PKR CABANG BUKIT BINTANG LANCAR SISTEM E-ADUAN AWAM, TANGANI ISU KOMUNITI!
Pelaksanaan Mini Pelancaran Sistem E-Aduan Awam Keadilan Bukit Bintang itu yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Cabang, Anwar Pawan Chik berlangsung di pejabat PKR Cabang Bukit Bintang di Jalan Maharajelala. Kuala Lumpur pada 7 Februari 2026.
Turut hadir Ketua Penerangan Keadilan Cabang Bukit Bintang (KCBB), Tengku Imran Tengku Zainal Abidin; Setiausaha KCBB, Fazli Che Adzimi; Ketua Angkatan Muda KCBB, Mohamad Firzan Hakimi, Naib Ketua KCBB, Razali Latif dan Norazizah Ruslan selaku Ahlii Jawatankuasa.
Malah, pelancaran sistem tersebut turut disertai sesi suai kenal bersama pengamal media sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara parti dan media selaku rakan penyampai maklumat kepada masyarakat.
Sistem E-Aduan Awam dibangunkan oleh Biro Pengaduan Awam Cabang Bukit Bintang sebagai satu platform digital bertujuan memudahkan orang ramai menyalurkan laporan, aduan serta isu setempat secara lebih tersusun dan pantas, selain memastikan setiap aduan mendapat perhatian melalui libat urus bersama agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan berkaitan.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha memperkemas proses pemantauan, tindakan susulan dan penyelarasan antara parti, pihak berkuasa dan rakyat khususnya warga Bukit Bintang, selaras dengan semangat reformasi dan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus baik.
“Pelaksanaan sistem berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah membantu memastikan setiap aduan ditangani secara bertanggungjawab dan berintegriti,” ujar Tengku Imran Tengku Zainal Abidin ketika ditemui.
Menurutnya, melalui sistem ini, orang ramai boleh mengemukakan aduan secara terus agar isu yang dibangkitkan dapat diangkat dan disalurkan melalui saluran sedia ada dengan lebih cepat dan teratur.
Sehubungan itu juga, bagi memastikan aduan yang diterima dapat ditangani KCBB akan menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain agensi penguat kuasa dan perkhidmatan awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi lain yang berkaitan di kawasan Parlimen BUkit Bintang.
“Kerjasama ini bertujuan memastikan setiap aduan rakyat dapat disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan secara lebih tersusun,” tambah Tengku Imran.
Selain itu, Keadilan Cabang Bukit Bintang juga akan melaksanakan pemantauan susulan bagi memastikan aduan-aduan yang telah dikemukakan oleh masyarakat kepada mana-mana agensi berkaitan, khususnya aduan yang masih belum menerima sebarang tindakan lanjut, dapat dikenal pasti, dibawa perhatian serta diangkat agar dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.

DARI kiri: Anwar, Tengku Imran dan Fazli.
Sementara itu, Anwar Pawan Chik berpendapat dengan pelancaran e-Aduan Awam tersebut. KCBB berharap dapat memperkukuh peranannya sebagai penghubung antara rakyat dan pihak berkuasa, di samping menjadi perintis kepada pelaksanaan inisiatif sama di cabang-cabang PKR lain di seluruh negara.
Dalam masa sama, katanya, peranan media disifatkan penting sebagai rakan strategik dalam memastikan maklumat mengenai inisiatif ini sampai kepada masyarakat dengan tepat.
“Sokongan serta liputan daripada pihak media amat dialu-alukan agar kewujudan sistem e-aduan awam ini dapat diketahui dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Bukit Bintang,” ujar Anwar sambil memaklumkan beberapa program komuniti dan sesi libat urus akan diadakan dari semasa ke semasa bagi mempromosikan penggunaan sistem tersebut kepada masyarakat.
Keadilan Cabang Bukit Bintang turut komited melaksanakan pemantauan susulan terhadap aduan yang telah dikemukakan kepada agensi berkaitan, khususnya aduan yang masih belum menerima tindakan lanjut.
Langkah ini bertujuan memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat dikenal pasti, dibawa perhatian serta diangkat untuk penyelesaian.
“Orang ramai boleh mengakses sistem berkenaan dengan mengimbas kod QR yang disediakan atau melayari portal rasmi di www.keadilanbintang.com. Di laman web tersebut, butang e-Aduan terletak di bahagian atas sebelah kanan dan akan membawa pengguna ke papan pemuka log masuk.
“Bagi mereka yang sudah mempunyai akaun, pengguna hanya perlu log masuk seperti biasa, manakala pengguna baharu perlu mendaftar terlebih dahulu dengan mengisi maklumat asas seperti nama, e-mel dan kata laluan sebelum membuat pengesahan akaun,” kongsi Tengku Imran selanjutnya.
Sistem e-Aduan ini menitikberatkan keselamatan maklumat pengadu. Setiap laporan yang dihantar tidak boleh diakses secara umum dan hanya boleh dilihat oleh pengadu serta pegawai yang ditugaskan untuk mengendalikan kes berkenaan. Pendekatan ini memastikan kerahsiaan maklumat terjamin serta mengelakkan penyalahgunaan data.
‘Selepas log masuk ke papan pemuka utama, pengguna boleh menghantar laporan dengan menekan butang “Submit Report”. Mereka perlu mengisi tajuk aduan, butiran isu yang ingin dibangkitkan serta memuat naik gambar sebagai bukti sokongan jika ada. Pengadu juga boleh memilih kategori aduan yang sesuai seperti infrastruktur, alam sekitar, keselamatan atau cadangan,” tambah Tengku Imran.
Setiap aduan yang diterima akan disemak oleh pihak pentadbiran sebelum disalurkan kepada biro atau pegawai yang berkaitan mengikut kategori isu.
Pegawai bertugas kemudian akan menguruskan perkara tersebut dengan agensi berkenaan, termasuk pihak berkuasa tempatan, bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan lebih segera.
Pengadu juga boleh memantau status aduan melalui nombor rujukan yang diberikan dalam sistem.
“Pengenalan sistem digital ini diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan aduan masyarakat serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secepat dan sebaik mungkin,” akhiri Tengku Imran.

PIHAK media yang hadir termasuk Kak Fas turut dikejutkan dengan pemberian sijil penghargaan.
#PartoKeadilanCabangBukitBintang #SistemE-AduanAwam #PKR #Digital #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan