MENARA KL GARIS HALA TUJU STRATEGIK 2026, MEDIA JADI PEMANGKIN!
MENARA Kuala Lumpur melakar hala tuju strategik baharunya bagi tahun 2026 apabila Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj. Othman, menggariskan visi transformasi dan perancangan jangka panjang menara itu semasa acara Malam Media yang menghimpunkan rakan media dan pemain industri pelancongan, baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda ikonik negara tidak boleh dipisahkan daripada peranan media dalam membina persepsi, mencipta nilai kandungan serta memperkukuh daya tarikan destinasi di peringkat domestik dan antarabangsa, khususnya menjelang sambutan ulang tahun ke-30 menara itu dan pelaksanaan Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Khairil menekankan kepentingan kolaborasi antara pengendali destinasi, sektor swasta dan pengamal media bagi memastikan mercu tanda ikonik negara itu kekal relevan, bernilai komersial dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi pelawat.
Beliau juga menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur bukan sekadar mercu tanda ikonik negara, sebaliknya merupakan aset strategik pelancongan nasional yang perlu terus diperkasakan agar kekal relevan dan berdaya saing.
“Melangkah ke tahun ke-30, fokus kami adalah jelas iaitu memastikan Menara Kuala Lumpur kekal relevan untuk masa hadapan melalui pengalaman yang dikurasi, perkongsian strategik serta pengisian program bermakna yang menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya,” katanya pada majlis malam media tersebut yang turut dihadiri Pengerusi LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng dan diacarakan oleh penyampai radio, DJ Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein.
Dengan ketinggian 421 meter, Menara Kuala Lumpur kekal sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia, serta mencatat kehadiran hampir satu juta pengunjung setiap tahun.
Kedudukan strategik ini menjadikan menara berkenaan antara aset paling berpengaruh sebagai platform utama bagi promosi pelancongan, pengisian budaya, program gaya hidup dan penglibatan antarabangsa.
Menurut beliau, di bawah pengurusan LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), Menara Kuala Lumpur kini bergerak melangkaui fungsi konvensional sebagai struktur telekomunikasi kepada sebuah destinasi pengalaman yang menyokong penjenamaan bandar raya, penciptaan kandungan pelancongan dan penganjuran acara bertaraf antarabangsa, selari dengan keperluan pasaran pelancongan moden.
Selaras dengan VMY2026, Menara Kuala Lumpur akan memperkenalkan kalendar tahunan program khas yang dirangka untuk menggalakkan kunjungan berulang serta memanjangkan tempoh lawatan.
![]() |
| KOS Sarani dari pockettv memenangi hadiah pakaian terbaik. |
Program tersebut merangkumi pameran budaya dan festival sempena sambutan kebangsaan, inisiatif gaya hidup dan komuniti, acara pelancongan sukan utama seperti Kuala Lumpur Tower Run International Challenge dan International Base Jump, serta acara kemuncak bagi meraikan Ulang Tahun ke-30 Menara Kuala Lumpur pada Oktober 2026.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar mengendalikan sebuah struktur ikonik, tetapi memastikan relevansinya untuk generasi akan datang. Setiap program, kolaborasi dan pelaburan dipandu oleh komitmen terhadap kemampanan, kebanggaan negara dan aspirasi pelancongan global Malaysia,” tambah Khairil Faizal.
Reposisi strategik Menara Kuala Lumpur turut diperkukuh melalui beberapa pengiktirafan terkini termasuk anugerah TRIP.BEST 2025 Global 100 Nightlife oleh Trip.com Group, pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Highest Altitude Lantern Walkabout, serta Anugerah Khas Datuk Bandar Kuala Lumpur 2025 bagi pencahayaan bangunan ikonik.
LSHSM turut menegaskan komitmen terhadap kemampanan, keselamatan, dan pelancongan inklusif bagi memastikan Menara Kuala Lumpur terus menjadi simbol kebanggaan negara yang memberikan nilai jangka panjang kepada komuniti dan pihak berkepentingan bagi generasi akan datang.
Dengan visi yang jelas, strategi berstruktur, dan penyelarasan teguh bersama pihak berkepentingan, Menara Kuala Lumpur terus berdiri bukan sekadar simbol di kaki langit, tetapi sebagai pemacu utama ekonomi pelancongan, budaya, dan pengalaman Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej ulang tahun dan promosi sepanjang tahun 2026, sila layari laman web rasmi di www.kltower.com atau ikuti media sosial @kltowermalaysia.
#MenaraKualaLumpur #MediaNight #MalaysiaBookOfRecords #LSHSM #fyp





Tiada ulasan:
Catat Ulasan