'BEY KELEK LAA BEY', LANGKAH BERANI BABY SHIMA KUASAI LOGHAT KELANTAN!
PENGALAMAN mencabar serta melucukan semasa berusaha menguasai dialek Kelantan menjadi tumpuan utama penyanyi popular, Baby Shima, 33, menerusi pelancaran single sulungnya dalam loghat tersebut yang berjudul 'BEY KELIK LAA BEY'.
Lagu ini menandakan satu langkah berani dalam kerjaya seninya apabila Shima tampil mencabar kebolehan vokal dan linguistiknya selepas sekian lama dikenali dengan kepelbagaian genre muzik.
Diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan oleh Nova Music, lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer berpengalaman, Eddie Hamid manakala liriknya pula digarap secara kolaborasi oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju, dan Te Ha.
Idea untuk menghasilkan lagu berdialek Kelantan ini tercetus daripada permintaan peminat Baby Shima yang sering meninggalkan komen di media sosialnya.
"Sebenarnya ceritanya sangat ringkas. Ramai orang Kelantan selalu tinggalkan komen, 'Shima, cuba la nyanyi lagu Kelate sikit!'. Lama-kelamaan saya pun terpengaruh. Dialek Kelantan pun mempunyai keunikan tersendiri di mana, walaupun orang marah pun bunyinya tetap comel,” jelas Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli.
Beliau mengakui bahawa merakamkan lagu sepenuhnya dalam dialek Pantai Timur merupakan satu transisi yang memerlukan komitmen tinggi, termasuk menjalani latihan intensif selama lebih seminggu bagi memastikan setiap sebutan kedengaran asli dan tidak janggal.
"Kadang-kadang bila menyanyi, terkeluar juga loghat Semenanjung, jadi rasa tak sedaplah. Semasa sesi rakaman pun, ada masa saya tersasul, terutama bila lapar. Tapi bila makan budu, terus elok balik dialek Kelantan saya itu,” katanya, berseloroh.
Menceritakan tentang kerjasama bersama Eddie Hamid, Baby Shima memuji kesabaran komposer tersebut yang bertindak sebagai pembimbing sepanjang sesi rakaman.
Beliau menyifatkan suasana bekerja bersama Eddie sangat santai namun tetap profesional, terutama apabila perlu mengimbangi aspek teknikal vokal dengan penyampaian emosi yang tepat bagi lagu tersebut.
"Dalam studio, dialah cikgu dan saya pula murid yang suka buat lawak. Dia ajar saya daripada sebutan sehinggalah kepada panduan vokal. Walaupun sering tersalah sebutan dan ketawa sebelum merakam semula, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.
"Abang Eddie memang jenis yang sangat penyabar. Mungkin sebab dia sudah 'immune' dengan perangai saya," gurau Shima.
Walaupun sering kali suasana rakaman dipenuhi dengan gelak tawa akibat kesilapan sebutan, kesabaran Eddie akhirnya membuahkan hasil apabila lagu tersebut berjaya disiapkan dengan kualiti yang diharapkan oleh peminat.
Dari sudut penceritaan, 'BEY KELIK LAA BEY' membawa naratif melankolik mengenai kerintihan hati seorang wanita yang merindui kekasihnya selepas ditinggalkan tanpa khabar berita.
Ia menggambarkan perasaan pilu akibat harapan palsu yang diberikan sebelum lelaki tersebut menghilangkan diri, sekali gus menjadi satu rayuan agar pasangannya kembali pulang untuk menunaikan janji-janji mereka.
Pendek kata, lagu tersebut bukan sahaja mengetengahkan elemen emosi yang mendalam, malah menjadi jawapan kepada ribuan permintaan peminat di media sosial yang ingin melihat Shima mencabar kebolehan seninya menerusi dialek negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kini, karya tersebut sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital serta saluran YouTube rasmi sejak ambang tahun baharu lalu.
Setelah berusaha keras memberikan yang terbaik demi memenuhi impian para peminatnya, Shima menyerahkan penilaian sepenuhnya kepada pendengar, terutamanya komuniti di Pantai Timur.
Jadi, guano ore-ore Kelantan, ok ko dok lagu baru Shima ni?
#BabyShima #CikSitiWanKembang #Kelantan #BeyKelikLaaBey #KijangMusic


Tiada ulasan:
Catat Ulasan