SINERGI MASWIRA MAJID, MASKOTA SERI GEDONG MARTABAT BUSANA MELAYU!
PENTAS berprestij Asian Fashion & Culture Diplomacy 2025 baru-baru ini menjadi saksi kepada keindahan dan kehalusan busana Melayu menerusi satu kolaborasi istimewa yang menggabungkan kepakaran pereka fesyen berwibawa, Maswira Majid, bersama pengrajin tenunan terkemuka dari Borneo, Maskota by Seri Gedong.
Kerjasama strategik ini berjaya mencuri tumpuan pemerhati fesyen melalui naskhah seni yang mengangkat martabat kraf tradisional ke tahap yang lebih eksklusif.
Ia mengetengahkan keindahan songket asli Sarawak yang memancarkan kemewahan dan eksklusiviti, hasil daripada seni tenunan yang halus, pemilihan fabrik berkualiti tinggi, penggunaan benang yang teliti serta corak tradisional yang sarat dengan nilai warisan.
![]() |
| QISTINA salah seorang model remaja memperagakan Busana Kebaya dan Kain Tenun Songket berharga RM16,000. |
Keunikan dan ketelitian seni ini menjadikan setiap helaian songket bernilai tinggi, dengan harga yang dilaporkan boleh mencecah ribuan ringgit, sejajar dengan kualiti serta kehalusan pembuatannya.
Maswira Majid menerusi koleksi terbaharunya mempamerkan satu penghormatan terhadap keanggunan abadi kebaya Melayu.
![]() |
| MASWIRA Majid dan dua beradek dari Maskota by Seri Gedung bergambar kenangan bersama Tengku Dato Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azam Shah Alhaj. |
Dengan mengambil inspirasi daripada gaya klasik seperti Kebaya Pahang, Kebaya Riau, dan Kebaya Pendek, rekaan beliau berjaya menterjemah estetika tradisional ke dalam bentuk yang lebih segar.
Penggunaan palet warna mewah berteraskan nuansa diraja turut memperkukuhkan identiti busana tersebut, sekali gus menyerlahkan kemegahan warisan Melayu dalam interpretasi moden yang cukup memukau.
Suasana di pentas peragaan menjadi lebih bermakna apabila barisan model remaja dipilih untuk memperagakan koleksi tersebut dengan penuh anggun dan elegan.
Penampilan ini bukan sahaja menonjolkan keindahan rekaan, malah membawa mesej penting dalam membangkitkan minat generasi muda terhadap warisan busana Melayu agar terus dihargai, dipelihara dan diwarisi.
Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif bagi memastikan identiti budaya negara tidak hilang ditelan zaman.
Secara keseluruhannya, penganjuran Asian Fashion & Culture Diplomacy 2025 ini diyakini mampu menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan khazanah budaya.
Melalui sokongan berterusan terhadap seni busana Melayu dan kolaborasi antara penggiat industri, warisan negara kini dilihat semakin kukuh untuk dipromosikan bukan sahaja di peringkat nasional, malah mampu bersaing di persada antarabangsa sebagai simbol diplomasi budaya yang berjaya.
#MaswiraMajid #MaskotaSeriGedong #AsianFashion&CultureDiplomacy2025 #fyp





Tiada ulasan:
Catat Ulasan