Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MELAKA BAKAL MENJADI BANDAR FESYEN & BUDAYA DENGAN BINANYA 'THE SAIL'


LIMA
belas pereka fesyen baharu dan lama berkumpul di bawah satu Galeri The Straits Designers’ mempersembahkan pertunjukan fesyen Eid Mubarak 2023 anjuran Sheng Tai International (STI) cukup memukaukan hadiran yang memenuhi Dewan Hotel Ames di Bandar Melaka Bersejarah baru-baru ini.


Ini juga kali pertama Kak Fas berpeluang hadir ke pertunjukan fesyen amal  di Melaka yang merupakan penganjuran kali kedua di mana pada kali pertama dianjurkan tahun lalu ia khabarnya mendapat sambutan hangat. 


Jemputan yang dilayangkan oleh teman media, Dragon dari Rentak Sejuta ternyata tidak sia-sia diterima walau pun pada bulan puasa perlu menaiki van ke Melaka selama dua jam perjalanan.


Sebaik tiba, Kak Fas bersama lapan rakan media yang lain dibawa ke sebuah tapak hartanah yang dinamakan The Sail, menampilkan sembilan menara di mana salah sebuah daripadanya akan berkonsepkan Hotel Fesyen persis Hotel Armani yang terletak di dalam bangunan ikonik Burj Khalifa di Dubai yang diilhamkan daripada pereka fesyen terkenal, Giorgio Armani.



The Sail  juga bakal menjadi hab pertukaran kepakaran, pengetahuan dan teknologi dari seluruh dunia bahkan pembangunan ikonik yang menelan belanja lebih RM200 juta ini akan menjadi pemain utama dalam usaha berterusan STI untuk membentuk Melaka sebagai hab kreatif dan budaya masa depan.


“Impian saya mahu menjadikan Melaka sebagai bandar fesyen dan budaya,” ujar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Straits Designers' Gallery, Dato' Leong Sir Ley yang juga Pengasas/Principal STI ketika ditemui pada majlis Malam Gala Fesyen Eid Mubarak 2023.


Turut hadir Tengku Dato Dr Hishammuddin Zaizi dan isteri, Che Puan Datin Hezeita Dr Mohd Hafidz (kanan sekali) Raja Shuibah Almahrum Tuanku Sultan Idris Shah (tiga dari kanan) dan  Datuk Haji Akbar Bin Haji Samon serta tetamu kehormat yang lain.



Jawapan yang diberikan oleh Leong Sir Ley sekali gus menjawab pertanyaan yang berlegar di fikiran Kak Fas dalam perjalanan apabila memikirkan apa kaitan pertunjukan fesyen dengan projek The Sail yang diperkenalkan.


Dan apabila dibawa melawat ke Galeri The Straits Designers’ (SGD) yang terletak di Metrasquare, bersebelahan dengan Hotel AMES di Ayer Keroh, Melaka baharulah Kak Fas maklum rupanya Melaka sudah mempunyai sebuah hab fesyen eksklusif menghimpunkan hasil rekaan pereka fesyen terkenal dari dalam dan luar negara.


Jika Kak Fas yang kini jarang ke Melaka kecuali beberapa kali pada era ketika bertugas di Majalah Wanita, Utusan Melayu semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka dahulu, Tun Mohd Ali Rustam (kini Yang DiPertua Negeri), tidaklah diketahui adanya galeri eksklusif seperti The Straits Designers yang mewah dengan fesyen rekaan eksklusif di situ sekarang ini.


KAK Fas bersama rakan media, Anas (kiri) dan Zue (kanan) bergambar dengan Liam Yiu.


Menurut Ketua Pegawai Operasi merangkap  Pengarah Fesyen SGD, Liam Yiu yang baru dilantik sejak Mac 2023, galeri fesyen berkenaan mula beroperasi pada tahun 2019.


“Ia dibina bertujuan mengumpulkan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa di Melaka untuk mempromosikan jenama dan perniagaan mereka. Jenama fesyen tempatan juga ditawarkan peluang untuk duduk setanding dengan jenama mewah antarabangsa yang dibawa masuk oleh SDG,” ujar Liam yang mempunyai pengalaman luas dalam industri fesyen waima  latar belakangnya sebagai pelakon profesional dan pengacara TVB Hong Kong.



Tidak hairanlah  sempena Aidilfitri tahun ini SGD sekali lagi mempersembahkan koleksi fesyen Raya daripada 15 pereka fesyen terdiri daripada nama-nama seperti Jonathan Kok, Farel Mikhail, Kenny Loh, Faridz Salleh, Qif Alvarez, Wakalam, Arm Nabil, Harry Putra, Aqfiq Syazani, Zhu Said, Yani Bakthiar, Melvin Shah, Angelique, Carro dan Divoc.


YANI Bachtiar (tengah) bersama model-model yang memperagakan koleksinya.


Pertunjukan fesyen yang gemilang itu menghimpunkan rekaan gaya tradisional dan moden sesuai dengan mood Raya sekali gus menghidupkan semangat Hari Raya selepas ‘lockdown’ dua tahun ketika negara diserang wabak COVID-19.



Menampilkan gabungan tekstur, corak dan potongan yang menarik termasuk baju Melayu tradisional, dengan sutera, sutera dan labuci, memperlihatkan pelangi warna-warna yang hebat, terang dan digayakan dengan  aksesori pelengkap sepadan. 


Pendek kata, mengambil inspirasi daripada budaya Malaysia, rata-rata koleksi dipersembahkan oleh 25  orang ‘model’ wanita dan lelaki menghidupkan intipati sambutan Hari Raya yang meriah tahun ini.



"Kebanyakan desain yang akan saya tampilkan buat jualan di SGD adalah eksklusif dan tidak akan diperoleh di Kuala Lumpur dan saya sokong sepenuhnya idea daripada Dato Leong untuk menjadikan Melaka bandar fesyen supaya pelancong tidak hanya tertumpu membeli-belah di Kuala Lumpur sahaja bahkan Melaka sebagai bandar bersejarah mampu menyediakan fesyen 'high end' yang berkualiti tinggi dan setanding rekaan fesyen antarabangsa contohnya," komen Farel Mikhail ketika ditemui sambil memberitahu generasi sekarang suka melihat fesyen fesyen yang pelik seperti gaya penyanyi Aina Abdul.


Sebab itu kata Farel, dalam pertunjukan fesyen, setiap pereka fesyen akan melahirkan rekaan yang bukan untuk digayakan pada hari biasa tetapi lebih kepada memperlihatkan kreativiti rekaan masing-masing.



Lebih istimewa apabila malam gala fesyen disertai jemputan yang beramal kebajikan memenuhi meja yang dijual pada harga RM2,500 dan RM 1,800 setiap meja dengan keuntungan disumbangkan kepada Persatuan Amal Happy Angel.


Majlis bertambah meriah apabila dihiburkan oleh penyanyi popular didahului dengan Aiman Tino, Ezlynn dan Hael Husaini serta lain-lain, termasuk tarian kebudayaan dan persembahan kompang dan pemuzik biola.


'Saya mahu memastikan bahawa kami menawarkan jenama dan pereka tempatan ruang untuk berkembang dan sokongan yang mereka perlukan untuk mencapai status antarabangsa. Mana tahu, suatu hari nanti kita mempunyai hotel fesyen dan barangan rumah kita sendiri berjenama Malaysia,’ ulas Leong berhubung pertunjukan fesyen yang dianjurkan.


Sehubungan itu, beliau berharap mendapat sokongan Kerajaan Negeri dalam usahanya membawa dunia ke Malaysia melalui fesyen.


Menurutnya melalui industri fesyen beliau mahu memupuk semangat kerjasama di antara pereka-pereka fesyen baharu dan lama bahkan mahu melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang ‘modelling’.


'Jika anda berminat untuk melakukan sesuatu, kami akan melakukan apa yang kami mampu untuk membantu menyediakan peluang pekerjaan dan membuka pintu untuk anda,' kata Leong sambil menjelaskan bahawa model yang berjaya akan ditawarkan peluang dengan Angel Agency STI untuk bekerja manakala jenama mewah tempatan akan menerima pendedahan yang mereka perlukan untuk meningkatkan kemahiran dan memajukan diri mereka.


Memanfaatkan konsep fesyen untuk bersinergi dengan pembangunan ikonik The Sail, Leong berharap usaha berterusan STI dapat membentuk Melaka menjadi hab fesyen dan budaya melalui hartanahnya selain terkenal sebagai bandar pelancongan bersejarah yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia daripada UNESCO.   


Pembinaan sepenuhnya The Sail bakal disempurnakan dalam tempoh 8 tahun lagi namun  bagi  mereka yang berminat memiliki rumah mahu pun pejabat di projek paling moden itu boleh membuat tempahan yang sudah pun dibuka secara berperingkat-peringkat.



Malah bagi pereka fesyen pula boleh menghubungi STI jika berminat mengetengahkan koleksi masing-masig di Galeri The Straits Designers.


“Setekat ini kami membuka peluang pada mana-mana pereka fesyen yang mahu bekerjasama tanpa bayaran tetapi perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan. Mereka boleh menghubungi kami,” akhiri  wanita besi bernama Leong Sir Ley ini yang nampak  berani dan berwawasan tinggi apatah lagi profesiolnya sebagai seorang peguam dan kini menerajui perniagaan hartanah tentulah tidak mudah mengalah sehingga impiannya menjadi kenyataan.


Kak Fas kagum dengan semangat juangnya yang tinggi walau pun pada zahirnya beliau seorang wanita yang ‘rendah’ berbadan sedikit gempal namun bergaya walau pun sudah memegang status isteri waima mampu digelar 'wanita besi' sekali pun.



#StraitsDesignersGallery #ShengTaiInternational #TheSail #FarelMikhail #fyp




Tiada ulasan: