Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

12 FINALIS BAKAL BERENTAP GELARAN 'HERO REMAJA 2021'



PENCARIAN Hero Remaja kembali bagi musim ke-11 dengan 12 finalis bakal merebut gelaran juara agar dapat duduk sebaris dengan bintang-bintang ternama terdahulu sejak program ini menobatkan pelakon Esma Daniel  sebagai Hero Remaja 1990/1991.


Musim kedua seterusnya diikuti Rozaidi Jami atau Zed Zaidi  (2001/2002) yang kini menaungi Persatuan Seniman Malaysia; pelakon Kamal Adli (2007/2008) dan  Fattah Amin (2011/2012) yang pernah mengungguli gelaran bintang paling popular di Malaysia tidak lama dahulu. 



Tidak ketinggalan, naib juara bagi edisi terdahulu serta barisan finalis lain juga telah berjaya mengukuhkan nama dalam industri seni dan bidang karier lain, antaranya seperti Syafiq Kyle, Ar. Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Wan Shahlim, Zawen Anuar, Fizo Omar,  Saharul Ridzwan, Ben Amir, Ben Ali sehinggalah ke hero generasi baharu.


Terbaharu, legasi yang dipegang oleh pencarian ini diteruskan menerusi Hero Remaja 2021


Bukan hanya pakej paras rupa dan fizikal positif yang dicari, ia juga kekal menjadi platform nombor satu bagi mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti berkaliber ke peringkat seterusnya. 


Dan 12 finalis Pencarian Hero Remaja 2021 yang berjaya kali ini terdiri daripada AFIQ HAMIDON (20, Selangor), ALIF HAIQAL (21, Kuala Lumpur), AMIR AHNAF (21, Terengganu), ARYAN NAIM (24, Negeri Sembilan), AQIL TAQEE (22, Kuala Lumpur), FARHAN NORDIN (23, Johor), FAZZIQ MUQRIS (21, Selangor), IDEEN AZMAN (21, Melaka), MIERUL AIMAN (23, Putrajaya), SYAZANI ZAINAL (19, Selangor), ZAID ERAKAD (23, Selangor) dan ZAIM YAZID (22, Selangor).


Terdahulu, sesi uji bakat mula dianjurkan pada Disember 2020 dilakukan secara atas talian buat kali pertama dalam sejarah ekoran memenuhi tuntutan norma baharu pihak Kerajaan pada musim pandemik COVID-19 ini.


Sesi tersebut kemudiannya disambung semula menerusi uji bakat secara fizikal dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada April 2021. 


Di sinilah detik para juri jemputan seperti Dato’ Aaron Aziz, Datin Fouziah Ghous, Norman Hakim, Que Haidar dan Anzalna Nasir mampu melihat dengan lebih dekat kemampuan para peserta daripada aspek berbeza.



Ekoran itu program pengenalan Prelude Hero Remaja 2021 menerusi paparan lapan episod dipaparkan di saluran Astro Ria, setiap hari Sabtu, jam 9.00  malam mulai 13 Julai lalu di mana penonton berpeluang mengikuti persediaan 12 orang jejaka muda yang telahpun terpilih untuk memenuhi slot finalis.


“Selepas hampir dua tahun mendepani krisis Covid-19, umum pastinya jelas mengenai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh sektor termasuklah industri penyiaran akibat penularan wabak tersebut.  


“Melihat daripada sudut yang positif, kedatangan pandemik mendorong kami melipatgandakan usaha keras secara lebih kreatif, inovatif dan proaktif agar misi penting yang lebih mustahak iaitu membawakan kandungan hiburan berkualiti kepada audiens secara berterusan dapat dijayakan,” ujar Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro.


Menurutnya,  menganjurkan pertandingan pencarian bakat berkonsepkan realiti seperti ‘Hero Remaja 2021’ pada era yang serba mencabar ini menuntut dedikasi dan komitmen tinggi daripada semua pihak, baik yang terlibat secara langsung mahupun tidak.


“Syabas saya ucapkan kepada seluruh tenaga kerja terutamanya pasukan produksi kerana berjaya merealisasikan penganjuran edisi kesebelas dengan begitu baik sekali. Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua finalis yang bertanding. Semoga pencarian edisi kali ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun sebelum ini,” tambah Raqim.


Untuk edisi kesebelas Hero Remaja ini, kesemua 12 orang finalis akan melalui cabaran yang telah ditetapkan saban minggu sebelum seorang daripada mereka  diangkat sebagai juara.


Sesi pengetahuan am masih lagi menjadi salah satu faktor utama dalam pemilihan finalis selain diuji dengan kebolehan untuk mengacara dan berlakon bagi melihat versatiliti masing-masing sebagai seorang peserta Hero Remaja.


“Menerusi setiap episod, para finalis akan menempuhi cabaran yang menguji mental, fizikal dan juga kebijaksanaan mereka sebagai persediaan untuk bergelar seorang anak seni yang memiliki pakej lengkap untuk dipertaruhkan,” jelas Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Majalah Remaja.


Program pencarian ‘Hero Remaja 2021’ akan menemui penonton selama lapan episod pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam mulai 11 September 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.



Menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos yang akan menceriakan hujung minggu anda, ia turut disertai  juara Dewi Remaja 2005/2006 iaitu Scha Alyahya yang kembali ke kerusi Juri Tetap. 



Sebelum ini, beliau pernah menggalas tanggungjawab itu semasa program pencarian Hero Remaja 2020.

Kali ini, Scha akan bergandingan dengan pelakon, pengacara, penerbit, pengarah dan usahawan terkenal, Dato Rosyam Nor


Pengalaman bersama-sama 12 finalis ‘Hero Remaja 2021’ ini turut boleh disaksikan menerusi laman digital dan media sosial Majalah Remaja. 


Mulai 22 September 2021, 8 buah ‘webepisode’ baharu akan disiarkan menerusi saluran YouTube Majalah Remaja sebagai hiburan tambahan para peminat yang ingin menyaksikan keletah dan gelagat setiap finalis secara up-close & personal. 


Untuk pengetahuan, bukan hanya gelaran juara Hero Remaja 2021 yang akan menjadi rebutan malah, dua lagi kategori berasingan iaitu Hero Inspirasi dan Hero Favourite juga boleh dibawa pulang oleh mana-mana finalis semasa acara final. 


Untuk mengundi Hero Favourite bagi edisi ini, anda boleh melayari laman web www.remaja.my/hero pada setiap hari dan menekan butang ‘vote’ pada profil hero kegemaran anda. 


Undian akan terus dibuka sehingga acara finale.




#HeroRemaja2021 #RosyamNor #SchaAlYahya #ShazaBae #AstroRia #AstroGo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan