SALOMA KUALA LUMPUR SUMBANG GRATUITI SETIAP TAHUN HARGAI WARIS BIDUANITA SALOMA!
MAJLIS Jamuan Raya Aidilfitri 2025 anjuran Saloma Kuala Lumpur menjadi platform bersejarah apabila waris Biduanita Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma menerima gratuiti daripada pemilik restoran tersebut.
Penyerahan gratuiti kepada dua cucu Allahyarhamah, iaitu Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, menjadi simbol penghormatan di atas sumbangan besar Biduanita Negara tersebut dalam memperkayakan industri seni dan budaya Malaysia.
Dirahsiakan jumlahnya, penyerahan disempurnakan oleh Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato Che Umar dan suami, Dato Mohammed Hasbullah Ali kepada kedua Arzanee dan Rozaidi sambil disaksikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Shaharuddin Abu Sohot.
"InsyaAllah, gratuiti berkenaan akan berterusan diberikan setiap tahun kepada waris Saloma, " kata Riza ketika ditemi pada sidang media yang diadakan sempena majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2025 Saloma Kuala Lumpur, bertempat di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur baru-baru ini.
Langkah Saloma Kuala Lumpur ini wajar dipuji kerana bukan sahaja berorientasikan perniagaan, malah turut menjiwai nilai-nilai penghargaan terhadap tokoh seni dan budaya Malaysia.
Malah kedahiran tokoh-tokoh penting negara seperti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar (gambar atas, dua dari kiri); Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (dua dari kanan) termasuk artis-artis lagenda tempatan yang turut menghiburkan tetamu antaranya Datuk Jamal Abdillah, Zur Eda, Amir Ukays, Joe Branko, Nizam Laksamana, Ramlah Ram dan ramai lagi menunjukkan betapa majlis ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang tinggi.
Berkongsi lanjut, Riza memaklumkan, majlis ini diadakan sebagai platform dwi-tujuan, iaitu meraikan kegembiraan Aidilfitri dan pada masa yang sama, mengabadikan legasi serta jasa Biduanita Negara Saloma yang telah mewarnai khazanah seni negara.
“Penyerahan gratuiti kepada pewaris legasi seni Biduanita Negara ini adalah manifestasi keikhlasan dan penghargaan kami atas jasa dan bakti yang telah ditinggalkan oleh Puan Sri Saloma kepada generasi kini. Ia juga merupakan kesinambungan daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saloma Kuala Lumpur yang turut mengambil berat dan menyantuni tetamu istimewa termasuk mereka yang memerlukan,” tambah beliau.
Sambungnya, sebelum ini Saloma Kuala Lumpur telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan yang mengagihkan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.
Turut dianjurkan ialah majlis Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat bagi membantu artis veteran serta anak-anak tahfiz, serta program berkonsepkan Kongsi Rezeki yang menjadi nadi setiap kali penganjuran program.
Saloma Kuala Lumpur juga sentiasa membuka ruang dan jalinan kerjasama dengan penggiat-penggiat seni yang lain seperti menjadi pilihan lokasi kepada beberapa Sidang Media berkaitan dengan promosi seperti Konsert 30th Anniversary ELLA USA dan juga Rossa “Here I am Concert”.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran majlis malam ini akan terus memperkukuh usaha Saloma Kuala Lumpur untuk memartabatkan seni budaya tanah air sambil menyemai nilai kemanusiaan dan penghargaan terhadap legasi seni negara.
Riza mengambil alih Saloma Kuala Lumpur sejak akhir Disember tahun lalu dengan pelaburan melibatkan jutaan ringgit di bawah syarikat Saloma Legacy Sdn Bhd.
Menurut Riza, penganjuran majlis seumpama ini akan terus memperkukuh dedikasi Saloma Kuala Lumpur dalam mengangkat martabat seni dan budaya Malaysia, sambil memupuk nilai-nilai kemanusiaan dan menghargai warisan seni yang tidak ternilai.
Saloma Kuala Lumpur merupakan sebuah destinasi unik yang menggabungkan pengalaman gastronomi Malaysia yang autentik dengan persembahan seni budaya yang memukau setiap malam.
Sebagai perancangan masa depan, Riza merancang untuk mengumpul artifak atau barang Saloma yang masih ada untuk dipamerkan agar dapat ditatap dan menjadi warisan seni terpelihara.
"Masih banyak lagi pengisian yang perlu dilakukan bagi melengkapkan Saloma Kuala Lumpur ini sebagai destinsi pelancongan ulung," akhiri Riza penuh harapan.
Terletak di lokasi strategik bersebelahan Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Saloma Kuala Lumpur menggabungkan elemen makanan tempatan dan seni persembahan untuk memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Diilhamkan daripada warisan Biduanita Negara Allahyarhamah Saloma, restoran ini menawarkan pengalaman autentik yang memperkasa nilai seni dan tradisi negara.
Untuk rekod, sebelum ini ia pernah dikenali sebagai Saloma Bistro & Theatre Restoren.
#SalomaKualaLumpur #ProgramRahmatRamadan #Matic #WarisSaloma #ForYouPage
Tiada ulasan:
Catat Ulasan