan serta kreativiti anda apatah lagi harus meluahkan mesejnya dalam masa tiga minit sahaja."

Pun begitu, barangkali lebih menarik sekiranya pihak penganjur mengadakan tiga kategori pemenang memandangkan pembuat fillem amatur atau pelajar harus bertanding dengan pembuat filem profesional yang turut dibenarkan bertanding.

Sudah tentu daripada segi kos penerbitan, pembuat filem profesional mempunyai kelebihan untuk menghasilkan filem pendek yang lebih efektif berbanding seorang amatur atau pelajar yang kekangan kewangan untuk melakukan eksperimen yang melibatkan kos tinggi apatah lagi jika melibatkan CGI dan efek2 khas jika memerlukan kerana ia sudah tentu memberikan kelebihan kepada visual dan jalan cerita.

Walau pun penilaian bergantung kepada kreativiti, intipati dan produksi filem berkenaan di mana semua mempunyai peluang menang namun sedikit sebanyak akan melahirkan rasa kecewa kepada peserta apatah lagi yang menang adalah seorang pembuat filem profesional.  

Lainlah sekiranya seorang amatur atau pun pelajar yang memenanginya...sudah tentu pembuat filem profesional pula akan terasa hati apakah filemnya memang benar-benar tidak bagus walau pun hasil kerjanya selama ini telah memenangi beberapa anugerah sebelum ini. Maklumlah rambut sama hitam tetapi hati manusia siapa yang tahu.

Mungkin pihak penganjur boleh memikirkannya pada musim kedua kelak. Apa pun initiatif Yahoo Malaysia merupakan langkah terbaik dalam perkembangan industri filem pendek yang dewasa ini semakin mendapat tempat di hati khalayak.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan