Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

RTM PERHEBAT KANDUNGAN RAMADAN, RAYA MENERUSI RTMKlik, 34 STESEN RADIO!

Foto: Siti Dimiati.

SEMPENA Ramadan tidal lama lagi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah pun bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran bulan suci tersebut serta kemeriahan Syawal dengan tema "Puasa Tetap Puasa dan Raya Tetap Raya". 


Sebagai stesen penyiaran utama negara, RTM memberikan penekanan khusus terhadap penghayatan nilai ibadah, keberkatan, serta pengukuhan perpaduan masyarakat menerusi rangkaian pengisian yang komprehensif. 


Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman memaklumkan komitmen ini dizahirkan menerusi penyediaan program berkualiti yang merangkumi pelbagai genre termasuk drama, kerohanian, telefilem, dan filem blockbuster yang boleh diakses menerusi saluran televisyen, 34 rangkaian stesen radio, serta platform digital RTMKlik.


Beliau menekankan bahawa penggunaan platform digital akan diperhebatkan selari dengan trend semasa yang menyaksikan peningkatan jumlah tontonan melalui peranti mudah alih. 


Menurut beliau, kemudahan aplikasi RTMKlik membolehkan orang ramai terus mengikuti rancangan kegemaran, termasuk persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, walaupun ketika mereka sedang sibuk melakukan kunjungan hari raya atau berada dalam perjalanan.


DARI kiri: Saifuzzaman, Suhaimi, Alex dan Niswani.


“Saya rasa orang boleh menonton Datuk Seri Siti Nurhaliza di televisyen, dan jika mereka pergi beraya, mereka boleh menggunakan RTMKlik untuk menonton. Di samping itu kita ada banyak program sepanjang bulan puasa seperti Borak Dulu Baru Buka dengan hos baharu selain Ustaz Amin, kali ini Nana Mahzan turut bersama.


“Secara keseluruhan banyak pembaharuan dibawa dan kita akan memperhebatkan RTMKlik kerana ramai yang menonton melalui telefon bimbit. Harapan saya, jika anda kesunyian di hari raya, RTM adalah teman setia anda,” ujar Suhaimi ketika ditemui pada sidang media program Ramadan dan Raya di Studio M1 Angkasapuri Kota Media baru-baru ini.


Turut hadir Pengarah Bahagian Program Radio), Saifuzzaman Yusop. Pengarah Bahagian Program TV, Alex Reza Shariman Othman dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Digital Interaktif (MDI), Niswani Ahwang.


Suhaimi turut menyifatkan pengisian tahun ini sebagai usaha RTM untuk menjadi teman setia kepada masyarakat, terutamanya bagi mereka yang menyambut perayaan secara bersendirian.


Memulakan tirai pengisian, RTM mempertaruhkan tujuh program utama terbitan dalaman yang menjadi tunjang sambutan tahun ini. 



Program bual bicara santai Borak Dulu Baru Buka kembali untuk edisi keenam di TV1 bersama hos Amin Idris dan Nana Mahazan, manakala aspek inspirasi masyarakat diketengahkan menerusi dokumentari Nawaitu.


Memasuki sambutan Aidilfitri, penonton bakal disajikan dengan naskhah hebat Malam 3 Syukur yang menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Jay Iswazir dan Wan Hanafi Su. 


Selain itu, TV2 akan memeriahkan suasana dengan program muzikal Raya Macam Dulu serta konsert istimewa Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun yang diiringi oleh Orkestra RTM. 


Sempena sambutan ulang tahun RTM ke-80, program Citra Reka Busana 2.0 pula bakal menggabungkan elemen fesyen dan sinematik, sementara saluran BES membawakan dokumentari unik Menyusur Takbir Di Belantara yang mengangkat kisah sambutan raya komuniti Orang Asli.



Peminat drama bersiri dan telefilem turut diberikan perhatian khusus dengan pilihan naskhah yang menyentuh jiwa.


Antaranya termasuklah drama kekeluargaan Rindu Medina di TV1 dan Ferry Puasa Ke? di saluran Okey. RTM juga membawakan drama dari seberang seperti Aku Bukan Ustazah dan Masjid Yang Tak Dirindukan untuk mempelbagaikan pilihan penonton. 


Sebanyak 11 buah telefilem khas telah dijadualkan sepanjang musim ini, antaranya Sesumpah Neraka, Bunga Telur Bunga Rampai, dan Bagasi Raya. 


MAJLIS turut diserikan dengan persembahan dari penyanyi Afieq Shazwan, Kumpulan Andika dan Juara Bintang Kecil 2025, Adik Megat Muhammad Qaliff, 


Bagi melengkapkan kemeriahan Aidilfitri, slot filem blockbuster akan menayangkan judul-judul besar termasuklah Godzilla X Kong: The New Empire, The Dark Knight, Sangkar, dan filem ikonik Sivaji the Boss. Penonton cilik pula tidak dilupakan dengan kehadiran siri animasi Maimao di saluran Okey.



Di frekuensi radio, tradisi tahunan diperkukuhkan menerusi pelancaran Jelajah Ramadan 2026 edisi ke-14 yang bertemakan “Satu Suara Satu Jiwa”. Program ini dijadualkan bermula pada 16 Februari di Johor Bahru dan berakhir pada 8 Mac di Sibu, Sarawak. Sepanjang bulan suci ini, stesen radio nasional dan wilayah seperti NASIONALfm, RADIO KLASIK, dan stesen negeri masing-masing menyediakan pengisian khusus seperti Raudhah Khas, 30 Khalifah Dunia Islam di KELANTANfm, dan kembara bazar di SELANGORfm. 


Apabila Syawal menjelma, keunikan budaya tempatan terus diraikan melalui program seperti Ghazal Termasyhur Raya di JOHORfm dan Bermukun Seborneo di SARAWAKfm yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, dan Brunei. Keseluruhan susunan program ini mencerminkan dedikasi RTM dalam memastikan mesej kesyukuran dan kebersamaan sampai ke setiap pelosok negara.



#PuasaTetapPuasaDanRayaTetapRaya #RTM #RTMKlik #SatuSuaraSatuJiwa #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan