D'RECORD KEKALKAN EDDIE HAMID, TAMPILKAN 'KEMARAU DI HUJUNG RINDU'
SELEPAS berjaya mencuri tumpuan peminat seni tanah air menerusi lagu dialek Kelantan berjudul 'Demo Tok Jujur' pada April tahun lalu, kumpulan D’Recond kini tampil dengan naskhah terbaharu bertajuk 'Kemarau Di Hujung Rindu'.
Masih mengekalkan formula yang sama, kumpulan ini kembali menggunakan khidmat komposer prolifik, Eddie Hamid, bagi memastikan kesinambungan kualiti muzik mereka terus terjaga.
Kumpulan yang dianggotai oleh Farid selaku vokalis, Izzue dan Azrar di posisi gitar, Ayie sebagai pemain bes, Mael selaku pemain dram serta Zafuan yang mengendalikan keyboard ini nekad mengetengahkan genre rock kapak.
Irama rock yang popular pada era 90-an itu dipilih kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada identiti asal D’Recond sejak mereka mula bertapak dalam bidang seni pada tahun 2008.
Menurut Izzue atau nama sebenarnya, Zurita Mat Suta yang bergandingan dengan Eddie mencipta lagu tersebut berkata, irama rock kapak adalah sebahagian daripada identiti D'Recond yang mula bertapak dalam bidang seni sejak 2008.
"Irama rock kapak adalah sebahagian daripada identiti D’Recond. Kami membesar dengan muzik era 90-an, dan genre ini masih relevan kerana kejujuran emosi serta kekuatan melodinya.
"Kami ingin menghidupkan kembali rasa itu, tetapi dengan sentuhan dan kematangan muzik masa kini. Disebabkan kami mempunyai hubungan yang baik dengan Eddie Hamid selepas bekerjasama untuk lagu 'Demo Tok Jujur'.
"Sebenarnya ia datang secara semula jadi. Selepas 'Demo Tok Jujur', hubungan kerja kami dengan Eddie Hamid masih sangat baik. D’Recond lebih kurang seperti anak didik beliau. Kami saling percaya dari segi hala tuju muzik dan keserasian itu membuatkan kedua-dua pihak rasa sudah tiba masanya untuk bekerjasama semula bagi menghasilkan karya baharu yang lebih matang," jelas Izzue.
Tambahnya lagi, lagu 'Kemarau Di Hujung Rindu' mula dicipta sekitar proses perbincangan awal D'Recond bersama Eddie Hamid.
"Abang Eddie menyumbang idea melodi dan asas lagu, manakala saya pula terlibat dalam memperkemaskan struktur dan emosi lagu. Ia adalah hasil kolaborasi yang berjalan secara organik.
"Ada beberapa lagu dicadangkan kepada kami, tetapi 'Kemarau Di Hujung Rindu' mempunyai jiwa yang sangat kuat. Melodinya mudah melekat, liriknya dekat dengan perasaan, dan keseluruhan lagu ini menggambarkan emosi rindu serta kehilangan dengan sangat jujur.
"Sesuai dengan kasih kehilangan sebagai contoh, kehilangan kekasih, seorang ibu kehilangan anaknya, suami kehilangan isteri, anak kehilangan ibu bapa. Itulah yang membuatkan kami sebulat suara memilih lagu ini," katanya.
Lirik untuk lagu yang mula dimuat naik di platform YouTube Aries Music pada 25 Januari 2026 ditulis oleh Bahron ZM, Hakim Hakimi, Maju dan Rumie.
Meskipun lirik bukan sentuhan seorang penulis, namun kata Izzue penulis lirik tidak diterjah dengan sebarang masalah.
"Sebahagian daripada penulis lirik memang pernah bekerjasama sebelum ini. Setiap penulis membawa pengalaman dan sudut pandang tersendiri, tetapi semuanya berkisar tentang perasaan rindu, kehilangan dan kekecewaan.
"Gabungan pengalaman inilah yang menjadikan lirik lagu ini lebih hidup dan menyentuh emosi. Manakala, proses rakaman lagu ini mengambil masa kerana kami benar-benar menitikberatkan penghayatan emosi.
"Lagu ini bukan sekadar tentang kisah cinta yang dikecewakan, tetapi lebih kepada perasaan rindu yang terpendam dan harapan yang tidak kesampaian, sesuatu yang ramai orang pernah alami" ujarnya lagi.
D'Recond Band berharap karya yang dirakam di K-Seventh Studio itu, mendapat perhatian umum kerana lagu ini dekat di hati ramai insan yang pernah melalui situasi serupa seperti apa digarapkan dalam lagu.
"Kami berharap 'Kemarau Di Hujung Rindu' dapat diterima oleh pendengar lama dan baharu, serta menjadi lagu yang dekat di hati mereka yang pernah melalui rasa kehilangan dan kerinduan.
"Semoga lagu ini dapat mengubat perasaan dan mengingatkan pendengar bahawa mereka tidak bersendirian," kata Izzue mewakili anggota D'Recond yang lain.
Dalam pada itu, Eddie Hamid menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Farid selaku vokalis untuk menggalas tanggungjawab mendendangkan lagu ini dengan baik.
"Sebagai vokalis, Farid mampu mendendangkan lagu rock kapak dengan baik. Lagu irama sebegitu terus diminati oleh peminat muzik era 90- an dan juga pendengar baharu.
"Saya yakin lagu yang dekat dengan jiwa pendengar mudah diterima dan bakal menjadi malar segar, bukan popular untuk jangka masa tertentu saja," kata Eddie meluahkan pandangannya.
Lagu 'Kemarau Di Hujung Rindu' terbitan dan edaran Aries Music juga boleh didengar di semua penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify.
#DRecord #EddieHamid #DemoTokJujur #KamarauDiHujungRindu #Lagu #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan