MALAM RINDU BAYANGAN PENGHORMATAN TERAKHIR KENANG JAY JAY!


DUNIA seni
tanah air bakal menyaksikan sebuah malam yang penuh kenangan dan penghargaan buat Allahyarham Mohd Fauzi bin Darus, atau lebih dikenali sebagai Jay Jay, yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 4 Ogos 2024 pada usia 67 tahun.

Inisiatif murni ini tercetus daripada hasrat anak bongsu arwah, Nur Camelia (Cammy), yang menghubungi sahabat seperjuangan arwah, Dato’ Freddie Fernandez untuk mengadakan sebuah persembahan khas bagi mengenang jasa dan sumbangan besar Jay Jay dalam industri muzik Malaysia.


Menyahut seruan tersebut, barisan karyawan seni dan sahabat-sahabat rapat Allahyarham telah bersatu tenaga menganjurkan sebuah acara amal makan malam yang diberi nama “Malam Rindu Bayangan”. 


Acara istimewa ini dijadualkan berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025, bermula pada jam 8.00 malam di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang.


Malam penghargaan selama tiga jam ini akan menampilkan persembahan daripada barisan artis ternama tanah air yang merupakan sahabat karib Allahyarham Jay Jay. 


Antara nama-nama besar yang akan menghiburkan para hadirin ialah Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), serta kemunculan istimewa barisan asal kumpulan Carefree yang pernah menemani Jay Jay di puncak kegemilangannya. 



Sebagai pembuka acara, penyanyi Hairee Kool dan Tengku Hadirah akan menyampaikan beberapa buah lagu di mana persembahan pada malam itu akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik maestro seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist, Firdaus, dan ramai lagi.


Selain persembahan pentas yang memukau, “Malam Rindu Bayangan” juga akan menampilkan jualan amal lukisan penghargaan hasil karya seni Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus / Infectious Maggots), yang akan dilelong kepada para hadirin. 


Turut hadir memberikan sentuhan istimewa adalah saudara Tapa, pereka grafik yang bertanggungjawab dalam menghasilkan reka bentuk dan arahan seni album-album arwah sepanjang kariernya.


Keseluruhan hasil kutipan daripada malam amal ini akan disalurkan bagi membantu rakan-rakan artis yang kini memerlukan sokongan. 



Sebagai simbolik permulaan, dalam sidang media yang diadakan, pihak penganjur telah menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima utama yang amat memerlukan bantuan iaitu Shuib (Freedom), Ramlah (balu kepada Allahyarham Yazit, pemain dram kumpulan Search), dan Ali (XPDC).


Orang ramai, terutamanya para peminat setia Jay Jay dan barisan artis yang terlibat, dijemput untuk hadir dan memberikan sokongan kepada acara yang penuh bermakna ini. 


Sokongan boleh disalurkan melalui pembelian meja untuk 10 orang dengan harga RM1,500, RM3,000, RM5,000, dan RM10,000


Bagi individu yang ingin hadir, tiket berharga RM150 juga disediakan namun terhad kepada 100 tempat sahaja – siapa cepat, dia dapat.


DARI kiri: Ramli Sarip, Khadijah Ibrahim, Cammy, Freddie dan Jeffrydin.


Ini merupakan peluang yang sangat berharga untuk menyaksikan persembahan luar biasa daripada barisan artis terbaik negara sambil menikmati hidangan malam dan beramal dalam suasana yang penuh dengan nostalgia.



Untuk tempahan meja, pembelian tiket, penajaan, atau sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Dato’ Freddie di talian 012-2071400.


“Jangan lepaskan peluang untuk bersama kami dalam malam yang penuh kasih, kenangan, dan penghargaan ini. Kami ingin seluruh rakyat Malaysia turut sama mengenang insan seni yang pernah menjadi suara generasi kita semua,” ujar Dato’ Freddie sambil mengalu-alukan kehadiran peminat yang rindukan lagu-lagu Jay Jay.



#MalamRinduBayangan #JayJay #Jeffrydin #Carefree #KhadijahIbrahim #Fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan