JANGAN JADI MANGSA! KPDN WPKL MINTA PENGGUNA LAPOR PENIAGA TIDAK BERETIKA!
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyeru orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat aduan yang lengkap dan tepat bagi memastikan keberkesanan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina (TBC) 2026.
Langkah proaktif ini amat penting bagi membantu pihak berkuasa memantau kestabilan bekalan serta mengekang sebarang cubaan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab sepanjang tempoh sambutan perayaan tersebut.
Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman, menegaskan bahawa pelaksanaan skim yang bermula dari 13 Februari hingga 21 Februari 2026 ini merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menjaga kos sara hidup rakyat.
Tempoh kawalan selama sembilan hari tersebut, yang merangkumi fasa sebelum, semasa, dan selepas perayaan, bertujuan menjamin pengguna dapat membeli barangan keperluan pada harga yang adil dan munasabah tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 15 jenis barangan telah ditetapkan sebagai barangan harga terkawal bagi kawasan Semenanjung Malaysia termasuk Kuala Lumpur,” ujar Mohd Sabri (gambar bawah, tengah) pada sidang media pelaksanaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 oleh KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Jaya Grocer, KLGCC Mall pada 16 Februari 2026 lalu.
Turut hadir Ketua Seksyen Kawalan Pelesenan Zon Utara & Pasar Raja Bot, Ahmad Faidsal Omar, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad, Pengurus Kanan, Jaya Grocer, Gary Lim Choon Jiang dan Timbalan Pengarah FAMA, Rafidah Tohak.
Menurut Mohd Sabri, antara barangan utama yang tersenarai di bawah kawalan ketat ini termasuklah hasil laut seperti ikan bawal putih dan udang putih, serta keperluan asas lain seperti kepak ayam, bawang merah besar, bawang putih, dan pelbagai sayur-sayuran seperti cili merah, kubis bulat import, serta lobak merah.
Kawalan harga ini turut melibatkan daging ternakan bukan halal di peringkat ladang dan runcit.
Penetapan harga maksimum ini telah dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap faktor pasaran semasa, kos operasi, cuaca, serta input daripada rakan strategik utama termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Sepanjang tempoh pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa di pasar awam dan pusat membeli-belah di sekitar ibu kota, sebanyak tujuh kes telah berjaya dihasilkan atas pelbagai ketidakpatuhan perundangan.
Kesalahan yang dikesan merangkumi kegagalan mematuhi harga maksimum, ketiadaan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan terkawal, serta penggunaan alat timbangan yang telah tamat tempoh tentusah.
Kesemua kes ini telah diambil tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa tanpa sebarang kompromi.
Pihak kementerian memberi amaran keras bahawa tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang ingkar.
Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
KPDN WPKL terus komited menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi strategik demi melindungi kepentingan pengguna daripada amalan perniagaan yang tidak beretika.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000 atau portal e-aduan KPDN untuk tindakan susulan yang pantas.
#SHMMP #JayaGrocer #AKHAP2011 #KPDNWPKL #KPKM #TahunBaharuCina #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan