DMG SASAR 100,000 JUALAN PEK KUKIS, RANCANG LANCAR BUTIK THE COOKIES YANG PERTAMA!
INDUSTRI pemakanan kueh muih dan biskut tempatan terus diperkasa melalui pendekatan penjenamaan premium, pengeluaran berskala besar dan sokongan pelancongan apabila DMG Food Industries Sdn Bhd (DMG) menganjurkan Majlis Minum Petang dan Rasa-Rasa Kuih baru-baru ini, menjadi platform perkongsian hala tuju perniagaan, pengukuhan kerjasama strategik serta usaha mengangkat produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Majlis tersebut menghimpunkan tokoh korporat, rakan strategik dan wakil agensi termasuk Datuk Seri Muhammad bin Abdul Ghani, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DMG Holdings; Datuk (Dr) Hassan Saad, Pengerusi DMG; Datuk Shaharddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia dan Datin Yuzaira Yusof, Pengerusi Puspanita MOTAC, sekali gus menyaksikan penyerahan dokumen MoU kepada rakan strategik terlibat.
DMG yang telah beroperasi sejak 1982 dan secara rasmi menggunakan nama semasanya pada 1995 kini memiliki pengalaman lebih 45 tahun dalam industri makanan tempatan.
“Selama lebih dua dekad kami fokus kepada pembuatan kukis. Bermula tahun ini, kami mahu ubah persepsi bahawa kukis juga boleh berada dalam segmen premium dan bernilai tinggi. Malah kami dalam perancangan untuk menubuhkan DMG The Cookies Boutique, iaitu butik biskut pertama kami, bagi memberikan pengalaman pembelian yang lebih unik kepada pelanggan,” kata Hassan Saad ketika ditemui sambil memaklumkan pelancaran butik dijangka disempurnakan pada 21 Januari ini oleh Ketua Setiausaha MOTAC.
Menurutnya, syarikat yang sebelum ini lebih dikenali dengan produk butter cookies kini mula mempelbagaikan penawaran melaMlui 11 jenis kuih raya premium dan 15 jenis bagi kategori golden.
‘Penggunaan bahan berkualiti tinggi seperti mentega premium menjadi teras utama bagi memastikan setiap produk mengekalkan mutu dan rasa yang eksklusif,” jelasnya.
Permintaan terhadap biskut raya DMG Food tahun ini disifatkan amat memberangsangkan, namun kapasiti pengeluaran dihadkan kepada 100,000 pek sahaja, dengan setiap pek mengandungi empat jenis biskut premium.
Beliau berkata pemasaran produk akan dilaksanakan di 14 lokasi strategik termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya utama.
Dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri, DMG turut merancang satu kempen perayaan yang dijangka menawarkan hadiah bernilai keseluruhan lebih RM200,000 kepada pengguna.
“Kami sedang berbincang dengan beberapa pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia dan rakan strategik lain. Mekanisme kempen ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Hassan berkata inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan memeriahkan suasana Ramadan dan Aidilfitri, malah sebagai usaha mengangkat nilai produk tempatan agar lebih dihargai pengguna.
Dalam usaha memenuhi keperluan pengeluaran tersebut, syarikat turut mengambil inisiatif sosial dengan mendapatkan tenaga kerja daripada Persatuan Penempatan Dan Pemulihan Penjara (PEMAAF), yang membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan komuniti dalam rantaian perniagaan.
“Dan dalam usaha menyokong promosi pelancongan, syarikat memperuntukkan kira-kira 1 juta pek untuk kempen Visit Malaysia Year 2026. Sebanyak 14 desain mewakili 13 negeri dan 1 Wilayah Persekutan bersaiz kecil berharga RM10 setiap satu dipilih sebagai cenderamata untuk dipasarkan di semua lokasi pelancongan bagi menarik minat pelancong,” tambah Hassan.
Beliau turut memaklukan DMG juga sedang meneroka kerjasama strategik bersama Persatuan Hotel Malaysia melibatkan lebih 1,100 hotel, dengan produk dijadikan cenderamata alu-aluan kepada tetamu tanpa penjenamaan agresif, selari dengan konsep perkongsian nilai dan promosi produk tempatan.
Menyentuh mengenai isu kenaikan harga bahan mentah yang sering dibangkitkan menjelang musim perayaan, Hassan menegaskan bahawa bekalan sebenarnya mencukupi dan harganya masih berada dalam keadaan terkawal.
Beliau menjelaskan bahawa kenaikan harga di pasaran sering kali berpunca daripada tindakan segelintir peniaga yang mengambil kesempatan.
Bagaimanapun, DMG Food berjaya mengekalkan harga mampu milik bagi rangkaian biskut premium mereka hasil daripada strategi persediaan awal dan perolehan bahan mentah yang lebih efisien sebelum musim perayaan bermula.
‘Walaupun produk diposisikan dalam kategori premium dan “golden”, pendekatan perniagaan yang digunakan adalah pengeluaran secara volum bagi membolehkan lebih ramai pihak terlibat dan berkongsi manfaat, bukan semata-mata mengejar keuntungan,” akhiri Hassan Saad.
Dengan gabungan strategi kepelbagaian produk, pengurusan kos yang bijak, serta visi penubuhan butik khas, DMG kini dilihat semakin serius untuk memposisikan diri sebagai pemain utama dalam segmen biskut raya premium di Malaysia.
Majlis turut memperlihatkan sokongan daripada rakan industri kreatif antaranya penglibatan usahawan daripada kalangan artis tempatan di bawah Persatuan Konsortiuum Industri Rakaman Muzik Malaysia atau IRAMA yang dipimpin Presidennya, Ayob Abd Majid (gambar bawah, tiga dari kiri) atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ayob.
“Saya melihat potensi besar penglibatan artis dalam membantu promosi dan meningkatkan jualan produk tempatan yang diusahakan DMG ini dan saya yakin ramai artis yang mempunyai perniagaan jualan makanan boleh merebut peluang perniagaan yang ditawarkan bagi menambah pendapatan mereka, “ ulas Pak Ayob.
Majlis yang diacarakan oleh penyanyi Fazli Zainal diakhiri dengan keyakinan pihak penganjur bahawa kejayaan hanya dicapai melalui kesabaran, ketekunan dan kerjasama strategik, sambil menekankan komitmen untuk terus menyumbang secara berterusan kepada ekonomi negara.
#DMGFoodIndustries #DMGTheCookiesBoutique #MOTAC #KuihBiskutRaya #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan