Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

APABILA PENGARAH2 DIARAH MAMAT KHALID BERLAKON. APA JADI?



SIAPA
tidak mengenali Mamat Khalid, 57, pengarah prolifik yang sentiasa kreatif dengan idea idea di luar kotak fikiran?

Jika tidak, masa kan anak kelahiran Ipoh, Perak bernama penuh Mohamad bin Mohd Khalid ini mampu mencipta fenomena dengan meraih RM56.9 juta hanya melalui lima buah filem di bawah francais Kampong Pisang di mana masing-masing telah merekodkan kejayaan membanggakan.


Lihat sahaja pungutan lima filem berkenaan meliputi ‘Hantu KakLimah’ (RM38.6 juta, tahun 2018), ‘Zombie Kilang Biskut’ (RM1.5 juta, 2014), ‘Husin, Mon & Jin Pakai Toncit’ (RM6.4 juta, 2013), ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ (RM8 juta, 2010) dan ‘Zombi Kampung Pisang’ (RM2.4 juta, 2007). 


Hebat ke idak teman tanya kome?


Tentulah hebat kan, tahniah pada sedara Kak Fas di Ipoh, Perak ni, Mamat Khalid memang daboom…!


Lanjutan daripada itulah, kenapa  Astro buat julung kalinya membawakan drama premium daripada francais filem komedi nombor satu Malaysia, Kampung Pisang itu dalam bentuk rantaian siri namun memiliki kualiti setanding karya filem berjudul ‘Kampong Pisang Bersiri-siri’.

“Secara tidak langsung, penonton dapat berhibur lebih lama sepanjang 12 minggu berturut-turut, menikmati lebih drama, lebih seram, lebih kelakar dan kemunculan lebih ramai pelakon- pelakon hebat dan popular. Jika sebelum ini peminat Universe Kampong Pisang harus menunggu setiap dua tahun sekali, tetapi kini mereka dapat menonton filem setiap minggu dan kami percaya ia dapat memberi kepuasan tontonan buat pelanggan Astro,” ujar  Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.


Beliau berkata demikian pada sidang media “Kampong Pisang Bersiri-siri’  yang berlangsung secara virtual petang semalam bersama pengarahnya, Mamat Khalid termasuk  lima barisan pelakon Aziz M. Osman, Ahmad Ibrahim, Kaiza Sairi, Bell Ngasri dan Dewa Sapri.


Tambah menarik, penonton boleh turut menyaksikan penampilan khas barisan selebriti popular tanah air secara bergilir-gilir pada setiap minggu sepanjang 12 episod siri ini bersiaran. 


Di antara mereka yang terlibat adalah Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Delimawati, Ozlynn, Soffi Jikan, Nasir Jani, Shuk Sahar dan ramai lagi.



Meskipun francais ini sudah bertapak lebih sedekad dalam industri, lantunan dialog, keunikan setiap karakter dan babak-babak menarik yang ditampilkan dilihat sentiasa malar segar dalam ingatan dan kekal relevan sehingga ke hari ini, bahkan masih boleh diterima serta dekat di hati anak muda sekarang. 


“Kampong Pisang Bersiri-Siri” bakal menemui penonton mulai 7 Disember ini, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD). 


Masih berlatarbelakangkan Kampung Pisang, drama siri berdurasi satu jam ini menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu. 


Antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada '16 dan 17 Puasa'. 


Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun. 


Dan paling menarik apabila adanya Presiden Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr. Ahmad Ibrahim atau lebih popular dikenali sebagai ‘Mat London’ turut berlakon.





Wow! Nampak gayanya ramai pengarah-pengarah dalam filem arahan Mamat Khalid ini selain Mat London kan? Ada  Aziz M. Osman, Elie Suriaty, Pekin Ibrahim, Dato Awie antaranya.


Kak Fas mengenali Mat London sebagai seorang pengarah dan bukan pelakon jadi persoalannya kenapa dalam ‘Kampong Pisang Bersiri-siri’ ini, beliau sanggup memegang watak Pak Karim yang penampilannya bermisai lintang dan agak lucu walaupun wajahnya nampak garang atau cengih kata orang Perak.



“Kalau orang lain memang saya tolak. Ini pertama kali saya berlakon sebab selalunya saya mengarahkan orang tetapi sekarang pengarah-pengarah di bawah persatuan saya pula dapat melihat saya diarah,” kata Mat London dalam bergurau.


“Mamat Khalid adalah rakan keluarga saya jadi apabila beliau menawarkan saya untuk berlakon dalam drama bersiri ini agar sukar untuk saya menolaknya. Hanya inilah sumbangan yang mampu saya berikan,” tambah beliau.


Melihat pada treler dan penampilan Mat London dalam drama tersebut Kak Fas yakin ramai akan terhibur walau pun ‘benci’ dengan watak karakternya yang tampil berlagak sombong.


Namun bagi Mamat Khalid pula, beliau menyifatkan mengarah pengarah-pengarah berpengalaman satu tugas yang mudah.


“Kesemua mereka dah tahu peranan masing-masing malah membuatkan kerja abang lebih senang, Abang petik je mereka dah mampu berkarya secara spontan malah abang ‘curi’ lah idea mereka itu walau pun tiada dalam skrip,” akui Mamat Khalid  yang sering membahasakan dirinya ‘abang’.


“Kampong Pisang Bersiri-Siri juga dianggap sebagai satu cabaran baru buat saya kerana ini merupakan pertama kali saya mengarahkan drama bersiri, namun begitu perlu mengekalkan kualiti dan ‘end result’ setanding filem. 


“Untuk itu, teknik teknologi pengimejan telah dilakukan oleh tenaga pakar di Australia dan proses adunan audio dan bunyi pula dilakukan di Thailand. Saya harap penonton akan berpuas hati dan sedikit sebanyak mampu membawa mereka keluar dari tekanan, “ sambung Mamat Khalid.



Jadi korang yang kat rumah tu jika peminat tegar siri ‘Kampong Pisang’ sejak ia diperkenalkan pada tahun 2007 tu, jom kita layan bagaimana kisahnya di era milenia ini apatah lagi di kala dunia dilanda pandemik COVID-19.


Episod pertama ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00 malam, 7 Disember ini. 

Manakala, untuk minggu-mingu seterusnya, saksikan siri drama premium komedi seram ini pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, eksklusif di Astro Citra

Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw. 

Artikel berkaitan sila klik SINI.


#KampongPisangBersiri-siri #AstroCitra #AstroRia #AstroGo #MamatKhalid


Tiada ulasan: