ROZITA ROHAIZAD KEMBALI 'RINDU AIDILFITRI', TAWAR ALBUM RAYA DALAM 'PEN DRIVE'!
KETIKA kebanyakan karya muzik hari ini bergantung sepenuhnya kepada platform digital, penyanyi veteran Rozita Rohaizad mengambil langkah berbeza dalam memperkukuh legasi lagu raya tempatan apabila tampil dengan dua karya baharu sempena Aidilfitri 2026, lengkap dengan pendekatan edaran yang lebih pelbagai termasuk dalam bentuk fizikal moden.
Anak kepada pelakon legenda Mariani Ismail itu terus konsisten menghasilkan lagu-lagu raya yang dekat dengan jiwa masyarakat sejak 2012, dan tahun ini menyaksikan penambahan dua lagi karya menjadikan keseluruhan lapan lagu raya pernah dihasilkannya merangkumi pelbagai genre dan tema.
Lagu solo terbaharu berjudul “Rindu Aidilfitri” tampil sebagai nadi utama projek kali ini dengan mengangkat keindahan dan kemeriahan suasana Syawal yang penuh makna.
Lagu berentak cha-cha dengan sentuhan latin pop ini membawa pendengar mengimbau kenangan Aidilfitri yang dirindui, daripada juadah tradisi seperti ketupat, lemang dan dodol hinggalah suasana kunjung-mengunjung bersama keluarga dan sahabat handai.
Disulam dengan mesej kemaafan, kesyukuran dan kebersamaan, karya ini dihasilkan oleh Rozita bersama Fauzi Aisunam.
Menariknya, selain boleh distrim di platform digital seperti Spotify dan Deezer, lagu “Rindu Aidilfitri” turut dipasarkan dalam bentuk pendrive sebagai sebahagian daripada album kompilasi “Rindu Aidilfitri 2026”.
Album tersebut menghimpunkan 21 lagu raya pelbagai genre bersama dua lagu bonus, dengan “Rindu Aidilfitri” diletakkan sebagai lagu pembukaan (track pertama), sekali gus menyerlahkan identiti ceria lagu berentak cha-cha tersebut.
Selain di digital platforms seperti Spotify, Deezer dll....lagu Rindu Aidilfitri boleh di beli dalam bentuk pendrive berharga RM40.
Dalam masa yang sama, Rozita turut terlibat dalam lagu raya berkumpulan berjudul “Gelak Tawa Raya” terbitan Saja Production.
Lagu ini menyatukan barisan penyanyi termasuk Nadia Fharshah, Arwanz, Kamil, M. Hafis, S. Kelvin dan Radin, yang bersama-sama menghasilkan harmoni menggambarkan suasana keluarga besar berkumpul di pagi raya.
Dicipta oleh Arwanz dengan lirik puitis oleh Nadia Fharshah, “Gelak Tawa Raya” menggabungkan elemen nostalgia kampung, kemeriahan serta jenaka keluarga, selain menyelitkan rasa rindu terhadap insan tersayang.
Susunan melodinya yang bermula lembut sebelum berkembang menjadi lebih rancak memberi keseimbangan antara emosi dan keceriaan, berbeza dengan “Rindu Aidilfitri” yang tampil dengan rentak latin pop cha-cha, manakala lagu ini membawa sentuhan pop twist yang lebih segar.
Menurut Rozita, beliau sentiasa gemar menghasilkan lagu-lagu yang membawa elemen keceriaan dan kebersamaan sempena Aidilfitri, dan berharap kedua-dua karya ini bukan sahaja menghiburkan, malah mampu menjadi sebahagian daripada memori indah masyarakat setiap kali tibanya Syawal.
#RozitaRohaizad #RinduAidilfitri #GelakTawaRaya #MarianiIsmail #SajaProduction


Tiada ulasan:
Catat Ulasan