'TEPUK TEPUNG', HARTAMAS SANTUNI ANAK YATIM, CIPTA MOMEN MANIS!
KEPRIHATINAN terhadap kebajikan kanak-kanak yang memerlukan mendorong Pengasas Tepuk Tepung Patisserie, Puan Sri Nisa Bakri, menganjurkan sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena penghujung tahun bagi menyuntik kegembiraan dan harapan baharu kepada golongan tersebut.
Menerusi jenama pastri artisannya, Tepuk Tepung Patisserie, inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Hartamas Shopping Centre (HSC) sebagai platform untuk mendekati komuniti secara lebih dekat dan bermakna.
Program tersebut melibatkan 30 kanak-kanak berbilang bangsa dan latar belakang daripada dua buah rumah anak yatim iatu Rumah Anak Yatim Taman Medan dan Trinity Company Children Home sekali gus menyatukan komuniti melalui semangat perpaduan dan kemurahan hati.
Kebiasaannya perancangan acara sebegini memerlukan tempoh tiga hingga empat bulan, kali ini persiapan dilakukan dalam masa yang singkat, sekitar dua minggu sahaja. Kita teruskan juga kerana niat untuk memberi,” ujar Nisa ata lebih mesra dikenali sebagai Chef Selebiriti Nisa ketika ditemui pada program CSR berkenaan di HSC baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Pengiklanan dan Promosti HSC, James Chong: Tokoh Masyarakat, Puan Seri Zainab Abdul Kader serta beberapa kenalan rapat lainnya.
Malah pada penghujung acara, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Maryland (KM) yang membangunkan HSC tetapi menetap di Hong Kong, Tan Sri David Chiu (gambar bawah, tengah) dan isteri yang juga Naib Pengerusi KM, Puan Seri Nancy Chiu (berdiri, empat dari kiri) sempat singgah menambahkan kemeriahan program.
"Saya merasa amat terharu dengan kesudian Tan Sri David dan Puan Sri Nancy yang sempat hadir beramah mesra seketika," tambah isteri kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Zinin ini.
Sepanjang penganjuran, suasana ceria jelas terpancar apabila kanak-kanak diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang bersifat kreatif dan mendidik, termasuk menghasilkan kotak kek sendiri serta menghias kek cawan, sekali gus menggalakkan keyakinan diri, ekspresi kendiri dan semangat kerjasama.
Setiap kanak-kanak dan rumah kebajikan terlibat turut menerima sumbangan wang tunai dan cenderahati istimewa. sempena sambutan Krismas bagi menceriakan musim perayaan mereka, sekali gus membawa sinar kegembiraan kepada kanak-kanak serta para penjaga.
Menurut Chef Nisa, program ini bukan sekadar perkongsian manisan dan aktiviti interakttf sebaliknya bertujuan mewujudkan rasa kebersamaan serta menyampaikan mesej bahawa setiap kanak-kanak berhak diraikan dan diberi peluang untuk menikmati masa depan yang lebih cerah.
“Walaupun dirancang dalam tempoh terhad, program ini berjaya menyantuni kanak-kanak daripada beberapa rumah kebajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif serta pemberian hadiah hasil sokongan rakan penaja, termasuk Famous Amos, selain sokongan berterusan daripada pelbagai pihak lain,” tambah beliau.
Jelasnya, inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen berterusan Tepuk Tepung Patisserie dalam memperkasa komuniti dan melaksanakan tanggungjawab sosial secara berterusan bersama rakan strategik.
Program yang dianjurkan sempena penghujung tahun ini turut menjadi penutup bermakna bagi operasi sebulan Tepok-Tepok Petaseri di Hartamas Shopping Centre.
“Inisiatif ini lahir daripada keinginan untuk mencipta impak positif kepada komuniti, khususnya kanak-kanak, selain memperkukuh hubungan kerjasama strategik bersama pengurusan pusat beli-belah Hartamas,” akhiri Chef Nisa yang terkenal dengan kepribadiannya yang sopan dan lembut turut bahasanya.
Tepuk Tepung Patisserie merupakan jenama bakeri yang dikenali dengan hasil pastri artisan, kek dan konfeksi yang dihasilkan dengan penuh kreativiti dan sentuhan istimewa.
Di bawah jenama Nisabakrigourmet, syarikat ini baru-baru ini membuka kafe mini pertamanya berkonsepkan Gourmet Lifestyle Grab & Go, sekali gus memperkukuh kehadirannya dalam industri makanan dan minuman tempatan.
Sementara itu, bagi pihak Pusat Membeli-belah Hartamas, James, berkata pihaknya berbesar hati dapat menjadi rakan kerjasama dan tuan rumah bagi program yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Ini adalah inisiatif CSR yang berteraskan komuniti, di mana kami percaya memberi kembali kepada masyarakat adalah tanggungjawab bersama. Sebelum ini kami juga telah melaksanakan beberapa program CSR, dan pendekatan ini akan terus kami perkukuhkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama antara pelbagai pihak membuka ruang kepada perkongsian idea serta pelaksanaan program yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.
![]() |
| NISA bersama James melayan kanak-kanak yang hadir. |
“Komuniti perlu berada di tengah-tengah setiap inisiatif. Dengan kerjasama yang baik, kita bukan sahaja dapat berkongsi sumber, tetapi juga membina program yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya.
Dalam memastikan kesinambungan usaha tersebut, James memaklumkan bahawa hubungan kerjasama antara pihak terlibat akan diteruskan bagi memudahkan penyelarasan program CSR akan datang.
“Kami bersedia untuk bekerjasama lagi. Apabila ada program CSR pada masa hadapan, kami akan terus berhubung dan berkongsi peluang kerjasama,” akhirinya.
Hartamas Shopping Centre ialah sebuah pusat beli-belah komuniti yang menawarkan pelbagai pilihan runcit, makanan dan hiburan, serta kekal komited dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial dan inisiatif mendekati masyarakat setempat.









Tiada ulasan:
Catat Ulasan