'KULIT WAYANG': GABUNGAN TRADISI, FANTASI GEMPARKAN FESTIVAL BUDAYA SEBELUM TAYANGAN 1 MEI!


SUASANA
meriah menyelubungi Festival Budaya Kulit Wayang @ KL Base, Sungai Besi baru-baru ini,  dengan acara kemuncak berupa pelancaran filem ‘Kulit Wayang’ yang dinanti-nantikan. 


Festival dua hari yang unik ini bukan sekadar promosi filem biasa, malah ia menjelmakan sebuah perayaan budaya yang hidup, menggabungkan larian amal selebriti, pesta seni tradisional, pertandingan tarian dan permainan warisan, sebelum tirai ‘Kulit Wayang’ dibuka secara rasmi.


Majlis pelancaran filem terbitan Mico Studio (M) Sdn Bhd itu dihadiri oleh tokoh-tokoh penting di sebaliknya, termasuk penerbit Nevin Hiong, penerbit bersama Penny Chan dari EMT Ventures Sdn Bhd, pengarah berbakat Dain Said, serta barisan bintang filem yang memukau seperti Fattah Amin, Pekin Ibrahim, dua wajah baharu dari Indonesia iaitu Reynavenzka Deyandra dan Jenna Kamaratih, serta aktres tempatan berkarisma, Amanda Ang.



, “Kami ingin melangkaui konsep pelancaran filem yang eksklusif untuk media. Justeru, kami mengubahnya menjadi sebuah perayaan awam yang besar, memberikan peluang sinergi jenama dan penglibatan budaya yang unik selama dua hari ini.” ujar Penny Chan pada majlis sidang akhbar yang diadakan.


Beliau turut meluahkan keyakinannya terhadap filem ini waima ’Kulit Wayang’ memiliki daya tarikan yang mendalam untuk penonton Malaysia. 


"Sebagai penerbit bersama, saya merasa amat berbangga dan terhormat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan filem ini,” tambahnya.



Berkongsi lanjut, Fattah Amin berkata:


“Setelah hampir setahun menjalani penggambaran, saya sangat teruja untuk menyaksikan filem ini akhirnya ditayangkan. ‘Kulit Wayang’ mengetengahkan tradisi kita yang kian dilupakan, dengan harapan agar generasi muda tidak mengabaikannya. 


"Saya juga mengagumi keberanian penerbit dan pengarah dalam menyuntik jalan cerita yang segar dan gaya visual yang artistik, sambil menyajikannya dalam bentuk yang menghiburkan tanpa mengorbankan inti mesejnya.”



Pekin Ibrahim, yang bukan kali pertama bekerjasama dengan produksi ini, menambah, “Ini adalah kali kedua saya bekerja dengan penerbit dan pengarah, dan saya yakin mereka telah menghasilkan sebuah filem yang menghiburkan dan penuh kreativiti, yang mempamerkan kekayaan budaya kita serta keindahan pantai timur.”


‘Kulit Wayang’ membawa penonton kembali ke era 1980-an, di sebuah perkampungan terpencil di pesisir pantai Malaysia


Di sana, tersembunyi di dalam paya gelap, tinggallah Ramlee, atau lebih dikenali sebagai Pak Lee, seorang pertapa yang hidup dalam kesunyian, ditemani hanya oleh patung-patung wayang kulitnya. 


Masyarakat kampung menjauhinya, dibayangi oleh kepercayaan bahawa dia menyimpan rahsia kelam yang membuatnya tidak lagi mampu mempersembahkan seni wayang kulitnya. 



Kehidupan Pak Lee mula berubah dengan kedatangan Dewi dan ibunya, Dian, seorang penyelidik dari Indonesia yang tertarik dengan tradisi wayang kulit di kampung tersebut. 


Sementara Dian menyelami kajiannya, Dewi menjalin persahabatan dengan anak-anak tempatan, terutama Ayu yang misterius dan bisu. 


Dorongan Ayu membawa Dewi menemui kediaman Pak Lee di paya, dan di sanalah dia menjadi muridnya. Namun, ketenangan kampung itu mula terusik dengan penemuan mayat kanak-kanak yang menjadi mangsa buaya pemangsa. 


Dian mulai menyedari perubahan aneh pada tingkah laku Dewi, yang seolah-olah menjadi perantara suara-suara dari masa lalu yang menuntut pembalasan, bahkan membahayakan dirinya sendiri. 


Kehadiran Dewi secara tidak langsung membangkitkan semangat yang telah lama terpendam dalam diri Pak Lee.


DARI kiri: Dain Said, Fattah Amin dan Pekin Ibrahim.


Dain Said, pengarah yang diiktiraf atas karya-karya seperti ‘Dukun’ dan ‘Bunohan’, kembali menggunakan lokasi yang sama dari filem ‘Bunohan’ untuk ‘Kulit Wayang’


Beliau sekali lagi membawa penonton ke dalam dunia magis yang penuh dengan cerita, makhluk halus, dan iblis, di mana karakter-karakter yang dihantui berkeliaran di kegelapan paya.


"Kulit Wayang’ adalah gabungan antara cerita rakyat Melayu dengan kekayaan tradisi teater wayang kulit Melayu. Ia adalah sebuah dongeng fantasi yang mengeksplorasi tema kesedihan dan kehilangan, cinta dan perdamaian, serta kekuatan penyembuhan melalui penceritaan,” ujar Dain Said.


Beliau turut berkongsi latar belakang inspirasinya kala membesar di pantai timur Semenanjung Malaysia dengan mendengar cerita-cerita di tepi pantai yang disampaikan oleh pencerita wayang kulit tempatan. 



"Sayangnya, Wayang Kulit kini merupakan tradisi yang semakin menghilang di Malaysia. Selama berabad-abad, cerita utama yang dimainkan dalam wayang kulit di seluruh Asia Tenggara adalah epik Ramayana.


“Saya tertarik apabila mengetahui bahawa dalang wayang kulit tradisional Melayu menciptakan ‘cerita ranting’ mereka sendiri, mengembangkan jalan cerita baharu dari inti epik Ramayana. Ketika penerbit Mico Studio, Nevin Hiong, mendekati saya dengan idea cerita yang berkaitan dengan wayang kulit Melayu, saya merasakan bahawa ‘Kulit Wayang’ dapat menjadi interpretasi moden dari tradisi penceritaan ranting ini, yang merupakan bentuk awal penceritaan kita dengan imej bergerak,” lanjut Dain.


Tambahnya, Inti dari idea cerita yang dibawa oleh Nevin adalah tentang kesedihan, tetapi beliau  mengolahnya melalui genre fantasi, hantu, dan iblis, yang dipengaruhi oleh pengalaman masa kecilnya menonton dan mendengar cerita di tepi pantai. 


“Ini adalah projek yang fantastik dan menggembirakan untuk dikerjakan. Saya menghargai pandangan Nevin yang juga merasakan pentingnya untuk memperkenalkan kembali tradisi wayang kulit purba kita kepada generasi muda,” ujar Dain dengan antusias.


Menurut Dain, imaginasi kanak-kanak yang bebas tidak memiliki batasan. Kehilangan cerita dan tradisi penceritaan tempatan akan turut menghilangkan kemampuan kanak-kanak untuk berimaginasi dan menceritakan kisah mereka sendiri. 


Beliau terinspirasi oleh idea bagaimana kanak-kanak dapat menginspirasi orang dewasa untuk mencapai kebebasan imaginasi yang telah hilang. 



Dalam ‘Kulit Wayang’, idea ini membawa konsekuensi yang penuh dendam dan tragis, terutama pada karakter utama, Dewi, yang melalui persahabatannya dengan hantu, membantu Pak Lee berdamai dengan masa lalunya dan kebenaran tentang kejadian di kampungnya.


“Memandangkan tradisi teater wayang kulit ini pernah dikongsi di seluruh rantau ini, saya ingin ‘Kulit Wayang’ menjadi sebuah cerita Asia Tenggara, menggabungkan tradisi dan teknologi moden dalam menyampaikan cerita kepada penonton kontemporari,” simpul Dain.


Acara pelancaran turut dimeriahkan dengan tayangan treler rasmi ‘Kulit Wayang’, diikuti dengan persembahan Wayang Kulit yang unik menampilkan Fattah Amin dan Pekin Ibrahim, serta sesi bertemu dan beramah mesra dengan peminat dan personaliti media sosial terpilih.



‘Kulit Wayang’ mendapat sokongan penuh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta pelbagai penaja dan rakan kerjasama. 


'Kulit Wayang' ini dijadualkan untuk tayangan di lebih 50 pawagam di seluruh negara mulai 1 Mei 2025.


Dalam acara yang sama, turut diumumkan penangguhan Festival Muzik Malika 2025 ke 31 Mei 2025, bagi membolehkan penganjurannya menjadi lebih besar dan menarik, dengan penambahan barisan artis selain Nidji, Bunkface, dan OAG yang telah diumumkan sebelum ini.




#KulitWayang #FattahAmin #PekinIbrahim @WayangKulit #DainSaid #Filem #Fyp


Tiada ulasan:

Catat Ulasan