Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ALUMNI ASWARA PENTASKAN TEATER MUZIKAL EPIK 'PADUKA CIK SITI' MULAI 19 DIS!


KISAH epik dan luar biasa seorang Raja wanita Melayu yang bangkit mempertahankan maruah, keberanian, dan cintanya demi negeri, Cik Siti Wan Kembang, kini diangkat ke pentas dalam naskhah Teater Muzikal Paduka Cik Siti. 


Pementasan ini merupakan sebuah naskhah megah anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama erat Persatuan Alumni ASWARA. bertujuan mengiktiraf Cik Siti Wan Kembang sebagai seorang Srikandi yang tidak pernah diperbincangkan secara mendalam sebelum ini. 


Teater Muzikal Paduka Cik Siti, yang menjanjikan persembahan berskala besar dan berimpak tinggi ini akan berlangsung selama tiga hari, bermula dari 19 hingga 21 Disember 2025, di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.


Ia menyingkap ketokohan satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terpaksa memikul amanah diraja, menolak pinangan raja-raja lain demi tugas, berdepan cabaran mempersoalkan kewibawaannya oleh pembesar sendiri, diancam oleh kuasa luar seperti Siam, serta menundukkan kehendak hati dan perasaan akibat cinta yang didiamkan.


Penyanyi Asmidar Ahmad ditampilkan sebagai Cik Siti Wan Kembang manakala Dr Norzizi Zulkifli sebagai Seri Banun iaitu bonda Cik Siti Wan Kembang. 



Pelakon lain ialah Taqim Zaki sebagai Panglima Merah dan Syukor Ibrahim Bachik, seorang pelakon muzikal yang memiliki kualiti suara yang hebat dan Shahrul Mizad sebagai Raja Siam. 


Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ASWARA), Prof. Dr. Tan Awang Besar, menyatakan sudah tiba masanya untuk mengangkat seni kreatif ini dalam bentuk pementasan. 


Beliau menekankan bahawa walaupun kisah Cik Siti Wan Kembang adalah legenda, tugas penting institusi tersebut adalah untuk mengangkat kisah zaman silam kepada zaman hari ini. 


“Memang kita tidak ikut cerita Siti Wan Kembang sepenuhnya. Kita terjemahkan dalam bentuk persembahan. Dan sekurang-kurangnya dari segi kehebatan Cik Siti Wan Kembang itu dan peranan dia dalam konteks hubungan antara Siam dan Kuching dan Kelantan boleh kita angkat melalui persembahan begini," katanya pada majlis sidang media Teater Muzikal Paduka Che Siti yang berlangsung di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Turut hadir Iefiz Alauddin, Pengerusi Persatuan Alumni ASWARA; Mohd Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; Pengarah teater, Che Kem, Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy sebagai penulis serta penulis lirik lagu, Dr. Hairul Anuar Harun.


Prof. Dr. Tan Awang Besar menambah episod-episod yang dipersembahkan nanti akan memperlihatkan kehebatan Cik Siti Wan Kembang, terutamanya bagaimana beliau menangani "watak jahat" seperti Raja Siam, serta mengangkat kepahlawanan seorang Raja Wanita. 


Beliau turut berharap pementasan ini dapat memperkenalkan watak ikonik seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong kepada generasi muda. 


Sementara itu, Che Kem menyatakan bahawa produksi ini tidak boleh berpaksikan 

tradisional semata-mata, sebaliknya harus kontemporari, selaras dengan tuntutan khalayak hari ini. Namun, nafas tradisional itu tetap dikekalkan. 


“Kita sering memperkatakan bahawa Cik Siti Wan Kembang ini adalah seorang srikandi Tetapi tidak ada satu cerita, satu skrip, satu naskah yang membincangkan tentang Cik Siti Wan Kembang sebagai seorang srikandi," katanya.



Beliau menambah, hal-hal kesaktian dan kebijaksanaan Cik Siti Wan Kembang sebagai pemimpin wanita di Kelantan akan diterokai dan diangkat dalam bentuk yang spektakular. 


Che Kem menjanjikan ada beberapa elemen spektakular yang cuba diangkat di pentas, walaupun berdepan cabaran untuk mengubah suai Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin di Putrajaya menjadi pentas teater berskala besar.


Teater muzikal “Paduka Cik Siti" akan dibuka dengan Malam Gala pada 19 Disember, jam 8.30 malam, diikuti pementasan seterusnya pada 20 Disember (jam 3 petang dan 8.30 malam) serta 21 Disember (jam 3 petang).


Kategori tiket pula ialah Paduka Cik Siti: RM150 (untuk 71 kerusi), Seri Banun: RM120 (114 kerusi), Prasat Thong: RM80 (198 kerusi), Puteri Saadong: RM40 (concession-122 kerusi). 


Pembelian tiket boleh dibuat melalui cloudjoi.com.



#ASWARA #CikSitiWanKembang #TeaterMuzikal #AsmidarAhmad #DrNorzizi #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan