Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KONSERT AMAL LEGENDS RAIH RM100K, RINGANKAN BEBAN PENGGIAT SENI!


ALUNAN
lagu-lagu malar segar yang pernah menjadi siulan ramai, sorakan gemuruh penonton serta cahaya pentas yang memancar penuh gemilang menjadikan Konsert Legends di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC Kuala Lumpur) pada Sabtu malam 27 Disember 2025 lalu, sebuah acara penuh nostalgia dan emosi. 


Ia bukan sekadar menghidupkan semula era kegemilangan muzik tanah air, malah berjaya mengumpul dana berjumlah RM100,000 sebagai 'talian hayat' buat penggiat seni yang sedang bergelut dengan garis kemiskinan dan keuzuran.



Seramai 6 penggiat seni yang mendapat bantuan pada malam tersebut terdiri daripada pengarah Murali Abdullah, 62, pemuzik, Olie Heavy Machine, 72,  pelakon/pelawak, Salleh Yaacob, 64, pelakon veteran, Mak Jah, 77, pemuzik, OP Black Maria (Abdul Rauf Ha) dan pelakon Sharonizam Noor, 53 tahun. 


Kesemua mereka menerima sumbangan RM1.000 setiap seorang yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, selaku tetamu kehormat diringi Presiden KARYAWAN, Dato Freddie Fernandez dan Pengerusi KARYAWAN, Dato Khadijah Ibrahim.



Majlis makan malam amal yang berlangsung sempena kemuncak sambutan Jubli Perak Persatuan Karyawan Malaysia itu dihadiri lebih 500 penderma, rakan artis serta tokoh industri seni. 


Selain sumbangan daripada sektor korporat dan golongan artis sendiri seperti daripada Saloma Kuala Lumpur serta Kumpulan Sri Ternak menerusi ST Rosyam Mart dan lain-lain, usaha menambah dana turut diperkukuh menerusi lelongan amal dua buah lukisan tangan hasil karya pelukis Cheb Ali yang berjaya dibida pada harga RM5,000 oleh Puan Seri Raja Noreza dan Dato’ Sri Jasmine Raj.



'Sebanyak RM100 ribu berjaya dikumpul dan ia membuktikan acara mencapai tujuannya, iaitu memberi peluang persembahan kepada ramai rakan artis serta membantu mereka yang memerlukan', kata Freddie Fernandez. 



Malam yang menyatukan nama-nama besar industri itu membuktikan bahawa persaudaraan seni tidak pernah luntur apabila misi kemanusiaan diletakkan sebagai teras utama persembahan.


Makan Malam Amal Legends yang turut diiringi persembahan muzik oleh Ora Band membuka tirai persembahan dengan penampilan artis baharu tetapi lama iaitu anak didik komposer terkenal, Allahyarham S. Atan yang baharu hadir ke pentas hiburan tempatan iaitu Soma atau nama sebenarnya, Rosmah Sengari.



Dalam gaya yang anggun, Soma memperdengarkan sebuah lagu ciptaan S. Atan, ‘Memori Bulan Disember’ selari dengan majlis yang berlangsung pada bulan Disember.


Menyusuli persembahan Soma, pentas dihiburkan seterusnya dengan lagu-lagu malar segar yang popular dengan barisan artis jemputan lain seperti Mariam Ahmad, Helen Velu, Dato Andre Goh, Kopratasa, Datuk Ito Blues Gang dan Dato Khadijah Ibrahim yang menambahkan lagi kemeriahan suasana apabila turut menjemput rakan-rakan artis lain yang hadir antaranya seperti Ayu Damit dan Fauziah Latiff untuk bersama menyambung nyanyiannya walau pun dengan lirik sebaris dua.



Tidak syak lagi, kehadiran artis-artis lama ini termasuk Ramziela dan ramai lagi mencerminkan semangat solidariti dalam kalangan penggiat seni tanah air terhadap usaha kebajikan yang dianjurkan.


Sorakan penonton semakin memuncak apabila slot khas gitaris legenda tanah air menampilkan Man Kidal, Kid Search, Simon Carefree dan Sharul Ekamatra bergandingan di satu pentas. 



Persembahan istimewa itu bukan sahaja membangkitkan kenangan era emas muzik rock tempatan, malah menjadi antara detik paling mengesankan sepanjang malam dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.


Malam tersebut turut menyentuh emosi penonton dengan penampilan pemain saksofon muda, Kenanga Juwita, anak kepada Olie Heavy Machine, yang hadir sebagai simbol kesinambungan bakat seni walaupun bapanya kini uzur dan merupakan antara penerima bantuan.


    SWEET Charity, Ramli Shariff hangatkan persembahan akhir Malam Legends. Kredit Foto:         Juang Jasman/Ora Band.


Suasana dewan terus ‘bernyawa’, dipenuhi gelombang nostalgia apabila Sweet Charity bersama Dato Ramli Shariff tampil sebagai tarikan utama dengan persembahan penuh bertenaga, menghidupkan kembali era kegemilangan muzik rock tempatan. Cukup nostalgik!



Majlis turut dimeriahkan oleh pengacara dan pelawak Helmi The Gimmick yang berjaya menceriakan suasana dengan jenaka spontan sepanjang acara.



#MalamAmalLegends #KARYAWAN #BantuArtis #AzmanBidin #SweetCharity #fyp


Tiada ulasan:

Catat Ulasan