Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

TOURISM MALAYSIA-UiTM JALIN KERJASAMA PINTAR


Seramai 15 pegawai Tourism Malaysia yang layak serta memenuhi kriteria ditetapkan bakal mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Pelancongan secara separuh masa di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Universiti Teknologi Mara  selama dua tahun.


Pengajian  dibawah program pendidikan lanjutan dikenali sebagai 'Program Perdana Secara Projek Pendek' (PPSPP) ini dijangka akan dilaksanakan bermula Oktober 2020 depan.


Mengumumkan demikian, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof memberitahu, satu memorandum kerjasama telah dicapai antara UiTM dan Tourism Malaysia bagi tujuan tersebut.


“Memorandum kerjasama ini bukan sahaja memfokus kepada jalinan akademik semata-mata tetapi merangkumi hubungan kerjasama pintar, promosi, budaya serta perkongsian ilmu antara Tourism Malaysia dan UiTM, “ jelas Musa kepada media selesai majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan UiTM yang berlangsung pada petang  semalam, 17 Ogos 2020 di Hotel UiTM, Shah Alam.


    FOTO  Kredit Alias utvmediamalaysia.

UiTM merupakan IPT pertama yang memeterai memorandum kerjasama bersama Tourism Malaysia.


Turut hadir Naib Cancelor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim; Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Prof. Dr. Mohd Salehuddin Mohd Zahari serta Pengarah Sumber Manusia Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris. 

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM10,000 sumbangan dari FPHP bagi wakaf pembinaan Kompleks Arshad Ayub  oleh Prof Dr. Mohd Salehuddin kepada Naib Cancelor UiTM.Menurut Musa, kerjasama yang dipersetujui termasuk dalam bidang penyelidikan melibatkan pegawai dan kakitangan kedua-dua organisasi bagi manfaat bersama.

“Misalnya, kerjasama dalam proses pengumpulan data untuk kajian-kajian pelancongan dapat dijalankan bersama dengan Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia,” tambah Musa.


Beliau berpendapat amat penting bagi  organisasi pelancongan nasional seperti Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama bersama pihak industri termasuk IPT, dalam mencari formula baharu bagi menjamin kelestarian sektor pelancongan yang kini berdepan cabaran pendigitalan pemasaran mengikut segmen pelancong yang disasarkan.


“Saya difahamkan selain daripada mereka yang mengikuti PPSPP, pegawai-pegawai Tourism Malaysia juga diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus pendek seperti metodologi penyelidikan atau subjek-subjek lain yang bersesuaian,” ujar Musa sambil berpendapat langkah sedemikian bertepatan dengan usaha untuk meningkatkan kemahiran baharu serta menambah kemahiran sedia ada para pegawainya bagi menghadapi norma baharu pasca PKP.


Selain itu, Musa Yusof berharap pihak UiTM dapat menyediakan modul latihan secara atas talian bagi kursus-kursus asas permasaran dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Dr. Mohd Azraai yang mengalu-alukan kerjasama antara Tourism Malaysia dan FPHP berharap jalinan antara kedua-duanya dapat membuahkan hasil yang lebih tinggi bagi kepentingan masyarakat dan negara.


“Harapan saya agar kerjasama ini akan membawa kepada banyak inisiatif penyelidiikan bersama yang menghasilkan sinergi serta nilai akademik yang terbaik,” ujarnya.


Untuk rekod, UiTM kini tersenarai pada tangga ke-31 universiti terbaik dunia dalam laporan edisi terbaharu ‘QA World University Rankings by Subject 2020: Hospitality & Leisure Management'.


Dan lebih membanggakan pencapaian itu meletakkan UiTM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tersenarai dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia bagi subjek 'Hospitaliy & Leisure Management' di bawah penilaian bidang pengajian Pengurusan & Sains Sosial.


Foto: Azlinaz destina.my.  Video: Alias UtvMalaysia.


#UiTM #TourismMalaysia #IPTA #MeteraiMoC #FPHP #Pelancongan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan