ASTRO, TVS CIPTA SEJARAH ANJUR 'KONSERT MELETOP TVS' DI MIRI!
MIRI bakal menjadi saksi kepada pertembungan dua gergasi hiburan apabila Astro dan TVS membawakan ‘Konsert MeleTOP TVS’, sebuah konsert MeleTOP yang pertama kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia, menjanjikan malam yang penuh dengan kejutan dan kebudayaan.
Dengan tagline yang membakar semangat, “Nang Champiyen Nang Lagend”, konsert ini akan menghiburkan anda pada 17 Mei 2025 di Stadium Bandaraya Miri (tertutup).
Jangan risau jika anda tidak dapat hadir, kerana konsert ini akan disiarkan secara langsung di TVS (saluran 122) pada jam 9.00 malam, serta turut tersedia di Astro ONE dan sooka.
Anda juga boleh menonton siaran ulangan di Astro Ria (saluran 104) pada 25 Mei 2025, jam 9 malam.
Mengangkat keindahan warisan kebudayaan Borneo sebagai tema utama, konsert ini akan memadukan elemen tradisional tempatan dengan sentuhan budaya pop masa kini yang dinamik.
Para penonton akan disajikan dengan persembahan memukau daripada barisan selebriti ternama tanah air, termasuklah Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA, Sada Borneo, Dion Das, Francisca Luhong (Miss Universe Malaysia 2020), Hairee Francis, Wani Kayrie, dan juga Noki.
Memeriahkan lagi suasana, konsert ini akan dihoskan oleh gandingan mantap pengacara MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana, serta pengacara TVS yang tidak kurang hebatnya, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh, dan Fattah Bolh.
Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, meluahkan rasa gembiranya.
“Kami di Astro amat berbesar hati dapat menyatukan dua nama besar dalam industri hiburan Malaysia, iaitu MeleTOP & TVS, untuk membawa barisan penghibur terkemuka Malaysia ke Stadium Bandaraya Miri dalam satu malam yang pasti akan terpahat dalam ingatan.
"Konsert ini bertujuan untuk menyatukan para artis dari seluruh Malaysia dan meraikan kepelbagaian etnik serta budaya yang kita miliki. Mewakili pihak Astro, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang sebesar-besarnya kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan konsert ini – TVS, MTCP, Majlis Perbandaran Miri, dan seluruh warga Sarawak dan Sabah atas sokongan yang telah mereka berikan selama ini. Muzik sentiasa menjadi tali pengikat yang menyatukan kita semua, dan konsert ini adalah platform yang indah untuk kita menzahirkan."
#KonsertMeletopTVS #NangChampiyenNangLagend #MajlisPerbandaranMiri #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan