ERNIE ZAKRI, SYAMEL BAWA ANAK KE HONG KONG NIKMATI 'SUASANA RAYA' DI PERANTAUAN!
PASANGAN selebriti popular, Ernie Zakri dan Syamel, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single Aidilfitri terbaharu bertajuk “Suasana Raya.”
Karya ini merupakan satu kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board yang bertujuan memperkenalkan sisi mesra Muslim di bandar raya metropolitan tersebut melalui sebuah naskhah muzik video yang segar dan moden.
Menampilkan gabungan melodi klasik raya, lirik yang menyentuh jiwa serta keserasian vokal kedua-dua penyanyi ini, “Suasana Raya” merakamkan keindahan pagi Syawal yang penuh ketenangan, kesyukuran dan kebersamaan keluarga.
Lagu ini bukan sekadar hiburan perayaan, malah menjadi runut bunyi yang menghidupkan semula memori indah Aidilfitri yang dirindui ramai.
Kolaborasi bersama Hong Kong Tourism Board membawa dimensi visual yang segar kepada lagu ini, dengan latar lokasi yang moden, meriah serta mesra Muslim.
Menurut Ernie, Hong Kong merupakan destinasi yang sangat sesuai dengan konsep lagu dan video muzik ini.
“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen. Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque. Selain itu, terdapat banyak tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park, dan ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana,” jelas Ernie pada majlis sidang media "Suasana Raya" yang diadakan di IOI City Mall. Putrajaya baru-baru ini.
Suasana bandar Hong Kong yang vibrant dan dinamik turut menjadi inspirasi kepada konsep keseluruhan video muzik tersebut.
“Suasana di Hong Kong sangat meriah dan penuh warna, dan kami mahu peminat merasai vibe yang sama melalui Suasana Raya. Budaya dan persekitaran di sana memberikan elemen visual yang moden dan unik, selari dengan lagu ini yang menggabungkan elemen raya tradisional dan moden,” tambah Syamel dan Ernie.
Terdahulu,sebagai menghargai sokongan peminat, Syamel dan Ernie Zakri turut menganjurkan sebuah sesi tontonan awal video muzik 'Suasana Raya' bersama peminat pada 17 Februari 2026 di Aurum Theatre, Kuala Lumpur, di mana peminat terpilih diberi peluang eksklusif untuk menonton video muzik tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
Hampir 100 peminat yang hadir bukan sahaja berpeluang menyaksikan tayangan awal video muzik tersebut, malah turut berkesempatan mempelajari koreografi yang ditampilkan dalam MV itu bersama Syamel dan cx , menjadikan sesi ini lebih istimewa dan bermakna.
Berkongsi perasaannya selepas sesi tersebut, Ernie berkata:
“Hari ni kami dah selesai buat fans gathering untuk muzik video Suasana Raya. Memang special sangat sebab kami dapat bagi peminat tengok dulu MV ni sama-sama sebelum release. Bagi kami, dapat kongsi momen macam ni dengan peminat memang sangat bermakna, sebab sokongan merekalah yang paling kami hargai.
"Kami harap mereka suka video muzik ni, dan semua yang dengar Suasana Raya pun akan enjoy lagu serta visual dia sekali. Harap-harap lagu ni boleh bagi kenangan manis dan good vibe untuk semua yang dengar.”
Dikenali dengan lagu-lagu balada yang penuh emosi, Ernie menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza.
“Lagu ini sangat fun dan santai. Apabila merakamkannya bersama Syamel, proses itu menjadi lebih mudah dan penuh keseronokan, dan kami dapat benar-benar menikmati setiap momen,” katanya.
Keserasian mereka yang telah lama terjalin turut membantu menghasilkan penyampaian yang lebih semula jadi dan ikhlas.
Bagi Syamel pula, kekuatan utama lagu ini terletak pada melodinya yang catchy dan cukup sinonim dengan kemeriahan suasana perayaan.
“Suasana Raya sangat catchy dan memang kena dengan mood Hari Raya. Ia adalah lagu yang sesuai didengarkan ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa menyampaikan lagu yang ceria juga memerlukan emosi yang jujur agar kegembiraan itu benar-benar sampai kepada pendengar.
“Kami mahu pendengar rasa kegembiraan itu. Sepanjang proses rakaman, kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi tersebut dapat disampaikan dengan lebih ikhlas,” katanya.
Berkongsi mengenai pengalaman penggambaran muzik video pula, Syamel menyifatkan ia sebagai satu memori yang sangat bermakna buat mereka sekeluarga.
“Rakaman MV ini terasa seperti kami sedang bercuti sekeluarga, sebab kami dapat bawa Khawla ke set penggambaran dan ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Hong Kong. Ia bukan sekadar penggambaran, tetapi satu pengalaman indah yang kami dapat kongsi bersama sebagai sebuah keluarga.”
Kedua-dua artis berharap agar lagu ini akan menjadi salah satu lagu raya yang terus dimainkan saban tahun.
“Kami berharap Suasana Raya akan menjadi antara lagu yang menemani detik-detik indah Aidilfitri, dan terus kekal di hati peminat untuk jangka masa yang panjang,” akhiri Syamel.
#SuasanaRaya #SyamelErnieZakri #HongKongTourismBoard #LaguRaya #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan