Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ntv7 AKAN MELALUI PERUBAHAN SECARA BERPERINGKAT


SEJAK bulan Mac lalu, tahun 2020 yang dilanda pandemik COVID-19 ternyata membawa seluruh dunia ke arah satu fasa baharu dalam kehidupan harian. Perubahan itu bukan sahaja dilalui manusia bahkan turut mempengaruhi rangkaian televisyen tempatan antaranya saluran ntv7 milik Media Prima. 

Jika dahulu, stesen ntv7 dikenali sebagai saluran gaya hidup dengan memperkenalkan CJ Wow Shop (kini WOWShop) versi Bahasa Cina serta drama-drama ulangan menarik dalam Bahasa Cina, kini penonton yang meminati rancangan-rancangan berbahasa Cina boleh menontonnya di stesen 8TV yang menampilkan 100% berbahasa Cina.


Sebagai salah satu daripada empat stesen televisyen tidak berbayar di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) itu, ntv7 kini akan melalui perubahan secara berperingkat bermula 1 November 2020 lalu.


“Perubahan ini adalah hasil daripada maklum balas daripada penonton dan untuk memenuhi cita rasa pelbagai lapisan penonton pada masa ini,” ujar Ketua Pegawai Eeksekutif, MPTN, Dato Khairul Anwar Salleh.


Menurutnya, perubahan tersebut dilihat bersesuaian dengan keadaan masa kini yang mana rata-rata penonton berusia antara 15 hingga 28 tahun lebih cenderung untuk mengetahui pelbagai informasi terkini dan isu semasa. 


“Penonton sekarang mempunyai pilihan platform dalam talian (online) mengikut cita rasa mereka, namun televisyen masih relevan dan menjadi pilihan ramai, terutamanya bagi mereka yang gemar menonton bersama dengan seisi keluarga dan juga sahabat handai,” tambah Khairul. 


Jelasnya, situasi seperti itu menguatkan lagi usaha MPTN untuk menjadikan ntv7 sebagai saluran yang lebih fokus dan cenderung kepada rancangan-rancangan berbentuk majalah, dokumentari dan faktual. 


Pun begitu,  ntv7 masih mengekalkan slot sedia ada seperti slot Daebak (program realiti Korea), Edisi 7 (Berita Bahasa Malaysia), 7 Edition (Berita Bahasa Inggeris) dan WOWShop, tambah Khairul.


Bercakap lanjut jelasnya, setiap stesen di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima mempunyai sasaran penontonnya masing-masing. 


“TV3 menyasarkan penonton masyarakat umum secara keseluruhannya, 8TV lebih memfokus kepada penonton berbahasa Cina dan TV9 pula mensasarkan penonton yang cenderung kepada program-program hiburan serta aktiviti membeli-belah secara dalam talian,” ulas Khairul. 



Bermula 1 November ini, perubahan ntv7  dapat dilihat menerusi susunan rancangan-rancangan yang disediakan bermula dengan ‘Majalah 3’ diikuti dengan ‘Soal Rakyat’, ‘Helo Doktor’, ‘Wanita Hari Ini’, ‘999’, slot ‘Daebak: Runningman’, ‘WOWShop dan banyak lagi. 


“Nantikan pembaharuan ntv7 secara berperingkat dan pastinya anda semua akan teruja menonton rancangan-rancangan menarik berkaitan isu semasa menerusi ntv7 ini,” yakin Dato Khairul. 


Pendekata, bermula 1 November 2020, saluran ntv7 menawarkan pelbagai rancangan menarikberbentuk majalah dan faktual bersesuaian dengan kecenderungan penonton remaja dan dewasa, berumur di antara 15-28 tahun yang gemar mengikuti pelbagai informasi terkini dan isu semasa. 


Untuk mengikuti perkembangan terkini ntv7, layari media sosial rasmi Facebook & Instagram di ntv7Malaysia atau platform myfreeview CH107, Astro CH147, unifi CH107, tonton Live TV dan XTRA Live TV.



Tiada ulasan: