KERJASAMA UNIVERSITI - INDUSTRI PACU 'CERITARAYA MPP UiTM' KE SKALA KOMERSIAL!
MEMANFAATKAN kekuatan rangkaian strategik yang merangkumi lebih 200,000 warga kampus di seluruh negara, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah AlaM mengorak langkah berani menerajui pasaran komersial melalui pelncaran jenama kuih raya, ‘CeriteRaya’.
Bukan sekadar projek jualan bermusim, inisiatif keusahawanan ini menyasarkan unjuran jualan melebihi 5,000 pek, sekali gus membuktikan kemampuan mahasiswa menguruskan perniagaan berskala besar yang kompetitif.
Majlis pelancaran yang diadakan di Hotel UiTM Shah Alam semalam, menyaksikan kolaborasi strategik antara MPP UiTM, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) serta rakan industri, DMG Food Industries Sdn. Bhd. dengan sokongan teknikal daripada Bank Rakyat serta Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).
Disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, ia sekali gus menandakan anjakan besar daripada konsep simulasi bilik darjah kepada operasi pasaran sebenar yang menuntut pengurusan volum, aliran tunai, dan pemasaran digital yang profesional.
Turut hadir antaranya Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) MASMED, Prof. Madya Dr. Badrul Isa; Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali; Pengerusi DMG Food Industries, Datuk Dr. Hassan Saad dan Syed Nasser Hussain selaku Naib Presiden Eksekutif Perhubungan Perniagaan Kerajaan & Antarabangsa, Bank Rakyat serta Chef Zainal.
![]() |
| GIMIK pelancaran... menghiasi 'topping' pada cup cake. Dari kiri: Syed Nasser, Dr. Hassan, Mustaffa Kamil, Dr. Badrul, Chef Zainal dan Mohamad Adib. |
Dalam ucapan aluannya, Mohamad Adib menekankan bahawa inisiatif ini mencerminkan kesungguhan mahasiswa dalam berbakti kepada komuniti kampus di sebalik kesibukan akademik.
Beliau menyifatkan ‘CeriteRaya’ sebagai platform terbaik untuk mengasah nilai kepimpinan dan keprihatinan sosial melalui model perniagaan yang inklusif.
Seiring dengan itu, Prof. Madya Dr. Badrul Isa menyatakan bahawa kredibiliti MPP merupakan kunci utama dalam menggerakkan pasaran di 13 kampus cawangan melalui sistem rangkaian ahli gabungan (affiliate).
“Kita tidak hanya mengajar mahasiswa menjual produk, tetapi mahir mengurus permintaan, volum dan pasaran secara strategik. MPP dipilih kerana mereka mempunyai kredibiliti serta keupayaan menggerakkan pasaran di peringkat kampus dan komuniti,” tegas beliau sambil yakin sasaran jualan sebanyak 5,000 pek tidak mustahil untuk dicapai.
Menurutnya, MASMED sedar terdapat pelbagai cabaran yang akan dihadapi, namun itulah bentuk bimbingan sebenar yang disediakan kepada para mahasiswa.
"Program ini merupakan satu bentuk permadanan secara langsung yang memberi pengalaman praktikal serta pendedahan sebenar kepada mereka dalam dunia keusahawanan," jelas Dr. Badrul.
Menyambut baik sasaran jualan sebanyak 5,000 pek 'CeritaRaya', Dr Hassan
berkata, modal perniagaan kuih raya mempunyai kitaran pulangan yang pantas serta risiko terkawal, menjadikannya platform sesuai untuk pendedahan keusahawanan mahasiswa.
“Awalnya kita berbincang mengenai sasaran 1,500 pek, kemudian meningkat ke 5,000 pek. Melihat kepada impak dan kesungguhan mahasiswa hari ini, kami di DMG bersedia menyediakan kapasiti pengeluaran tanpa had mengikut keperluan pasaran bagi memastikan konsistensi kualiti dan ketersediaan stok,” sambung Dr. Hassan.
Menawarkan 28 variasi biskut melalui kategori Premium dan Golden, 'CeriteRaya' bukan sahaja menekankan aspek rasa, malah mematuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi.
“Ini perniagaan yang ROI-nya cepat. Dengan kualiti produk dan strategi pemasaran yang betul, pulangan boleh dicapai dalam masa singkat," tambah Dr. Hassan.
Beliau turut memaklumkan bagi tahun 2026 ini, DMG menetapkan sasaran
yang besar dan realistik — iaitu untuk mencapai RM20 juta nilai pendahuluan (advance) dimana seterusnya pada tahun 2027, MASMED akan terus bersama melangkah ke tahap yang lebih tinggi dengan fokus kepada pengeluaran dan pengembangan eksport.
"Dalam tempoh jangka panjang, termasuk perancangan 10 tahun akan datang, kita melihat potensi pengeluaran dalam skala besar — sehingga puluhan ribu unit — sebagai satu realiti yang boleh dicapai jika kita bergerak secara tersusun dan konsisten," akhirinya penuh yakin.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Mustaffa Kamil (tengah) memuji inisiatif projek ‘CeritaRaya’ yang dilihat berupaya memberi kefahaman mendalam kepada pelajar mengenai dinamika risiko dan realiti perniagaan.
“Apabila mahasiswa mengendalikan produk berskala pasaran, mereka belajar mengurus realiti sebenar perniagaan. Ini asas penting untuk melahirkan rakyat Malaysia berjiwa keusahawanan menjelang 2030,” ujar Mustaffa.
Dengan sokongan teknikal daripada Bank Rakyat dan INSKEN, projek ini turut dirancang untuk dikembangkan sebagai produk hamper sepanjang tahun bagi memastikan impak ekonominya berterusan dan mampan sekali gus membuka peluang pendapatan berterusan kepada mahasiswa seraya mengangkat biskut dan kueh mueh tempatan ke mata dunia!
![]() |
| MAJLIs turut dihiburkan oleh nyanyian dari penyanyi veteran Datin Suliza Salam dan Fazli Zainal. |
#CeritaRayaMPPUiTM #MASMED #INSKEN #BankRakyat #DMGCookies #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan